Mahu kawan jadi kekasih

Mahu kawan jadi kekasih



Pada mulanya, kami memulakan perhubungan sebagai rakan biasa tapi lama kelamaan lain pula jadinya. Ramai rakan-rakan berkata, dia bukan lelaki yang baik tapi saya mahu menerima dia kerana sedar tidak semua orang sempurna.

Saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Saya tahu perlu menumpukan perhatian kepada SPM tapi gelodak perasaan ini tidak dapat ditahan.

Jadi, saya amat memerlukan saranan daripada Dr supaya saya dapat lebih fokus dalam pelajaran. Bantu saya.

SATU KELAS,
Kedah



Perasaan yang dipendam banyak melukakan. Sekiranya tidak meluahkan perasaan hati, teman adik tidak akan dapat mengetahui perasaan adik.

Permainan teka-teki dan bermain dengan perasaan terus berlaku. Jika permainan ini tiada penghujungnya, ia boleh mengganggu perasaan dan kehidupan adik termasuk pelajaran.

Jika adik tidak pandai mengurus perasaan, ia akan mengganggu tumpuan adik dalam pelajaran, apatah lagi bagi menghadapi SPM tidak lama lagi.

Melahirkan perasaan adik terhadap kawan dapat menjelaskan hala tuju perhubungan yang selama ini dianggap perhubungan seorang teman.

Kaedah meluahkan perasaan seeloknya dilakukan secara berhikmah supaya tidak kelihatan adik seorang keterlaluan dalam perhubungan ini, seperti 'perigi mencari timba'.

Dalam proses meluahkan perasaan cinta atau suka kepada seseorang, wujud risiko. Perasaan takut dilukai banyak datang daripada ketakutan diri sendiri dan boleh menjejaskan perhubungan murni yang terjalin.

Jika menyayangi jejaka itu, adik perlu menghormati apa saja keputusan (sama ada menerima perasaan adik atau tidak) dirinya terhadap diri adik.

Jika dia menolak perasaan adik, hubungan sebagai seorang teman masih lagi boleh diteruskan. Penolakan perasaan terhadap adik bukan bermakna dia tidak suka, mungkin dia menginginkan corak perhubungan seperti sedia ada bukan sebagai kekasih.

Apabila adik sudah dapat menerima diri kawan adik itu seadanya, ia akan lebih memudahkan perhubungan kalian berdua.

Apapun, jenis perhubungan yang akan kalian jalinkan perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan peranan adik sebagai pelajar.