Isnin,14 Julai 2014

Masuk percuma

MELAKA: Sebanyak 40,000 tiket percuma membabitkan 20,000 tiket Melaka Wonderland Theme Park & Resort (Melaka Wonderland) dan 20,000 Wildlife Theatre (Wildlife) menanti pembaca Harian Metro (HM) bermula 8 September ini.

Pemberian tiket percuma sempena program Gempak Santai HM dengan kerjasama Melaka Wonderland sebagai penghargaan kepada pembaca setia HM yang sentiasa menyokong sehingga mampu menjadi HM sebagai akhbar nombor satu di Malaysia.


Pengurus Besar Melaka Wonderland, Seow Cheng Swee berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama dengan HM bagi menganjurkan program itu berdasarkan statusnya sebagai akhbar nombor satu negara.

Katanya, kerjasama itu secara tidak langsung dapat meningkatkan promosi taman tema air berkenaan yang kini mula mendapat tempat di hati pengunjung dalam dan luar negara.


“Ini kali pertama kami bekerjasama dengan HM untuk menganjurkan program ini, sudah tentu kami amat berbesar hati menjayakannya.


“Kami berharap program Gempak Santai HM ini mendapat sambutan menggalakkan dan pembaca tidak seharusnya melepaskan peluang bagi merasai pengalaman menyeronokkan di taman tema ini.

“Bagi program ini, kami menyediakan 40,000 tiket iaitu 20,000 bagi Melaka Wonderland dan bakinya untuk Wildlife,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan replika tiket percuma Gempak Santai HM kepada Pengurus Projek Harian Metro, Abdul Kadir Hamza di sini, semalam .

Hadir sama, Pengurus Kurator Taman Wildlife, Azman Ghazali; Eksekutif Kanan Penjenamaan Harian Metro, Zurani Abdullah dan Ketua Biro Harian Metro Melaka, Mohd Nur Asnawi Daud.


Seow berkata, selain tiket berkenaan, pihaknya menyediakan tambahan masing-masing 5,000 tiket masuk ke Dinosaur Park, Paintball dan Dirt Kart dengan potongan diskaun 20 peratus berbanding harga tiket asal kepada yang pembaca terawal.


“Taman tema ini dilengkapi pelbagai permainan menyeronokkan antaranya Kamikaze dan Adventure Island, selain daripada Tornado Chaser yang pertama di Malaysia.


“Untuk Wildlife, pengunjung akan dihiburkan dengan pertunjukan selama sejam membabitkan beberapa haiwan antaranya singa laut, burung dan reptilia.


“Kebiasaannya pertunjukan diadakan dua kali sehari iaitu pada jam 10.30 pagi dan 3 petang, tetapi untuk Gempak Santai HM, pertunjukan tambahan akan dibuat pada jam 7.30 malam bagi menampung jumlah pengunjung,” katanya.


Sementara itu, Zurani berkata, bagi mendapatkan tiket percuma itu, pembaca perlu mengumpul keratan kepala akhbar Harian Metro bermula 10 hingga 21 Ogos ini.


Katanya, untuk setiap 10 keratan kepala akhbar terkumpul, pembaca akan diberikan empat tiket iaitu dua tiket ke Melaka Wonderland dan dua tiket ke Wildlife.


“Orang ramai boleh menebus tiket bermula 8 September ini di semua cawangan pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di seluruh negara.


“Dengan adanya tiket ini orang ramai boleh masuk ke Melaka Wonderland dan Wildlife secara percuma bermula 15 September ini hingga 31 Oktober, namun selepas tarikh itu tiket berkenaan masih sah digunakan sehingga 31 Disember 2012 tetapi hanya diberikan potongan diskaun 50 peratus,” katanya. Menurutnya, perasmian program itu dijangka diadakan pada 16 September dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan artis, pertandingan karaoke dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05
`