Isnin,14 Julai 2014

Melahirkan generasi mahasiswa berwawasan, tonggak masyarakat

Oleh Mohd Nazrin Abdul Razak

Menyingkap kehidupan mahasiswa masa kini, pasti ramai mengakui bukan mudah memikul tanggungjawab sebagai penuntut ilmu dengan pelbagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi sepanjang bergelar mahasiswa.

Biarpun begitu, sebagai mahasiswa, perlu ada semangat kental untuk mengharungi apa jua kepayahan yang terbentang di depan mata kerana golongan ini adalah tonggak kepada pembinaan masyarakat berwawasan dan berdaya saing.

Mahasiswa aset negara paling berharga kerana bakal menjadi penanda aras masa depan ketamadunan masyarakat dan pembangunan negara.

Membentuk mahasiswa bertanggungjawab serta serba lengkap bukan mudah namun tidak mustahil.


Keadaan dunia teknologi hari ini yang dikelilingi pelbagai pengaruh tanpa sempadan menjadikan mahasiswa perlu bijak mengimbangi urusan duniawi supaya tidak tergelincir.


Kelahiran mahasiswa sebagai golongan bertanggungjawab adalah pencapaian besar bagi masyarakat juga negara, justeru perlunya wujud kesedaran dalam diri mahasiswa sendiri untuk menjadikan diri mereka sebagai yang terbaik dan bertanggungjawab.

Mahasiswa harus bermuhasabah, mempunyai keinginan dan bertekad untuk membawa pembaharuan bukan saja bagi diri sendiri malah masyarakat secara global dengan menggunakan pendekatan berhemah.

Sebagai mahasiswa, perlu wujud usaha untuk menjadikan golongan ini sebagai kelompok berkemahiran tinggi.

Pada masa sama, mereka perlu disemat dengan sikap positif sebagai persediaan bergelar pemimpin negara selain mampu memberi kebaikan kepada masyarakat.

Mereka perlu sedar, mahasiswa sedia ada adalah suatu dimensi kehidupan penuntut ilmu yang bakal dipertanggungjawab bagi mengemudi negara menjadi lebih baik di masa depan.

Justeru, mahasiswa perlu memulakan langkah dan usaha untuk menggali seberapa banyak ilmu sebagai persediaan menjadi mahasiswa bertanggungjawab.

Ia adalah impian bukan saja ibu bapa malah masyarakat dan negara.


Penulis mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.

Warga kampus yang ingin berkongsi penulisan mengenai isu semasa, boleh menghantarnya ke ruhaizarusmin@mediaprima.com.my atau rencana@mediaprima.com.my

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
`