Sabtu,23 Ogos 2014

Membentuk remaja berfikiran kreatif

Oleh Dr Aminudin Mansor

PEMBANGUNAN akal budi di kalangan remaja amat penting bagi menangkis segala gejala sosial yang melanda gaya hidup, budaya dan kehidupan remaja. Pembangunan yang dialami sesebuah negara secara langsung dan tidak langsung akan mempengaruhi gaya hidup, nilai dan tingkah laku penduduk khususnya remaja.

Malaysia boleh dikatakan sudah mengalami satu proses pembangunan yang pesat. Pembangunan ini juga mempengaruhi gaya hidup penduduknya khususnya remaja. Dalam mengejar pembangunan tidak terkecuali remajanya terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial yang boleh membantutkan pembangunan.


Di bawah kajian Rancangan Malaysia Ke-7 pada 1996, adalah dijangkakan dalam 2020, sebanyak 43 peratus penduduk Malaysia terdiri daripada golongan muda, iaitu golongan remaja berusia antara 15 hingga 39 tahun. Mereka yang berumur antara 15 hingga 24 tahun adalah dalam lingkungan 19.1 peratus.

Berdasarkan statistik ini, remaja sebagai penduduk Malaysia memainkan peranan penting sebagai sumber manusia ke arah kemajuan negara. Oleh itu, tumpuan kerajaan sewajarnya diberikan kepada golongan remaja bagi menjadikan mereka tenaga penting dalam merealisasikan pembangunan.


Melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, kerajaan menyediakan latihan dan mewujudkan peluang pekerjaan. Daripada jumlah 163,000 peluang latihan dan pekerjaan yang akan diwujudkan sebanyak 100,000 adalah inisiatif usaha sama antara kerajaan dengan pihak majikan sektor swasta.


Melalui program ini, kerajaan menyediakan latihan sambil bekerja untuk siswazah menganggur. Seramai 1,000 graduan yang menganggur akan menyertai program ini. Di samping itu, 10,000 pelatih akan dilatih di bawah latihan kemahiran industri dan teknikal di pusat latihan kemahiran di semua negeri.

Dalam usaha pembangunan, sumber tenaga amat penting, khususnya remaja yang menjadi aset penting ke arah kemajuan. Pembentukan gaya hidup seimbang dan harmonis dengan akal budi yang sempurna wajar diberikan penekanan kepada golongan remaja.


Gaya hidup yang seimbang dan harmonis mestilah dilakukan melalui program yang terancang dan berterusan, antaranya mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran, akhlak dan keimanan yang kukuh, kekuatan nilai dan budaya, moral serta semangat patriotisme yang boleh dilakukan melalui Program Rakan Muda.

Menurut tokoh psikologi Barat, Prof SM Journard, Prof CR Roger dan Prof PG Zimbardo, beberapa perkara ke arah perubahan diri dan gaya hidup yang baik termasuk mesti yakin dan berkuasa menentukan imej diri sendiri.


Selain itu, jangan biarkan orang lain menentukan matlamat hidup serta kenal pasti matlamat hidup kita.


Menurut mereka lagi, bagi membentuk gaya hidup yang baik seseorang itu wajar membuang gaya hidup yang negatif. Berusaha mengukuhkan kekuatan dan keistimewaan diri. Melipatgandakan usaha memperbaiki diri. Belajar menjalin hubungan positif dengan orang lain.


Sementara itu, menurut tokoh pendidik, Prof Hassan Langgulung, pendidikan adalah proses mengubah dan memindahkan nilai kebudayaan kepada setiap individu. Proses pemindahan itu mestilah melalui cara berikut: Pertama, pengajaran iaitu pemindahan pengetahuan daripada seorang individu kepada individu yang lain. Kedua, latihan membiasakan diri membiasakan sesuatu bagi memperoleh kemahiran dan ketiga, indoktrinasi iaitu menjadikan seseorang dapat meniru apa yang dilakukan orang lain. Ketiga-tiga cara ini mestilah berjalan serentak bagi membentuk gaya hidup yang baik.


Justeru, hanya melalui pendidikan, perubahan dan pembangunan dapat membentuk gaya hidup yang seimbang dan harmonis dalam kalangan remaja. Pendidikan akal budi dan pembangunan jasmani, emosi, rohani dan intelek yang seimbang juga dapat merubah tingkah laku remaja ke arah kesempurnaan.


Pembentukan akhlak dan tingkah laku remaja yang baik akan menyumbang ke arah pembangunan negara yang rancak dan maju. Seseorang yang berpendidikan yang baik dan berilmu mampu memberi khidmat yang baik untuk masyarakat dan negara. Pembentukan akhlak yang mulia juga akan mengurangkan masalah seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam masyarakat.


Tokoh Islam, Imam Al-Ghazali menyatakan kuat dan jayanya sesuatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhlaknya rosak maka binasalah umat itu. Tujuan memperbaiki akhlak adalah untuk membersihkan hati menjadi jernih bagaikan cermin yang dapat menerima cahaya Allah. Bagi membina keupayaan masa depan sesebuah negara, remajanya yang menjadi aset penting mestilah mampu bersaing merebut peluang disediakan oleh pihak kerajaan. Tanpa ilmu dan kemahiran yang tinggi remaja tidak akan berjaya membangunkan bidang-bidang tertentu.


Pada asasnya kekuatan ummah atau remaja mestilah kukuh akhlak dan keimanannya di samping ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Bagi meningkatkan kefahaman dan kekuatan ini bidang pendidikan memainkan peranan penting bagi membentuk jati diri setiap remaja. Pendidikan akal budi yang mantap dapat membentuk jiwa remaja yang perkasa.


Akal atau minda ialah sumber intelek yang dapat menghasilkan pengetahuan melalui proses pemikiran dan penakulan minda (akal). Akal ialah tempat bersemadinya kearifan dan kebijaksanaan (hikmah). Melaluinya manusia boleh memahami pengajaran dan pembelajaran dan pelbagai kemahiran untuk memajukan diri.


Melalui pengajaran dan pembelajaran Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis (KBKK) manusia, khususnya remaja dapat berfikir secara kritis dan berkesan menghasilkan idea dan buah fikiran serta reka cipta yang baharu. Pembangunan akal yang kreatif dan kritis dapat membantu seseorang dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Remaja yang terdidik akalnya akan dapat membuat analogi, membuat hipotesis, dalam memajukan diri ke arah pembangunan negara.


Manfaatnya kepada negara, akan dapat memacu kemajuan dan pembangunan yang dirancang. Pembangunan akal budi akan mengubah nilai seseorang ke arah kebaikan. Pendidikan yang seimbang dan berterusan mestilah dilakukan di peringkat awal remaja lagi.


Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/19
`