Memilih pokok renek berdaun warna

Memilih pokok renek berdaun warna

Oleh Azlan Hafeedz
rencana@hmetro.com.my


Sebagai ganti, pokok renek berdaun aneka warna dipilih kerana ia berfungsi menggantikan keindahan serlahan bunga sebagai elemen penghias taman serta landskap.

Bahkan ada segelintir masyarakat negara ini agak susah menerima hakikat pokok renek berdaun aneka warna memberi kesan warna sama dengan pokok renek berbunga.

Bagi mereka, jika tiada bunga bermakna tiada warna, walaupun ada sesetengah pokok renek berdaun aneka warna lebih menarik, tahan lebih lama dam senang diurus serta dijaga daripada pokok renek berbunga.

Antara spesies pokok renek berdaun aneka warna ialah jenis Ardisia elleptica, Euphorbia pulcherrime, Wrightia religiosa variegata, Tabernaemontana corymbosa, Gardenia jasmonoides dan Excocaria bicolor.

Spesies ini agak sesuai dimanfaatkan sebagai pokok pasuan untuk hiasan di rumah, pejabat atau bangunan, selain boleh ditanam secara berkelompok.

Sebagai contoh, pokok hiasan yang dicadangkan bagi kaedah pasuan dan penghias laman ialah Bougainvillea spp. ‘variegated leaves’ dan Codiaeum variegatum.

Bougainvillea spp atau pokok bunga kertas memiliki daun pelbagai warna terdiri merah, ungu, kuning, putih, hijau tua, hijau kekuningan dan hijau keputihan.

Pokok hiasan ini sesuai ditanam dalam bekas untuk hiasan sementara di rumah, selain dijadikan pokok untuk menghiasi pergola atau ‘trelis.’

Paling menarik, pokok bunga kertas ini mempunyai nilai yang tinggi kerana selain mempunyai warna terang dan menarik, ia boleh dibentuk seperti pokok bonsai.

Codiaeum variegatum dari famili Eurphorbiacceae atau nama biasanya, Puding Mas, Puding Perak, Daun Puding dan Croton adalah pokok berimbun tegak dan menjurai dengan daun bertekstur sederhana kasar atau halus dan sederhana padat mengikut spesis.

Kebanyakan spesies yang ditanam dalam landskap ialah Codiaeum variegatum General Paget, Warrenii, Taemosum, Delaware, Interuptum, Crispum, Majisticum, Norwood Beauty, Illustries, Punctatum auran dan Gloriosum superbum.

Selain sesuai ditanam secara berkelompok sebagai tanaman tumpuan, ia juga sebagai pokok latar belakang, tanaman pagaran, tanaman sepanjang jalan, tanaman pembahagi jalan jika pemiliknya bijak menyusun aturkannya.

Seperti mana pokok bunga kertas, daun puding turut menyerlahkan kombinasi warna daun hijau, kuning kemerahan dan keputihan, selain berkhasiat untuk tujuan perubatan tradisional.

Dua lagi pokok renek berdaun aneka warna yang agak tersohor serta banyak ditanam di sekitar pejabat ialah Silver Queen dari famili Celastraceae dan Ara Kuning (Urticaceae) atau nama saintifiknya, Ficus rubiginosa variegata.

Pokok Silver Queen yang berasal dari Jepun itu tumbuh merimbun dan tegak merendang dengan warna daunnya, kuning serta hijau di tengah, selain memiliki tekstur sederhana dan padat.

Dengan kadar pertumbuhan agak perlahan, pokok jenis itu mampu tumbuh sehingga dua meter dan dijadikan tanaman berkelompok, pagaran dan latar belakang dalam landskap.

Pokok Ara Kuning yang berdaun kuning agak menarik terutama jika digabungkan dengan tanaman lain menyebabkan ia dijadikan tanaman pinggir dan pembahagi jalan.