Khamis,24 Julai 2014

Mesin pencanai belah muka

KUALA TERENGGANU: “Nasib baik mesin pencanai itu tidak terkena leher, jika tidak mungkin saya sudah tidak ada lagi,” kata Marwardi Mustafa, 39, yang nyaris maut akibat terkena mesin pencanai di mulut dan pipi kirinya ketika memasang jubin di rumah rakannya di Kampung Pelong, Sungai Tong, Setiu, Ahad lalu.

Marwardi yang tinggal di kampung sama ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia sedang memasang jubin walaupun sebelum itu rakan yang juga pemilik rumah berkenaan berulang kali memintanya berhenti rehat kerana melihatnya seolah-olah kepenatan, kira-kira jam 4 petang.


“Saya membuat keputusan menghabiskan baki simen yang masih tinggal satu baldi lagi sebelum berhenti rehat dan meneruskan kerja memasang beberapa jubin di bahagian bawah dinding.

“Ketika memasang jubin itu, saya dapati ada serpihan yang terkeluar dari bahagian dinding dan cuba memotongnya dengan menggunakan mesin pencanai yang sudah ditukarkan matanya kepada mata pemotong kayu.


“Malangnya ketika memotong lebihan serpihan itu, mesin itu tersepit menyebabkan saya terlepas genggaman dan tercampak ke arah muka saya.


“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya langsung tidak sempat mengelak ketika mesin pencanai itu menerpa ke arah muka saya,” katanya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Marwardi berkata, dia kehilangan banyak darah apabila tiga batang gigi serta kulit di bahagian pipi kirinya terbelah akibat terkena mesin pencanai itu sebelum dihantar rakan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.


Sementara itu, isterinya, Mazni Harun, 34 berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan bergegas ke Hospital Setiu apabila dimaklumkan kemalangan yang menimpa suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/15
`