Jumaat,01 Ogos 2014

Minda: Islam perjelas hak, martabat wanita

Oleh Ummi Mukminah

HAL utama apabila menyebut permartabatan wanita ialah daripada pandangan umum Islam yang meletakkan wanita setaraf lelaki dalam status kemanusiaan.

Pada zaman praIslam, wanita diperlakukan seperti barang dagangan dan hamba yang boleh dijual beli dan tiada sebarang hak membuktikan kewujudannya dalam mana-mana ruang, lebih-lebih lagi dari sudut pemilikan harta dan mewarisinya daripada orang lain. Isu pemartabatan wanita tidak hanya dari aspek itu saja atau dengan menekankan pada apa yang selalu diulang-ulang pada masa lalu, terutama dari aspek pandangan agama yang telah diketahui umum. Fakta sejarah serta penekanan al-Quran dan sunnah amat penting apabila memperkatakan isu wanita.


Bagaimanapun, orang Islam juga perlu peka dan prihatin dengan perkembangan semasa di sekeliling mereka mengenai status wanita dalam Islam yang disuarakan secara amat negatif oleh orang lain, khususnya musuh Islam yang sering mencari titik yang boleh diguna untuk merendahkan pandangan dunia terhadap Islam.

Jadi, umat Islam harus bersedia dengan kepelbagaian hujah berbentuk ilmu dan pengetahuan yang boleh membantu pandangan sekularis memahami isu yang dibicarakan, termasuk isu wanita. Bagaimanapun, orang yang berfikiran sekular tetap akan mengabaikannya walaupun dibawa seribu ayat dan hadis.


Mereka lebih berminat dengan apa yang diucapkan melalui logik dan fakta, analisis sosial dan ekonomi. Justeru, orang Islam harus bersedia untuk berhujah dengan fakta al-Quran dan sunnah. Mereka juga harus menguasai penghujahan yang menggunakan pendekatan sosial, ekonomi dan politik semasa dengan kadar yang meyakinkan orang lain termasuk musuh Islam sendiri.


Dalam pemantauan terhadap Internet misalnya, ada maklumat yang amat mengelirukan mengenai kedudukan wanita dalam Islam. Maklumat yang diberikan dengan penyelewengan fakta sejarah dan agama telah memberi gambaran negatif Islam terhadap wanita. Wanita Islam digambarkan sebagai objek seks, kononnya kerana Rasulullah s.a.w telah berkahwin dengan ramai wanita dalam jangka masa pendek. Rasulullah juga dituduh mencabul hak wanita dengan mengahwini Aishah yang digambarkan sebagai bayi atau kanak-kanak yang masih kecil. Baginda turut dituduh tamakkan harta Khadijah kerana berkahwin dengan wanita itu ketika Baginda masih muda, kononnya semata-mata kerana mahu hidup mewah.

Banyak lagi pemesongan fakta serta analisis sejarah dan agama yang dilakukan pelbagai pihak dalam isu ini untuk merendah-rendahkan ajaran Islam. Orang awam yang tidak mendalami agama dan gagal menangkap rahsia serta hikmah peristiwa sejarah dan wahyu Allah s.w.t akan terpengaruh serta turut menyetujui segala tuduhan yang dilemparkan kepada Islam dan Nabi Muhammad.


Orang Islam zaman sekarang harus lebih serius dalam menangani isu sosial dan politik dunia terkini. Mereka harus lebih bersedia menghadapi cabaran global lebih hebat dari semasa ke semasa. Bagaimana harus dijawab mengenai Rasulullah dan isu perkahwinan Baginda misalnya, jika orang Islam sendiri tidak mengetahui persoalan sebenar. Jawapan tidak memadai dengan hanya membawa ayat dan hadis kerana orang yang berfikir secara sekular tidak akan yakin dengan jawapan itu.

Jawapannya harus disertai fakta sejarah yang membawa fakta sosial, ekonomi dan politik adalah fakta semasa mengapa Islam bertindak begitu melalui teladan Rasulullah yang melaksanakan hikmah dan akhlak wahyu Allah.


Orang Islam sekarang lemah kerana kegagalan menguasai ilmu pengetahuan yang sentiasa berubah-ubah. Perkembangan ilmu moden yang jauh ke depan tidak dapat dikejar orang Islam.


Akhirnya orang Islam menganggap al-Quran dan sunnah sudah memadai dengan memberi tafsiran tradisional tanpa dihubungkaitkan dengan perkembangan baharu yang berbeza dengan zaman ribuan tahun lampau. Namun, penegasan ini bukan bererti kita harus mengubah hukum dan isi kandungan al-Quran.


Pentafsiran bagi kandungan al-Quran berkait rapat dengan perkembangan dunia. Manusia harus mengalami kekayaan ilmu manusia yang masih tetap berlegar di sekitar prinsip tauhid, tetapi menjangkaui pemikiran jumud dan statik sebahagian umat kita.


Sejarah Islam memberi pelbagai statistik pembabitan wanita dalam aktiviti kehidupan dunia pada zaman Rasulullah dan sahabat Baginda. Bagaimanapun, statistik ini tidak hanya menggambarkan angka dan kuantiti saja. Ia turut menggambarkan kualitinya dan ketrampilan wanita zaman itu dalam bidang ilmu hingga sejarah dapat menyaksikan personaliti wanita seperti Aishah menguasai bidang ilmu yang amat mendalam. Statistik wanita Islam yang menonjol dalam masyarakat dan negara kita tidak harus hanya menggambarkan kuantiti. Kualiti mereka juga harus sesuatu yang membezakan wanita Islam negara kita dengan wanita Islam negara lain iaitu dari sudut keilmuan, moral dan maruahnya yang tinggi dan dominan.


Ketika itu, barulah pembabitan wanita dalam masyarakat kita benar-benar boleh dibanggakan. Dari sudut inilah timbulnya isu yang dibesar-besarkan mengenai mas kahwin. Mas kahwin sebagai lambang yang dikemukakan Islam untuk mengangkat wanita pada kedudukan tinggi iaitu dengan membenarkan wanita memiliki harta tanpa dapat diganggu gugat orang lain termasuk ibu bapanya sendiri, harus diberikan perhatian lelaki. Isunya bukan isu kepenggunaan yang berdasarkan kebendaan dan nilai benda. Isunya adalah nilai dan harga diri wanita yang wajar diberikan penghargaan tinggi.


Mas kahwin hanya satu contoh bagaimana Islam menginstitusikan martabat wanita serta melambangkan kebebasan dan kemerdekaan wanita daripada belenggu perhambaan serta imej komoditi yang boleh dijual beli sebagai barang dagangan.


Inilah isu yang sebenar yang harus disedari masyarakat umum dan yang harus dapat mengubah set minda masyarakat termasuk institusi agama yang tidak mengalami perubahan sejak berdekad-dekad lalu.


Bukan jumlah yang menjadi isu tetapi cara kita berfikir yang amat penting. Zaman sekarang adalah zaman berfikir dan bertindak, bukan zaman memukul gendang raya yang isinya kosong semata-mata.


Memartabatkan wanita bukan isu yang boleh diputarbelitkan menjadi isu gender atau urusan wanita yang harus ditentang lelaki. Ia bukan isu kepenggunaan yang harus dilihat dari segi kuantitatif semata-mata, sebaliknya isu sejagat yang membabitkan pandangan manusia, sikap masyarakat dan pemikiran terbuka semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/27
`