Minda: Makanan berkhasiat bantu pembelajaran

Minda: Makanan berkhasiat bantu pembelajaran



Dalam hal ini, makanan tidak sihat dan tidak berkhasiat menyumbang kepada ketidakseimbangan tumbesaran kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dan juga mereka yang berusia 13 hingga 17 tahun iaitu satu tempoh perkembangan yang penting dalam tumbesaran seseorang.

Mengamalkan gaya hidup sihat melalui mengawal makan adalah langkah paling baik dan berkesan bagi mengelakkan kegemukan atau obesiti di kalangan kanak-kanak terutama murid sekolah rendah dan menengah.

Kalangan pelajar terutamanya kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar seharusnya mereka dipastikan hanya makan makanan baik dan berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan susu selain perlu dididik menjauhi makanan ringan yang boleh menjejaskan tumbesaran.

Kajian menunjukkan kebanyakan makanan ringan masa kini banyak mengandungi gula, garam, pewarna dan perasa tiruan yang boleh mengakibatkan kerosakan gigi, menyumbang kepada obesiti, masalah buah pinggang dan pelbagai penyakit berbahaya.

Kesan daripada pengambilan makanan ringan berlebihan menyebabkan kanak-kanak terutama pelajar akan berada dalam keadaan mengantuk, letih, tidak bermaya di dalam kelas, tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran dan cepat lupa. Sedangkan bagi seseorang pelajar mereka perlu sentiasa berada dalam keadaan sihat, cergas dan dapat menumpukan pelajaran dengan sepenuh perhatian.

Ada juga kalangan mereka yang makan berlebihan terutama makanan mengandungi lebih lemak menyebabkan kegemukan. Apabila gemuk pelbagai penyakit boleh menyerang antaranya darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Justeru Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan melarang juadah mengandungi gula, garam dan lemak berlebihan tidak dibenarkan dijual di kantin sekolah. Kajian menunjukkan 10,000 sekolah rendah dan menengah terbabit di seluruh negara. Peraturan tersebut membabitkan 5.3 juta pelajar di sekolah rendah dan menengah.

Sehubungan itu, kerajaan menguatkuasakan peraturan melarang penjualan makanan dan minuman yang tidak berkhasiat selain mengurangkan kekerapan hidangan yang menggemukkan. Juadah nasi lemak kini hanya dibenarkan dijual seminggu sekali. Makanan seperti nasi lemak setiap hari memang tidak elok kerana mengandungi lemak dan mendedahkan kita kepada risiko mendapat pelbagai penyakit.

Makanan di kantin sekolah dikatakan mengandungi banyak minyak dan kalori didakwa tidak memberi khasiat yang diperlukan kerana tiada pemantauan berkala. Makanan seperti nasi lemak, kentang goreng, kurang sajian sayur-sayuran, buah-buahan yang menyebabkan ketidakseimbangan yang diperlukan tumbesaran badan. Pengusaha kantin bukan saja perlu mengurangkan kekerapan menjual nasi lemak tetapi juga makanan ringan yang digoreng seperti nugget.

Dalam melaksanakan langkah tersebut juga, pengusaha kantin sekolah digalakkan menggunakan santan rendah lemak bagi mengelakkan obesiti di kalangan pelajar. Selain isu makanan, semua guru juga diwajibkan mencatatkan Indeks Jisim Badan (BMI) dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding hanya memasukkan berat badan dan tinggi seseorang dalam amalan sebelum ini.

Bagaimanapun, kesatuan guru tidak mahu perkara ini menjadi beban kepada guru dan suatu langkah yang bijak perlu diambil bagi menanganinya. Antaranya, kerjasama pelajar juga penting dalam usaha mengelakkan kegemukan dan obesiti demi menerapkan amalan penjagaan kesihatan diri.

Dalam menangani masalah obesiti di kalangan pelajar, semua pihak mesti memainkan peranan penting dan berkesan. Ibu bapa juga memainkan peranan bagi memastikan anak-anak tidak terdedah dengan makanan tidak sihat, makanan segera di rumah dan semasa berada di luar.

Pihak sekolah juga perlu memantau penjualan makanan ringan sama ada di koperasi sekolah, di kantin dan di pekarangan iaitu di luar pagar sekolah. Peniaga juga jangan mengharapkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesannya kepada kanak-kanak dengan menjual makanan sesuka hati.

Kesan negatif terhadap pengambilan makanan ringan ini dikatakan mengandungi kesan jangka pendek iaitu mudah mengalami pelbagai penyakit seperti batuk, selesema, badan tidak bermaya di samping kesan jangka panjang yang boleh membantutkan tumbesaran dan menyebabkan obesiti.

Kajian menunjukkan obesiti menyebabkan pengumpulan lemak berlebihan di dalam badan yang menyumbang kepada kegemukan. Apabila badan gemuk akan menyebabkan pelbagai penyakit antaranya kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Sementara itu, kajian mendapati hampir tiga juta rakyat Malaysia yang kebanyakannya kanak-kanak dan remaja mengalami masalah kegemukan atau obesiti pada tahun 2000. Daripada kajian itu 25.6 peratus terdiri daripada masyarakat India, Melayu 22.4 peratus dan Cina 19.5 peratus.

Risiko obesiti menyebabkan pelbagai penyakit seperti kardiovaskular, strok atau angin ahmar, tekanan darah tinggi, diabetes, paras kolesterol tinggi, gout, sakit belakang, sukar bernafas, sakit lutut dan pinggang, gangguan pembuangan air kecil, penyakit hati dan barah usus.

Golongan obesiti dikatakan mempunyai berat badan sekurang-kurangnya dua kali lebih berbanding ukuran ideal. BMI melebihi 40 atau 35. Justeru, langkah yang lebih proaktif perlu dilakukan lebih awal di peringkat sekolah bagi menanganinya.

Langkah paling penting melalui pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) guru memberi kefahaman dan kesedaran kepada murid sekolah berkaitan makanan seimbang dan tidak seimbang yang boleh memberi kesan kepada kesihatan masa depan. Selain itu, pihak sekolah juga patut menggalakkan lebih aktiviti senaman setiap pagi di sekolah.

Di sekolah melalui mata pelajaran PJK, murid diajar tentang kesihatan diri dan keluarga, gaya hidup sihat yang menjurus kepada amalan pemakanan yang sihat dan tidak sihat. Peranan dan tanggungjawab ahli keluarga juga penting dalam memastikan pelajar mengambil makanan sihat dan berkhasiat.

Ironinya, ramai ibu bapa bersetuju kantin sekolah menyediakan makanan berkhasiat dan menyekat makanan tidak berkhasiat dihidangkan kepada pelajar sebab ramai kanak-kanak pada masa kini mengalami masalah obesiti dan kesihatan. Kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sesebuah sekolah juga dapat mengurangkan dan mengatasi masalah kesihatan dan obesiti di kalangan pelajar di sesebuah sekolah.


  • Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu