Selasa,16 September 2014

Minda: Memantapkan penggunaan bahasa Melayu

Oleh Jasni Majed

PELANCARAN Program Pembudayaan Bahasa memperlihatkan kepada kita betapa pentingnya penggunaan dan pemantapan bahasa bagi sebuah negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Meskipun kita menghuni sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa, bahasa Melayu sudah diiktiraf sebagai bahasa rasmi yang perlu difahami dan digunakan dalam pelbagai urusan terutamanya ketika berurusan dengan badan kerajaan.

Mata pelajaran Bahasa Malaysia yang wajib dipelajari semua murid di negara kita, tidak kira sekolah mana sekalipun menunjukkan usaha ke arah memantapkan bahasa Melayu.

Malah, syarat wajib lulus dan mendapat kepujian dalam mata pelajaran bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadikan Bahasa Melayu berada di tahap yang sepatutnya.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan perasmian program tersebut antara lain berharap bahasa Melayu diberi ruang dalam Indeks Prestasi Utama (KPI) di segenap peringkat eksekutif sektor swasta dan awam. Di samping itu, tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dalam urusan surat menyurat, pengendalian mesyuarat, ucapan dan perbincangan bagi kedua-dua sektor itu akan dijadikan penilaian tahap pencapaian dalam penggunaan bahasa Melayu.


Jelas di sini bahawa pembudayaan bahasa Melayu bukan hanya bergantung sepenuhnya kepada sektor awam, malah sektor swasta turut memainkan peranan besar untuk memastikan kejayaannya. Kerjasama dan pemantauan oleh badan bahasa sangat penting demi memastikan apa yang dicita-citakan ini akan menjadi kenyataan.

Kempen demi kempen mengenai bahasa sering kita lakukan namun usaha untuk menaikkan imej bahasa kebangsaan menemui pelbagai masalah. Ada yang menganggap kita semua mampu menggunakan bahasa kita dengan betul ketika kempen diadakan, tetapi selepas itu pertuturan kita menjadi tunggang-langgang.

Jika bahasa itu dilaung-laungkan sebagai lambang jati diri bangsa, maka sudah sewajarnya usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu diperhebatkan dan setiap warga yang bahasa ibundanya bahasa Melayu berusaha mendaulatkan bahasa Melayu.

Kita tidak nafikan keaslian bahasa ibunda tercemar akibat kemasukan dan percampuran istilah yang diguna pakai oleh masyarakat di negara kita termasuk orang Melayu sendiri ketika bertutur sesama rakan. Menurut sejarah, bahasa rojak sudah mula dapat dikesan ketika zaman Parameswara lagi iaitu pada zaman kesultanan Melayu Melaka.

Di Melaka ketika itu, terdapat 84 bahasa yang digunakan oleh penduduk tempatan, maka tidak hairan bahasa rojak dijadikan bahasa perantara untuk berurusan dalam pelbagai hal.

Sampai kini isu bahasa rojak tidak pernah selesai malah bertambah buruk sehingga menjejaskan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak dalam pertuturan terutamanya di kalangan remaja dikatakan menggagalkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Manakala menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), golongan remaja menjadikan bahasa rojak sebagai alat perhubungan dengan alasan bahasa itu ringkas dan mudah bagi mereka. Mereka tidak mempedulikan kesan penggunaan bahasa tersebut kerana bagi mereka apa yang penting adalah mereka boleh berhubung dan memahami antara satu dengan yang lain.

Dalam pada itu, oleh sebab ramai antara pemilik telefon bimbit sekarang terdiri daripada pelajar sekolah, maka tidak hairanlah wujud kebimbangan pelbagai pihak terhadap pengaruh bahasa rojak di kalangan pelajar.

Dalam penulisan karangan, kelemahan aspek bahasa pelajar termasuk penggunaan bahasa yang tidak mantap kerana dicampuradukkan dengan bahasa asing yang tidak difahami dengan mendalam maksud perkataan yang digunakan.

Tidak kurang juga penggunaan kata singkatan seperti ‘tak’ ‘yg’ ‘bpun’ ‘jd’ yang diguna pakai dalam khidmat pesanan ringkas itu turut dimasukkan dalam penulisan karangan oleh pelajar sekolah dan boleh menjejaskan pemarkahan dari segi ejaan.

Kepelbagaian jenis pencemaran bahasa di negara kita memerlukan pemantauan yang bersungguh-sungguh oleh pencinta bahasa. Badan yang bertanggungjawab untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, media massa perlu melipat- gandakan usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu supaya diyakini penggunaannya.

Membudayakan bahasa secara ringkas boleh dikatakan mengamalkan penggunaan bahasa kebangsaan selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan.

Ini tidak bermakna bahasa ibunda lain mesti diketepikan tetapi dalam pelbagai urusan harian yang membabitkan surat-menyurat, surat perjanjian jual beli, ceramah, seminar yang bersifat kebangsaan mesti menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Bagaimanapun, pengaruh bahasa basahan, bahasa remaja dan bahasa rojak sukar dibendung jika tidak disertai kesedaran individu. Agak malang jika pengaruh bahasa ini dicampur aduk dalam urusan rasmi termasuk ucapan dan ceramah dalam majlis.

Oleh itu, jika kita mementingkan identiti bangsa yang mampu terpancar menerusi bahasa, tidak perlu kita mencampuradukkan bahasa asing dalam pertuturan harian ketika berurusan atau berbual-bual sesama rakan.

Slogan ‘bahasa menunjukkan bangsa’ tidak berguna lagi jika orang Melayu mencampuradukkan bahasa Melayu dan Inggeris atau Arab dalam perbualan harian mereka.

Suatu masa dulu, kita pernah berura-ura untuk mengenakan denda kepada premis perniagaan yang membelakangkan bahasa kebangsaan di papan tanda premis perniagaan mereka.

Kita juga pernah melancarkan operasi mengesan kesalahan ejaan dan tatabahasa pada papan tanda premis perniagaan, lebuh raya dan sebagainya dan mencadangkan agar ditukar kesalahan tersebut.

Usaha ini dianggap positif kerana di samping menaikkan imej bahasa kebangsaan, kita juga sebenarnya mendidik orang ramai agar tidak memandang remeh terhadap bahasa kebangsaan.

Kerjasama pihak yang membuat kesalahan dengan bersedia dan berusaha menukar kesalahan mengenai bahasa amat dialu-alukan. Pelbagai pihak yang bersedia merujuk aspek bahasa kepada badan berpengaruh tentang bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan jalan terbaik mengurangkan masalah pencemaran bahasa di negara kita.

Meskipun hubungan antara masyarakat tidak terjejas disebabkan pencemaran bahasa, tetapi demi kelangsungan dan ‘jiwa’ Melayu itu, usaha mengangkat martabat bahasa itu sangat penting kerana bahasa melambangkan identiti kita.

Tidak salah kita menggunakan bahasa asing dalam pertuturan seharian, tetapi biar bertempat dan biar tidak dicampuradukkan. Jika bercakap Inggeris, cakaplah bahasa Inggeris sepenuhnya dan jika bertutur bahasa Melayu, bercakaplah bahasa Melayu sepenuhnya.


Penulis seorang guru

Artikel ini disiarkan pada : 2011/04/05
`