Jumaat,25 Julai 2014

Minda: Memantapkan sahsiah pelajar

SAUDARA Malek Murad dalam rencananya ‘Krisis disiplin di kalangan penuntut sekolah’ Dewan Masyarakat April 1975, antara lain menyentuh tentang pentingnya sekolah mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah jika sekolah mahu mengekalkan peranan tradisionalnya sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan.

Rencana itu sudah lama ditulis, tetapi gaya dan permasalahan yang dibangkitkan masih sama dengan apa yang masih diperkatakan sampai sekarang.

Ini bermakna masalah disiplin dan moral anak-anak muda bukan baru, cuma pendekatannya berbeza. Memang anak-anak muda zaman dulu tidak merempit, tidak melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam, tetapi kes lain seperti pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah berlaku dan masih dalam ruang lingkup sama iaitu salah laku membabitkan pihak tersebut.

Krisis nilai di kalangan anak-anak muda kini membimbangkan pelbagai pihak. Bukan saja ibu bapa yang pening memikirkan anak- anak mereka terutamanya ketika di luar rumah, masyarakat sekeliling turut bimbang dengan pelbagai keadaan yang berlaku membabitkan remaja.


Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita membabitkan kanak-kanak mahupun golongan remaja dan kebanyakannya masih di bangku sekolah. Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut mengenai kejayaan mereka dalam sesuatu bidang, tetapi agak malang jika kita didedahkan dengan berita penangkapan mereka atas sesuatu kesalahan yang mereka lakukan.


Paparan media massa mengenai segala jenis salah laku termasuk jenayah memang cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil lagi mereka sudah dipengaruhi norma-norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani kehidupan harian dan menempuh masa depan.

Segala kemelut ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan penekanan nilai murni melalui subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jiwa mereka supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan dengan segala macam cabaran di luar kelak.

Di sekolah, antara subjek yang mengandungi penekanan nilai murni termasuk Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini dirasakan sudah cukup membimbing pelajar ke arah kemantapan jiwa dan sahsiah.

Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalan Komponen Sastera (Komsas) sejak tahun 2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai murni di kalangan pelajar sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera baik prosa moden dan tradisional, puisi, novel dan drama menyelitkan pelbagai nilai murni yang boleh digarap pelajar.

Keberkesanan Komsas bukan hanya untuk melatih pelajar menjadi penulis, tetapi memantapkan pemahaman dan kepatuhan mereka terhadap nilai murni yang disogokkan kepada mereka lewat karya sastera kemudian diterjemah dalam kehidupan seharian.

Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, unit pakaian seragam dan sukan juga tidak kurang penting memainkan peranan membentuk pelajar menjadi insan mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu, tabah, sabar dan rajin dalam menjalankan sesuatu tugas yang diamanahkan.

Pihak sekolah mesti memastikan setiap aktiviti ini dilibatkan pelajar dan bentuk tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada pelajar enggan memberi kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah.

Sekolah mesti mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa sekiranya ada pelajar memandang rendah kepada setiap peraturan yang ditetapkan di sekolah. Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa yang selalu menyebelahi anak mereka walaupun anak ternyata melanggar peraturan sekolah.

Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah tidak akan dipandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan imej institusi pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah pelajar.

Jadi, apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai salah laku di kalangan remaja seperti kes buang bayi, dadah, pergaduhan dan sebagainya kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan sedia ada di negara kita.

Kita pernah mendengar berita mengenai pelajar menyamun di sebuah kedai serbaneka menggunakan pistol mainan dan parang panjang, kita pernah mendengar kisah pelajar mencederakan guru, merosakkan kereta guru dan sebagainya yang memperlihatkan bahawa jenayah dan salah laku bukan hanya dilakukan orang dewasa, malah golongan yang sedang menimba ilmu pengetahuan.

Sebenarnya, pemahaman dan pembabitan pelajar dalam aktiviti yang ditetapkan di sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang mereka daripada melakukan pelbagai salah laku.

Persoalannya, mengapa ada antara mereka yang masih tergamak melakukan pelbagai salah laku termasuk melawan guru, merosakkan harta benda sekolah, terbabit dadah dan jenayah lain?

Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau memandang ringan terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka liar dan tidak memahami apa tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.

Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan terselindung di sebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka lepas tangan atau tidak mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek yang mereka pelajari.

Ironinya, boleh kita fikirkan sendiri bahawa setiap pelajar itu, jika kita kira sejak bersekolah di peringkat sekolah rendah hingga tamat persekolahan di peringkat menengah, mungkin hampir seratus guru mengajar mereka.

Jika difikirkan lagi, mana ada guru yang menyuruh anak muridnya mencuri, merompak, menipu orang, tetapi setiap guru memberi ajaran positif ke arah kecemerlangan individu dalam mendepani hari muka.

Oleh itu, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh menjejaskan pelbagai aspek hidup. Selain ibu bapa dan masyarakat sekeliling, sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem pendidikan ke arah melahirkan insan lebih bijak menilai mana kaca dan permata.

Sejak tahun 70-an lagi kita sudah menyedari sistem pendidikan kita condong ke arah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi salah satu penghalang membentuk sahsiah pelajar. Kita agak ketinggalan kerana sampai kini kita masih melaung-laungkan perkara sama sedangkan sudah lebih 30 tahun perkara ini diungkit.

Sampai masanya kita mengubah sistem dan persepsi tersebut supaya kita dapat mengurangkan pelbagai masalah yang mengitari hidup pelajar di negara kita.

  • Penulis seorang guru

    Artikel ini disiarkan pada : 2011/02/07
  • `