Jumaat,11 Julai 2014

Minda: Pembentukan modal insan secara holistik

BIDANG pendidikan terus diberi keutamaan dalam membentuk modal insan berkualiti dan berdaya saing menjelang 2020. Konsep pembangunan modal insan diberi penekanan serius sejajar dengan perancangan negara maju dalam bidang sains dan teknologi berdasarkan acuan sendiri.

Sehubungan itu, pembangunan modal insan perlu dirancang dengan rapi dan pelaksanaannya perlu diselia dengan baik, beramanah demi memastikan matlamat tersebut tercapai.

Ini berdasarkan hala tuju Malaysia yang berhasrat menjadi sebuah negara maju yang mampu melahirkan modal insan seimbang dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan.

Justeru, landasan untuk memajukan sesebuah negara banyak bergantung pada modal insan yang dilahirkan. Pembangunan modal insan sangat penting. Pembentukan negara bangsa menjadi semakin mencabar terutama pada era globalisasi.


Jelaslah, globalisasi bukan saja berkuasa menggerakkan modal, barangan dan manusia, tetapi berupaya mengubah gagasan, budaya, cara hidup, nilai dan jati diri secara terus menerus. Gagasan tersebut mampu menjadi kenyataan sekiranya rakyat peka dan membuat penilaian sebelum menerima apa saja yang dibawa arus globalisasi.


Ini terbukti melalui peruntukan besar RM29.3 bilion kepada sektor pendidikan negara yang jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat mementingkan pembangunan modal insan melibatkan seluruh masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran telah menerima suntikan besar dalam Bajet 2011 iaitu peningkatan 14.9 peratus berbanding tahun ini, RM24.5 bilion.

Menurut beliau, peruntukan untuk pembangunan sektor pendidikan juga meningkat RM1.5 bilion atau 26.5 peratus iaitu kementerian menerima RM4.9 bilion bagi tahun ini dan meningkat kepada RM6.4 bilion pada 2011.

Jelasnya lagi, semua itu termasuk peruntukan istimewa RM250 juta untuk pembangunan Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil dan sekolah mubaligh serta sekolah bantuan kerajaan.

“Peningkatan itu lebih 500 peratus berbanding hanya RM39.2 juta yang diterima pada tahun ini yang dijangka mendapat faedah maksimum dan kerajaan amat mementingkan pembangunan modal insan dengan Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia diberikan tanggungjawab melengkapkannya,” katanya.

Melalui peruntukan besar ini, usaha membangunkan modal insan perlu dibuat secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual termasuk dalam bidang sains dan teknologi dan keusahawanan, pembudayaan sikap progresif serta pengamalan nilai, etika dan modal yang tinggi seperti ditegaskan dalam Pelan Integrasi Nasional.

Dalam melaksanakan usaha ini, kerajaan membawa masuk guru pakar bahasa Inggeris seramai 370 orang dari luar negara yang akan memulakan tugas mereka tahun depan.

Guru pakar bahasa ini tidak akan ditempatkan untuk mengajar di sekolah saja, sebaliknya bertanggungjawab membantu guru tempatan yang mengajar bahasa tersebut. Mereka juga akan membantu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah yang akan memberi manfaat kepada pelajar ke arah membentuk modal insan berilmu pengetahuan dan berkemahiran dalam bahasa.

Sementara itu, projek susu sekolah 1Malaysia yang telah dilancarkan akan terus dimanfaatkan pelajar di samping pemberian multi vitamin di sekolah rendah seluruh negara bagi meningkatkan kesihatan, sekali gus menyeimbangkan pemikiran dan membentuk modal insan sihat, cergas dan berkualiti.

Justeru, modal insan berkualiti mesti mempunyai tahap kesihatan yang baik dan dapat meningkatkan pemahaman terhadap apa juga ilmu pengetahuan serta kemahiran yang diajar guru di sekolah. Mereka ini akan mampu berdepan dengan cabaran semasa dan bersaing di peringkat antarabangsa.

Ini ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika pembentangan Bajet 2011 yang menyatakan modal insan berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah prasyarat mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Oleh itu, aspek pendidikan dan latihan akan disusun semula dan diperkukuhkan.

Hasrat kerajaan ini seharusnya difahami ibu bapa dan guru yang menjadi tenaga penting ke arah menyediakan modal insan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan negara. Apa yang penting adalah pengisian modal insan yang berilmu, berakhlak dan bermoral tinggi.

Kesimpulannya, penekanan ini sejajar dengan perancangan negara untuk melahirkan modal insan yang mantap dari segi ilmu pengetahuan dan akhlak. Hanya melalui ciri-ciri ini pembangunan negara mampu direalisasikan untuk mencapai kemajuan yang dicita-citakan.

Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/10/27
`