Minda: Pengangkutan lestari mesra alam (Sambungan semalam)

Minda: Pengangkutan lestari mesra alam (Sambungan semalam)

Oleh Profesor Madya Sabariah Jemali


Kerajaan sedar pengangkutan awam bukan merupakan suatu perniagaan, tetapi utiliti dan bukan mudah bagi pengangkutan awam untuk mengecapi keuntungan. Terdapat cara untuk mengurangkan kos dan menaikkan perolehan, tetapi biasanya pengendali mempunyai masalah dalam menampung kos dan menjalankan operasi dengan mendapat untung.

Begitu juga keadaannya di London dan Hong Kong. Di negara ini, terdapat seorang pengurus yang memastikan pengendali diberikan laluan tertentu, menggunakan warna standard dan memenuhi KPI ditetapkan. Mereka kemudian diberikan yuran. Dengan cara ini, penglibatan pengendali terjamin dan kawasan yang diliputi sistem pengangkutan awam adalah lebih lengkap berbanding kawasan yang tidak mempunyai sebarang bentuk pengangkutan awam.

Dalam kes di Lembah Klang, sebagai contoh, Prasarana sepatutnya menjadi pengurus tunggal, menguruskan beberapa pengendali rel bersama SPAD dengan syarat Prasarana melaksanakan tugasnya dengan baik. SPAD hanya perlu berurusan dengan sebuah entiti sahaja, iaitu Prasarana dan bukannya beberapa entiti. SPAD kemudian boleh memberi tumpuan kepada masalah keseluruhan seperti dasar pengangkutan awam, tambang standard dan lain-lain lagi.

Pengalaman lampau di Lembah Klang, apabila beberapa pengendali dibenarkan menjalankan rangkaian rel dan bas demi keuntungan, mengakibatkan pengendali tidak mampu mendapat pulangan daripada pelaburan dan penumpang di laluan yang kurang penumpang sepatutnya tidak berulang.

Mana-mana sistem pengangkutan awam di kawasan bandar hendaklah memenuhi keperluan semua penduduk dan bukan hanya kumpulan berpendapatan rendah atau hanya kumpulan berpendapatan sederhana atau hanya pelancong. Perancangan yang sedemikian hanya akan mengakibatkan sistem pengangkutan awam itu tidak digunakan sepenuhnya.

Ini bermaksud tahap perkhidmatan tersebut hendaklah sama-sama memenuhi keperluan eksekutif tahap tinggi atau buruh, iaitu keselesaan berhawa dingin, tandas bersih, laluan pejalan kaki yang berbumbung dan berlampu, papan tanda yang betul dan jadual tepat pada harga tambang yang berpatutan.

Ini akan memastikan kadar penggunaan yang lebih tinggi di kalangan penduduk dan mereka akan melihat pengangkutan awam dengan lebih positif. Hari ini, ramai pemilik kenderaan di Lembah Klang tidak menyukai pengangkutan awam hanya kerana pengangkutan awam tidak mencapai tahap tertentu berbanding mereka yang tidak mempunyai pilihan lain.

Prasarana berasaskan rel di Lembah Klang agak meluas dengan jumlah kepanjangan 224.6km seperti berikut:

Laluan Ampang – 27km (25 stesen)
Laluan Kelana Jaya – 29km (24 stesen)
Monorel – 8.6km (11 stesen)
KTM Komuter Sentul – Port Klang – 43 km (13 stesen)
KTM Komuter Batu Caves – Sentul – 7 km (4 stesen)
KTM Komuter Sungai Buloh – Kajang – 53 km (14 stesen)
ERL – 57km (5 stesen)

Walaupun angka ini agak membanggakan, kita masih memerlukan integrasi yang lebih baik antara rangkaian rel dengan pengangkutan awam lain.

Seorang penumpang hendaklah boleh bergerak dalam rangkaian dengan mudah tanpa perlu risau untuk membeli tiket di laluan lain atau boleh bertukar tren dengan mudah. Mereka juga mudah untuk ke stesen tren dari rumah mereka atau menuju ke destinasi apabila turun dari tren. Memandangkan rangkaian rel mempunyai tahap kesampaian yang terhad dan tidak boleh sampai ke setiap destinasi, adalah penting rangkaian rel ini disokong dengan rangkaian bas suapan yang baik. Rangkaian bas suapan ini hendaklah dirancang dengan sebegitu cara agar mereka yang tinggal pada jarak anggaran 3 kilometer dari mana-mana stesen boleh sampai ke stesen dalam masa 15 minit.

Jarak rangkaian rel ditambah 35 kilometer lagi dengan penambahan laluan Ampang dan Kelana Jaya, manakala laluan MRT pula akan menambah 141 kilometer rel lagi dalam memenuhi pertambahan penduduk kepada 10 juta menjelang 2020.

Integrasi strategik perlu ditekankan seperti menggunakan kaedah pengangkutan lain untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan, jika tidak, pertambahan kilometer tersebut tidak mampu menarik mereka yang menggunakan pengangkutan sendiri untuk menukar kepada pengangkutan awam.

Pengangkutan awam, terutama rangkaian rel yang lebih mesra alam boleh menjadi sebahagian daripada dasar ‘hijau’, isu lebih meluas dalam mengurangkan pengeluaran karbon dioksida dan melindungi alam sekitar.

Ia bagi mempromosi dan menggunakan rangkaian rel untuk menggantikan kenderaan yang mencemarkan terutamanya yang hanya mempunyai seorang penumpang. Dianggarkan, satu tren MRT dengan empat gerabak boleh membawa 1,200 orang, iaitu bilangan purata penumpang untuk 700 kereta.

Lembah Klang semestinya memerlukan sistem MRT. Tetapi lebih penting, ia memerlukan pelaksanaan dasar pengangkutan awam yang lestari. Pelan Induk Pengangkutan Awam Lembah Klang hendaklah menyepadukan elemen utiliti, perangkuman, integrasi dan kelestarian bagi memastikan pengangkutan awam tersebut mendapat sambutan daripada orang awam yang disasarkan. MRT saja bukan penyelesaian muktamad, tetapi kita memerlukan dasar pengangkutan awam yang baik.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Perhubungan
Industri UiTM