Selasa,23 September 2014

Minda: Percaya punca jenayah rogol

KES jenayah berkaitan keganasan seks seperti rogol, liwat dan sumbang mahram dilaporkan semakin meningkat sejak lima tahun lalu. Berdasarkan statistik, keganasan jenayah seks yang dilaporkan pada 2005 ialah 2,427 kes manakala 2,943 (2006); 3,689 (2007); 3,986 (2008) dan 4,238 (2009), keseluruhannya 17,283 kes.

Jumlah tangkapan bagi kes jenayah berkenaan semakin meningkat daripada 1,504 orang pada 2005 kepada 2,701 pada 2009 iaitu peningkatan 1,197 orang. Manakala bagi jumlah pesalah yang didakwa di mahkamah sepanjang tempoh itu bagi kesalahan rogol, liwat dan sumbang mahram ialah 1,437 orang di mana bagi 2005, jumlah pesalah yang didakwa ialah 308 orang; 410 (2006); 304 (2007); 228 (2008) dan 187 (2009).


Menurut statistik dikeluarkan polis, daripada keseluruhan 13,134 kes dilaporkan sepanjang 2000 hingga 2008, Selangor mencatatkan bilangan kes rogol tertinggi iaitu 2,403 kes, diikuti Johor (2,186), Kedah (1,164), Sabah (1,034), Perak (939) dan Kuala Lumpur (847), Pahang (722), Sarawak (715), Kelantan (636), Negeri Sembilan (623), Pulau Pinang (622), Melaka (588), Terengganu (521) dan Perlis (134). Secara relatifnya, kemajuan sesuatu negeri dilihat menyebabkan bilangan penduduk bertambah serta menjadi tumpuan ramai dan secara logiknya, lebih ramai populasi penduduk maka lebih tinggi kadar jenayah yang berlaku.

Namun begitu, menurut penganalisis jenayah dari Yayasan Pencegahan Jenayah, Kamal Affandi Hashim, jumlah laporan kes rogol yang tinggi bagaimanapun tidak mencerminkan terlalu banyak jenayah tersebut berlaku di negara ini dan sebaliknya bilangan laporan yang tinggi bermakna wujud kerjasama erat dan jaringan yang baik antara masyarakat dan polis. Ini kerana lebih banyak kes dilaporkan bermakna orang ramai kini lebih bersedia untuk tampil membuat laporan jenayah dan lebih baik berbanding kes yang disembunyikan. Dalam kes rogol misalnya, ramai mangsa serta keluarga enggan membuat laporan kerana malu sedangkan mereka tidak bersalah dan tidak perlu berperasaan sedemikian.


Secara amnya, faktor umur dan tahap kematangan remaja menyebabkan mereka terbabit dalam jenayah rogol walaupun ada elemen suka sama suka dan mangsa mengenali perogol.


Faktor tertentu seperti suasana persekitaran keluarga juga membuatkan remaja mudah terlibat dalam hubungan seks bawah umur dan banyak kes rogol dilaporkan berpunca daripada perasaan terlalu mempercayai pasangan menyebabkan mangsa bersetuju untuk melakukan hubungan seks.

Siasatan turut mendapati kebanyakan kes berlaku apabila mangsa lari dari rumah dan dalam sesetengah kes, ada mangsa menghilangkan diri sehingga berbulan-bulan di mana setelah dijumpai semula, mangsa membuat pengakuan mengadakan hubungan seks dengan teman lelaki. Polis Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan 40 daripada 56 kes rogol dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini membabitkan mangsa di bawah usia 16 tahun. Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah sebahagian besar kes tersebut melibatkan mangsa melakukan perbuatan itu atas kerelaan sendiri. Meskipun demikian, golongan terbabit tetap dianggap melakukan jenayah kerana melakukan persetubuhan dengan gadis di bawah usia adalah perbuatan jenayah dan salah di sisi undang-undang serta boleh didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (Akta 574). Kementerian Pelajaran turut mengesan 21 kes pelajar mengandung luar nikah di sekolah bandar dan luar bandar antara tahun 2006 dan 2010 di mana 12 kes yang direkodkan di sekolah luar bandar sementara sembilan kes lagi di sekolah bandar. Sebanyak 20 kes mengandung luar nikah itu berlaku berdasarkan suka sama suka antara pelajar dan pasangan mereka sementara satu kes melibatkan jenayah rogol. Semua kes ini dikumpulkan berdasarkan sumber laporan akhbar, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah terbabit dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bagaimanapun, pelajar yang dilaporkan mengandung luar nikah tidak boleh dibuang dari sekolah mengikut Akta Pendidikan 1966 tetapi akan dinasihatkan bercuti sehingga mereka bersalin.


Oleh itu, melihat perkembangan semasa dan statistik jenayah rogol dinasihatkan agar ibu bapa sentiasa memastikan anak gadis mereka tidak terjebak dalam kegiatan maksiat atau menjadi mangsa rogol yang didapati kian meningkat sejak kebelakangan ini. Kebanyakan kes rogol yang dilaporkan bukan daripada jenis kekerasan, sebaliknya atas kerelaan mangsa terutama dari kalangan remaja perempuan bawah umur yang terlibat melakukan hubungan seks. Ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap anak gadis masing-masing supaya tidak terlibat dalam pergaulan bebas yang boleh memberi kesan kepada masa depan anak mereka.

Di samping didikan agama yang mantap dan berterusan, ibu bapa termasuk masyarakat perlu memberi perhatian sewajarnya terhadap gejala tersebut bagi mengelakkan ia berlarutan menjadi serius hingga sukar ditangani kelak. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak dan bukan saja diserahkan kepada pihak berkuasa seperti polis atau pejabat agama untuk menanganinya. Masyarakat perlu mengambil iktibar daripada pelbagai laporan media mengenai kejadian rogol ini dan menjaga anak mereka supaya tidak menjadi mangsa rogol. Masalah sosial ini berterusan berikutan naluri kedewasaan pelajar di samping kebebasan keterlaluan yang diberi keluarga sehingga ada kejadian berkenaan berlaku di rumah dan bilik pelajar itu sendiri.


Malah, kerajaan juga wajar menggubal dan meluluskan undang-undang baru lebih berat terhadap perogol kanak-kanak. Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, undang-undang sedia ada sudah begitu lama dan apa yang berlaku pada masa kini pula jauh berbeza dari dulu termasuk gambar lucah dan pornografi yang begitu mudah didapati. Sebelum itu, peguam terkenal, Karpal Singh meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan supaya perogol kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mati di mana mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan, hukuman bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ialah penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan. Kerajaan juga tidak boleh bertolak ansur dengan pelaku jenayah itu dan isu ini tidak wajar dipandang ringan serta masyarakat perlu mengecam jenayah rogol membabitkan kanak-kanak.


Dalam satu kes yang diputuskan di Mahkamah Tinggi dalam Nisam Ahmad melawan Pendakwa Raya (2010), di mana Yang Arif Hakim memutuskan hukuman yang dijatuhkan hendaklah mengandungi elemen yang berfungsi untuk menghukum pesalah dan juga mencegah orang lain yang mempunyai niat sama untuk melakukan, mengulangi atau meniru kesalahan atau jenayah yang sama. Hukuman itu hendaklah juga menunjukkan betapa seriusnya jenayah tersebut serta meninggalkan ingatan ‘that it does not pay to commit such crime’. Ini kerana dalam jenayah rogol bawah umur, mangsa adalah kanak-kanak yang masih naif tidak tahu betapa ganasnya dunia di luar sana. Perogol mengambil kesempatan sepenuhnya di atas kenaifan mangsanya untuk memerangkap dengan tipu daya dan seterusnya membiarkan nafsu liarnya ke atas mangsa. Perbuatan perogol nyata amatlah kejam, keji lagi terkutuk pada pandangan masyarakat baik dari sudut moral, agama, budaya, latar belakang mahupun dari segi undang-undang. Masyarakat secara umumnya tidak boleh bertoleransi terhadap jenayah kejam ini dan dengan itu hukuman yang dikenakan hendaklah juga mencerminkan ‘the public’s intolerance and abhorrence’ ke atas jenayah yang seperti ini lebih-lebih lagi jika ia melibatkan anak-anak yang masih mentah.

>Penulis seorang peguam

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/08
`