Jumaat,19 September 2014

Minda: Tutur kata cermin hati

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

KAEDAH berkomunikasi dan berinteraksi sesama insan dengan aturan tutur kata berhemah dan bersopan tinggi menjadi penentu kepada terbina perwatakan peribadi unggul. Atas dasar itulah Islam sangat memfokuskan perkara itu kepada setiap umatnya.

Penggunaan bahasa lisan dengan bahasa yang sopan akan memberikan impak positif dapat mewujudkan suasana hubungan yang mesra dan kondusif.

Peri penting menjaga lisan agar tidak melencong daripada landasan yang dikehendaki agama membuatkan Ibnu Qaiyyim Rahimullah ada berpesan yang katanya, “Kadangkala manusia diberi kekuatan untuk memelihara dan menjaga dirinya daripada makanan yang haram, berbuat zalim, berzina, mencuri, minum khamar (arak), memandang yang haram dan lain-lain lagi. Tetapi tidak untuk lisan.

Sehingga anda sering melihat seseorang yang mampu melaksanakan ajaran agama, zuhud dan rajin beribadat tetapi sering mengucapkan kata-kata mengundang kemurkaan Allah, malah kadangkala berani menjadi saksi palsu dan menolak kebenaran.”


Muhammad bin Wasi’ pula pernah berpesan kepada Malik bin Dinar dengan katanya; “Wahai Abu Yahya. Menjaga lidah itu lebih sukar bagi manusia daripada menjaga dinar dan dirham (harta)”. Benar dan tepat kata-kata itu kerana kita dalam kehidupan moden ini begitu berhati-hati dan bersungguh-sungguh dalam aspek memelihara harta kekayaan yang kita miliki. Tetapi bagaimana sikap kita dengan pemeliharaan lisan atau tutur kata seharian?


Sedangkan aspek memelihara lidah itu mesti diutamakan dan didahulukan sebelum menjaga yang lain. Sebab itulah Hasan al-Basri mengatakan; “Tidak memahami agamanya yang tidak menjaga lidahnya.” Ibnu Thaus pula berkata; “Lidahku ini binatang buas, jikalau aku lepaskan, nescaya ia memakan aku.”

Menggunakan lidah untuk mengeluarkan tutur kata baik, berhemah dan bermanfaat itu menjadikan cermin hati seseorang. Jadi, seharusnya seseorang itu sentiasa berwaspada dan berfikir banyak kali sebelum bertutur. Ini kerana sebarang kata yang menyakiti orang lain atau bersifat keji akan mengakibatkan suasana perhubungan sesama manusia menjadi keruh dan tegang. Abdullah bin Mas’ud berkata; “Demi Allah yang tiada disembah melainkan Dia. Tiadalah sesuatu yang lebih memerlukan kepada lamanya ditahan selain lidah.”

Saidina Abu Bakar as-Shidiq dikatakan pernah meletakkan batu kecil dalam mulutnya untuk mencegah dirinya daripada berkata-kata. Dia pernah menunjukkan lidahnya sambil berkata; “Inilah yang mendatangkan hal-hal kebinasaan kepadaku.” Begitulah berhati-hatinya Abu Bakar dalam aspek mengeluarkan tutur kata dan begitu takut lidahnya membawa kecelakaan dan kemurkaan Allah. Kita bagaimana pula?

Sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita, sikap memperkatakan hal orang lain, khasnya yang bersangkutan sesuatu keaiban suatu amalan biasa dan tidak menampakkan rasa berdosa. Padahal perbuatan sebegitu amat ditegah oleh Allah dan jauh melencong daripada kehendak agama. Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepada kita agar tidak membuang masa membualkan hal orang lain yang tidak memberikan sebarang manfaat pun. Kata Rasulullah; “Di antara kebagusan seorang Islam ialah meninggalkan perkara yang tiada sangkut-paut dengan dirinya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Akan tetapi keadaan mutakhir ini, kalangan umat Islam begitu ghairah seronok pula apabila memperkatakan hal orang lain. Mari kita hayati dan renungi betul-betul akan pesanan Atha’ bin Abi Rabah ini; “Orang sebelum kamu tidak suka kepada kata-kata yang berlebihan melainkan, terhadap Kitab Allah (al-Quran), hadis dan sunah Rasul-Nya, perintah suruhan dan larangan Allah dan berkata yang perlu saja dalam kehidupan, iaitu yang mesti dicakapkan.”

Begitu juga Ibrahim at-Taimi pernah juga mengatakan; “Apabila orang yang beriman itu hendak bercakap, maka hendaklah diperhatikan. Jika ada yang bermanfaat baginya, maka dia bercakap. Jika tidak, maka ia akan menahan lidahnya daripada bercakap. Orang yang zalim lidahnya terus-menerus melepaskan kata-kata.”

Ini satu pesanan yang amat baik buat kita semua supaya menjaga amanah kurniaan lidah dengan sebaik yang termampu. Amar bin Dinar ada menceritakan bahawa pada suatu hari seorang lelaki berkata-kata dengan Rasulullah dengan kata-kata yang banyak. Maka Rasulullah pun bertanya kepadanya, “Ada berapa dinding yang menghambat lidahmu?” Lelaki itupun menjawab; “Dua bibirku dan gigi-gigiku.” Lalu Rasulullah berkata lagi kepadanya; “Apakah dalam keadaan demikian engkau tidak mempunyai sesuatu yang dapat menolak kata-katamu.” (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya )

Dalam keadaan berkata-kata banyak pun Rasulullah menegur, apatah lagi jika lidah kita gunakan untuk mengeluarkan tutur kata keji, yang berunsur fitnah, mengumpat orang lain dan berkata dengan sombong. Masya-Allah betapa besarnya dosa kita jika berkeadaan begitu! Ingatlah dalam Surah al-Hujurat ayat 12, Allah ada memberi amaran keras kepada kita agar menghindari diri daripada salah laku lidah dengan berbuat fitnah, mengaibkan orang lain dan mengumpat.

Firman Allah yang bermaksud; “Dan janganlah kamu mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain.” Adakah kita menghayati ayat Allah ini di dalam kehidupan kita seharian atau kita meremehkan saja amaran tersebut?

Sesungguhnya beruntunglah dan berbahagialah mukmin yang bijaksana memelihara lisan atau lidahnya.

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah. Marilah kita hayati kenyataan Allah ini, “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).’ (Maksud Surah Qaaf ayat 18).

Ini satu lagi peringatan Allah buat kita semua, baca dan renunglah wahai saudaraku sekalian! Kata Allah, “Pada hari ketika lidah, tangan dan kaki menjadi saksi atas mereka terhadap apa-apa yang dulu mereka kerja.” (Maksud Surah An-Nur ayat 24). Jadi, berwaspadalah kita dalam menuturkan kata-kata.

  • Penulis seorang guru

    Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/04
  • `