Jumaat,22 Ogos 2014

Motosikal kuasa tinggi meriah suasana

SEBERANG JAYA: Pemain dan pengunjung Karnival Futsal Harian Metro 2011 gempar apabila bunyi bingit kehadiran 150 motosikal berkuasa tinggi berkonvoi hadir memberikan sokongan kejohanan berkenaan di Safira Sports Planet, di sini, petang semalam.

Kehadiran kumpulan itu memeriahkan lagi kejohanan futsal terbesar anjuran akhbar nombor satu negara yang berjaya menarik perhatian orang ramai untuk bergambar dan juga melihat motosikal berkenaan dengan lebih dekat.


Sebelum itu, konvoi berkenaan yang dirancang khas sempena kejohanan berkenaan dilepaskan Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail di Megamall Pulau Pinang sambil disaksikan Pengarang Sukan Harian Metro, Mohd Radzi Wahab.

Abdul Ghafar berkata, Harian Metro menghargai sokongan yang diberikan pemilik motosikal berkuasa tinggi itu kerana sanggup untuk berkumpul dan hadir ke lokasi kejohanan futsal yang diadakan.


Menurutnya, kehadiran mereka menambahkan lagi kemeriahan pertandingan sekali gus mampu menarik lebih ramai pengunjung ke kejohanan berkenaan.


Katanya, kehadiran mereka juga membuktikan Harian Metro mendapat perhatian daripada semua lapisan masyarakat yang bersedia untuk bekerjasama dalam menjayakan sesuatu program.

“Harian Metro juga sedia untuk bekerjasama lagi dengan kumpulan motosikal berkuasa tinggi seperti ini dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan pada masa depan,” katanya.


Karnival Futsal Harian Metro 2011, di sini yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu adalah lokasi kedua tahun ini selepas zon tengah dan mencatatkan rekod penyertaan tertinggi bagi zon utara membabitkan 341 pasukan bagi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu terbuka, wanita dan lelaki bawah 17 tahun.

Sementara itu, ketua konvoi motosikal berkuasa tinggi itu, Azmidy Mohamad dari Butterworth Bikers Club berkata kehadiran mereka adalah bagi memberi sokongan kepada Harian Metro sempena karnival futsal yang diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/04/02
`