SUBANG JAYA: “Disebabkan percayakan lelaki itu, hidup saya musnah. Saya diisytiharkan muflis dan kehilangan pekerjaan,” kata bekas peguam yang menjadi mangsa penipuan seorang penganggur yang dipercayai memperdaya lebih 50 syarikat dan individu dalam projek pembinaan.
“Selepas mendapati adiknya bertugas agensi kerajaan selain penampilan lelaki itu yang meyakinkan, saya bersetuju firma guaman saya ketika itu dilantik menguruskan pelantikan kontraktor bagi tiga projek yang kononnya diperuntukkan kepadanya iaitu menaik taraf jalan dari Seremban ke Senawang, menaik taraf jalan Sungai Balang, Batu Pahat Johor dan memperelokkan jalan di Lubok Cina, Melaka.
“Ada tiga syarikat yang berminat terhadap projek itu dan mereka dikehendaki mendeposit sejumlah wang bagi mendapatkannya. Keseluruhan wang didepositkan tiga syarikat itu dianggarkan mencecah RM1.2 juta,” katanya yang ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, apabila wang itu didepositkan ke firma guamannya, suspek akan meminta wang dilepaskan kepadanya atas alasan menguruskan surat penganugerahan (letter of award) kepada kontraktor dalam tempoh tiga bulan seperti dijanjikan.
“Saya berasa curiga kerana wang itu sepatutnya hanya boleh dilepaskan apabila surat penganugerahan diperoleh dan apa akan berlaku jika kontraktor berkenaan gagal mendapat projek itu.
“Dia bersungguh-sungguh mengatakan projek itu pasti diperoleh kerana mendapat jaminan selain hubungan rapatnya dengan orang dalam agensi kerajaan.
“Selepas saya melepaskan wang itu kepadanya pada Disember 2004 sehingga kini kontraktor terbabit tidak mendapat projek berkenaan dan kerap meminta wang mereka dikembalikan,” katanya.
Dia berkata, akibat ditipu, dia kehilangan segala-galanya kerana terpaksa meminjam dan menjual harta benda untuk membayar kembali wang kepada tiga kontraktor terbabit, malah satu syarikat itu membuat laporan sehingga menyebabkan lesen guamannya digantung.
“Saya berharap pihak berkuasa, khususnya polis, mengambil tindakan terhadap lelaki itu kerana sehingga kini dia masih menipu menggunakan helah sama kononnya mempunyai pengaruh dalam pelbagai projek kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Penasihat Undang-Undang Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr Jacob George berkata, beliau bersama mangsa akan membuat satu lagi laporan polis di Bukit Aman pada minggu depan.
“Di sini, saya ingin mencabar lelaki itu supaya ikut kami sekali kerana dia ada memberi kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil baru-baru ini kononnya saya memfitnah dia. Kalau dia fikir dia betul, kenapa perlu takut.
“Dia sudah lama menipu dan tidak ada sebuah syarikat atau seorang individu yang melabur dalam projek yang diperkenalkannya mendapat kontrak seperti dijanjikan,” katanya.
Sehubungan itu, belia meminta orang ramai yang pernah ditipu lelaki itu menghubungi Cassa di talian 016-3261700 bagi membolehkan pihaknya mengumpul maklumat dan seterusnya membantu pihak berkuasa menahan lelaki itu.
Harian Metro Rabu lalu melaporkan lelaki itu dikesan menjalankan kegiatannya sejak 2003 dengan menggunakan helah sama kononnya mempunyai pengaruh dalam pelbagai projek kerajaan membabitkan puluhan jutaan ringgit dan berusaha mencari kontraktor yang berminat menjalankan kerja di projek berkenaan.
Pada 2003, lelaki itu dikatakan menjalankan penipuan bersama adiknya yang juga kakitangan awam selain menggunakan pejabat adiknya untuk menandatangani kontrak bagi menunjukkan semua urusan itu sahih serta menjanjikan keuntungan lumayan.
JAKARTA: Sebagai tanda menyokong penyelesaian secara aman terhadap perbalahan digunakan untuk ...