NBOS sejahterakan rakyat

NBOS sejahterakan rakyat



Apa itu NBOS? Strategi Lautan Biru, yang diperkenalkan oleh Profesor W Chan Kim dan Renee Mauborgne menganjurkan bahawa untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan, kerajaan perlu meneroka peluang-peluang baru yang dinamakan ‘Lautan Biru’. Ia merupakan satu pendekatan baru yang tidak memperlihatkan sebarang persaingan untuk pertumbuhan dan pembangunan negara. Diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2009, NBOS menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru mengikut acuan Malaysia. Matlamat utamanya adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dengan kadar cukai yang rendah.


Semangat atau matlamat utama NBOS boleh diringkaskan dengan enam perkataan iaitu kos rendah, berimpak tinggi dan pelaksanaan pantas.


Melalui NBOS, perkhidmatan awam kini melaksanakan program kerajaan menerusi pendekatan yang lebih kreatif, inovatif dan kolaboratif. Kerjasama dan usaha kolaboratif antara agensi bukanlah sesuatu perkara baru tetapi, menerusi NBOS, perkongsian dan kerjasama ini dapat dipertingkatkan, yang mana setiap pihak berkepentingan mampu mengoptimumkan sumber terkumpul bagi mencapai hasil yang lebih baik.


NBOS berjaya memecahkan mentaliti silo yang sering dikatakan wujud di dalam dan antara agensi kerajaan. NBOS juga menggalakkan pendekatan musyawarah atau engagement yang aktif bersama sektor swasta dan badan bukan kerajaan seterusnya memberikan pendekatan menyeluruh apabila merumuskan dasar dan merangka program untuk rakyat.


Sehingga kini, 52 inisiatif membabitkan lebih 80 agensi kerajaan telah diperkenalkan di bawah NBOS, memberikan manfaat kepada pelbagai segmen masyarakat dengan mendekati hati mereka. Kejayaan NBOS

  • Pusat Transformasi Bandar (UTC) UTC diwujudkan untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di bawah satu bumbung. Bangunan yang tidak digunakan secara sepenuhnya dikenalpasti untuk menempatkan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta, seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Pos Malaysia. Dengan menawarkan perkhidmatan selepas waktu pejabat dan pada hujung minggu, UTC diterima baik oleh masyarakat bandar kerana mereka boleh melakukan pelbagai transaksi di dalam satu bangunan, dan pada masa yang sama dapat menjalankan aktiviti riadah di UTC tersebut.


    UTC di Melaka, Kuala Lumpur, Perak dan yang terbaru di Pahang telah berjaya menarik 781,531 pelanggan dalam dua bulan pertama pada tahun 2013. Ini merupakan testimoni kejayaan UTC dalam memenuhi keperluan masyarakat bandar.


  • Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) RTC pula diwujudkan untuk mentransformasikan ekonomi luar bandar dengan menghubungkan masyarakat luar bandar dengan aktiviti-aktiviti ekonomi yang bernilai- tambah tinggi. Ini adalah untuk memastikan keseimbangan pembangunan di antara masyarakat bandar dan luar bandar.


    Seperti UTC, RTC juga mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan setempat termasuk khidmat perbankan, klinik kesihatan serta aktiviti pengumpulan dan pengedaran hasil produk pertanian. Peluang kolaborasi dengan sektor swasta mewujudkan potensi yang besar di mana usahawan tani dapat memasarkan produk mereka ke rangkaian yang lebih luas dengan kos yang rendah.


    RTC kini telah diwujudkan di Perak, Kelantan, Melaka dan Pahang dengan RTC-RTC lain yang bakal dilancarkan di Kedah, Sabah, Johor, Sarawak dan Terengganu.


  • Kolaborasi kreatif antara tentera dan polis dalam menangani jenayah Sebagai serampang dua mata untuk mengurangkan kos dan mengoptimumkan sumber, NBOS menggalakkan kolaborasi kreatif di antara tentera dan polis termasuk menggunakan kemudahan tentera untuk melatih anggota polis baru, merekrut pesara tentera menyertai pasukan polis untuk mencegah jenayah, dan rondaan bersama untuk meningkatkan kehadiran pasukan keselamatan di kawasan hotspot jenayah. Lebih daripada 100,000 anggota keselamatan telah dihantar untuk membuat rondaan jalanan, bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah.


  • 1Malaysia For Youth Sebagai pelapis kepemimpinan negara, peranan belia adalah amat penting dalam pembangunan negara. Dalam usaha menarik penglibatan golongan belia pelbagai kaum dalam aktiviti kesukarelawanan berasaskan semangat 1Malaysia, 1Malaysia For Youth (1M4U) yang ditubuhkan pada bulan Jun 2012. Sehingga kini, seramai 70,000 belia telah berdaftar sebagai ahli 1M4U. Dana Dre1M berjumlah RM100 juta diperuntukkan untuk menyalurkan geran permulaan kepada golongan belia ini bagi menjalankan projek-projek kesukarelawanan.


  • My Beautiful Malaysia Program My Beautiful Malaysia (MBM) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 3 Februari 2013 sebagai titik tolak kepada aktiviti kesukarelawanan yang bakal dilaksanakan tahun 2013, iaitu Tahun Kesukarelawanan. Program MBM telah diadakan di seluruh negara, di mana kerajaan negeri menerajui pelaksanaan program di negeri masing-masing dengan penyertaan daripada Menteri Persekutuan. Lebih daripada sejuta belia menyertai program itu di 390 lokasi yang dikenalpasti. Usaha ini juga diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai ‘Penyertaan Terbesar Secara Serentak’ di dalam Program Kesukarelawanan’.
  • 1Malaysia Family Care 1Malaysia Family Care (1MFC) menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan secara holistik dan sokongan sosial kepada golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal menerusi jaringan di antara agensi, perkongsian sumber dan aktiviti kesukarelawanan. Antara perkhidmatan ditawarkan di bawah 1MFC adalah program sukarelawan di rumah warga emas, penjagaan kesihatan pergigian warga emas dan OKU serta pemeriksaan kesihatan ibu tunggal. Program ini sudah memanfaatkan lebih 40,000 orang.


  • My Beautiful Neighbourhood Program MyBeautiful Neighbourhood (MyBN) menggunakan sumber daripada pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri untuk menyenggara dan mengindahkan kemudahan awam di kawasan kejiranan tempatan. Penyenggaraan infrastruktur dan projek perumahan ini dilaksanakan dengan kolaborasi penduduk setempat untuk mewujudkan semangat kekitaan dalam usaha tersebut. Sehingga kini, seramai 74,000 penduduk telah menikmati faedah daripada 21 projek perumahan awam yang terlibat.


    Halatuju NBOS Perdana Menteri telah menjuarai pendekatan NBOS dan sentiasa mengingatkan penjawat awam supaya menjalankan tugas melebihi jangkauan biasa. Kejayaan ditampilkan di sini satu respons jelas kepada seruan ini dan sebahagian pelaksanaan inisiatif NBOS untuk memberikan faedah optimum kepada rakyat selaras dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


    Artikel ini akan disusuli dengan terbitan artikel yang akan menampilkan kejayaan inisiatif lain di bawah NBOS di sebalik kolaborasi di antara agensi.


    Melalui pendekatan NBOS, kerajaan akan terus merancang strategi bagi melaksanakan lebih banyak inisiatif secara pantas, berkos rendah dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.


    Marilah kita bersama-sama menjayakan hasrat negara untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi melalui NBOS.