Nafsu abang ipar miang

Nafsu abang ipar miang



Lelaki hidung belang berusia lewat 30-an itu dikatakan sudah banyak kali menggoda adik iparnya yang berusia 27 tahun itu termasuk berbogel di depannya, namun usaha itu tidak berjaya.


Bagaimanapun, dalam kejadian Isnin lalu kira-kira jam 7 pagi di sebuah flat di Cheras di sini, mangsa bernasib baik daripada dirogol abang iparnya itu selepas melarikan diri sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.


Menurut sumber, cubaan merogol itu adalah pertama kali berlaku kepada mangsa, namun sebelum ini, suspek dikatakan berusaha untuk memikat adik iparnya itu.


“Pelbagai cara digunakan suspek untuk memikat mangsa, antaranya menunjukkan isyarat lucah termasuk berbogel dalam rumah setiap kali isterinya keluar bekerja.


“Mangsa yang bekerja di sebuah kilang berhampiran kawasan berkenaan pada mulanya tidak mempedulikan perbuatan abang iparnya itu dan cuba mengelak daripada bertembung dengan mengurungkan diri dalam bilik setiap kali kakaknya tiada di rumah.


“Bagaimanapun, suspek akan bertindak lebih agresif termasuk cuba memeluk dan mencium mangsa menyebabkan mangsa takut,” katanya.


Difahamkan, mangsa merahsiakan sikap miang abang iparnya itu daripada pengetahuan kakaknya bertujuan menjaga perasaan dan hubungan mereka.


Sumber berkata, sikap kakaknya yang terlalu mempercayai suaminya itu dan sering bercerita mengenai kebaikan suami kepada mangsa menyebabkan wanita berkenaan tidak sampai hati untuk mendedahkan penderitaan sedang ditanggungnya akibat sikap miang abang iparnya itu.


“Namun, dalam kejadian terbaru itu, mangsa tidak dapat menahan perasaan marah apabila suspek cuba merogolnya, tetapi berjaya melarikan diri,” katanya.


Berikutan itu, mangsa yang ditemani rakannya bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk membuat laporan.


Difahamkan, suspek ditahan Rabu lalu kira-kira jam 11 malam berhampiran kawasan rumahnya dan kini sedang direman lima hari bagi membantu siasatan.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.