Hana Che Mahazan (Nana), 27, mengakui kehidupannya kini sangat bahagia dan tenang di samping suami tercinta, Mohamed Raqeem Brian Abdullah, yang dinikahinya pada 6 Jun 2009.
"Saya selalu berdoa, semoga tahun ini Allah kurniakan kami anak. Saya sukakan kanak-kanak dan sejak berkahwin saya sudah bersedia mental serta fizikal untuk menjadi ibu.
"Tambahan pula ke mana saja pergi, jika tidak ahli keluarga pasti peminat bertanya bila lagi nak menimang cahaya mata? Tertekan jua apabila kerap diajukan soalan seperti itu apatah lagi saya dan suami sama sekali tidak pernah merancang cuma belum ada rezeki.
"Saya pun bukannya muda lagi jadi sesuailah pada usia begini ada anak. Seronok tengok kawan lama kebanyakannya sudah bergelar ibu," katanya.
Beralih pada kerjayanya, sebagaimana peminat sedia maklum bintang Akademi Fantasia musim pertama itu diserapkan ke stesen XFM selepas lima tahun berkhidmat sebagai penyampai radio Era.
Meskipun sedih dengan pertukaran itu, Nana yakin keputusan yang dilakukan pengurusan AMP Radio Networks pasti ada alasan kukuh dan terbaik buatnya.
"Saya ibaratkan Era sebagai bilik kuliah kerana di situlah saya berpeluang mengenali dunia penyiaran radio yang tidak pernah saya terfikir akan menceburinya.
"Walaupun kini saya berkhidmat dengan XFM, ingatan saya terhadap Era tidak padam dan sentiasa mendoakan kejayaan stesen yang menyimpul seribu satu kenangan dalam hidup saya," katanya.
Sekalipun beralih stesen, seperkara yang pasti Nana tetap menjadi pujaan sekalian peminatnya. Sebagai bukti anak kelahiran Muar, Johor itu, masih bertahan dalam kelompok finalis Penyampai Radio Wanita Popular yang dipertandingkan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009).
Bersama Nana bersaing dalam akategori itu, Fara Fauzana, Linda Onn, Sharifah Aleya dan Abby Fana.
"Tahun pertama menjadi artis saya tercalon dalam kategori Artis Wanita Terbaru terbaik. Lima tahun menjadi penyampai, kelima-lima tahun itu juga saya terpilih sebagai finalis bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular.
"Meski tidak pernah menang, tetapi saya menganggapnya satu kejayaan kerana pencalonan ini membuktikan peminat masih menerima kehadiran saya. Pencalonan dalam anugerah ini juga bukti kesetiaan mereka terhadap saya," katanya.
PADANG BESAR: Seorang tekong darat lari meninggalkan lapan pendatang asing tanpa izin apabila ...