Rabu,03 September 2014

Nasi lemak 24 jam

“JIWANGNYA nama restoran ni,” usik penulis sambil disambut tawa pengurusnya, Azhar Mohamad Zain. Masakan tidak, tempat menjamu selera itu memilih perkataan cinta dan sayang sebagai nama restoran.

Restoran dan Katering Nasi Lemak Cinta Sayang (NLCS) mendapat namanya disebabkan gerai pertama diusahakan ibu saudara Azhar, Zaiton Said, berdepan Cinta Sayang Golf & Resort, Sungai Petani.


Dibuka 24 jam, NLCS yang beroperasi hampir dua tahun di Seksyen 7, Shah Alam, berkonsep layan diri dengan nasi lemak sebagai sajian utama.

“Restoran ini beroperasi 24 jam untuk memenuhi keperluan pelanggan yang ingin menjamu selera tidak kira masa. Saya pernah menjadi pelajar dan tidak kira masa terasa mahu makan nasi lemak.


“Nasi lemak juga menu yang ringkas dan mudah disediakan, jadi pelanggan tidak perlu tunggu lama untuk mendapatkan pesanan. Di sini, jam 3 hingga 6 pagi pun orang masih cari nasi lemak,” katanya.


Nasi lemak di NLCS sememangnya enak kerana cukup lemak selain sambal tumis yang istimewa begitu membuka selera.

Selain nasi lemak dan roti canai tersedia 24 jam, ia menawarkan menu nasi campur bermula jam 11 pagi hingga 3 petang manakala ala carte dari jam 3 petang hingga 3 pagi.


Pilihan lain sarapan pagi ialah kuetiau, mihun, mi goreng dan nasi goreng. Berkonsep layan diri, pelanggan boleh memilih sendiri lauk untuk dimakan dengan nasi lemak seperti ayam masak merah, paru-paru, daging masak kicap, sambal ikan bilis, sambal tumis udang, ayam goreng, rendang daging, telur dadar, telur masin atau sambal sotong.

Menu sarapan pagi ditukar kepada lauk nasi campur bermula jam 11 pagi. Lebih banyak pilihan lauk ditawarkan, terutama masakan kampung seperti masak lemak cili api, asam pedas, kari, sup, ikan keli bakar selain kembung dan pari, ayam bakar, pelbagai sayuran dan ulaman seperti timun, ulam raja, kacang panjang selain terung dan bendi celur. Pilihan cicah ialah sambal belacan, sambal tempoyak, sambal kicap dan air asam.


“Ada 40 hingga 50 lauk yang sentiasa ditukar menu untuk memenuhi cita rasa pelanggan. Menu sampingan ialah bihun sup dan laksa Pulau Pinang, manakala char kuetiau boleh dipesan bermula jam 3 petang.


“Kami mensasarkan pelanggan di kalangan penuntut dan keluarga. Restoran ini sesuai sebagai tempat bersantai, mengadakan perbincangan atau perjumpaan keluarga,” katanya.


Mampu menampung 200 orang pada satu masa, ia cuma ditutup pada Aidilfitri dan Aidiladha. NLCS yang menerima tempahan katering turut mempunyai dua cawangan di Sungai Petani.


“Berdasarkan komen pelanggan, minuman di sini menarik kerana walaupun jenis yang biasa ditawarkan kebanyakan restoran lain, rasanya lebih pekat dan enak.


“Minuman menarik dicuba ialah teh tiga lapis menggunakan gula nipah sebagai bahan pemanis dan sirap bandung cincau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/01/01
`