Jumaat,25 Julai 2014

Nifas hingga 60 hari

TAHUN lalu, saya melahirkan anak sebulan sebelum tiba bulan Ramadan. Saya mula berpuasa pada hari ketiga Ramadan (bersamaan hari ke-34 berpantang) namun tidak berjaya, kemudian mencuba lagi pada Ramadan kelapan dan sembilan (39 dan 40 hari berpantang) dan berjaya.

Namun sebaik berbuka puasa, saya mendapati ada kesan darah nifas sebelum mandi wajib dan keesokannya berpuasa lagi. Hingga hari ke-48 (tamat berpantang), kesan darah masih ada tetapi saya teruskan puasa kerana beranggapan ia darah istihadah selepas rujuk pada Internet.

Artikel yang saya baca menyatakan tempoh nifas adalah 40 hari saja. Kemudian rakan memberitahu, puasa saya tidak sah selagi ada darah dalam tempoh 60 hari. Saya mula runsing dan tidak pasti berapa hari perlu saya ganti.

Soalan saya, sahkah puasa saya pada hari ke-48 dan sebelumnya? Bagaimana pula puasa saya selepas hari ke-48 kerana saya tidak ingat hari yang masih ada darah? Berapa harikah tempoh darah nifas?


AISAH

Datuk Keramat


Tempoh nifas dan tempoh berpantang adalah berbeza. Nifas selalunya hingga 60 hari, bererti apa-apa darah yang keluar dalam tempoh itu ialah nifas dan bukan istihadah.

Jika puan yakin darah sudah berhenti dan mandi serta sepanjang hari terbabit puan adalah suci yakni tiada darah keluar, puasa dilakukan adalah sah. Keesokannya, jika ada darah keluar, hari itu adalah tidak sah berpuasa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/12
`