Khamis, 24 April 2014

PM lancar Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M) untuk membantu pelajar-pelajar peringkat pengajian tinggi mendapat kemudahan pinjaman kewangan tambahan.

Perdana Menteri berkata kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam bentuk pinjaman mahupun biasisiwa, memandangkan kos pendidikan tinggi semakin meningkat sekaligus memberi tekanan kepada ibu bapa terutamanya yang membiayai pendidikan anak secara persendirian.

"Menyedari keperluan itu kerajaan memperkenalkan SPP1M sebagai dana tambahan dengan jumlah pinjaman dihadkan RM150,000 untuk bidang kepakaran perubatan dan RM100,000 bagi bidang khusus kritikal dan terpilih," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran skim tersebut di sini, hari ini.

SPP1M bertindak sebagai pinjaman tambahan kepada dana atau pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional sedia ada untuk pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang tertentu.


Pelaksanaan SPP1M akan diadakan dalam dua peringkat iaitu suku kedua tahun 2013 untuk kemasukan ke universiti tempatan dan Jun 2013 untuk program berkembar dan program luar negara.


Najib menjelaskan, melalui cara itu membolehkan ramai lagi pelajar berpeluang meneruskan pengajian dan mungkin kepada yang sebelum ini tidak mampu belajar di luar negara boleh berbuat demikian.

"Sebanyak dua buah bank akan menawarkan pinjaman iaitu Maybank dan RHB Bank dengan kadar faedah yang dikenakan kepada peminjam adalah lebih rendah berbanding biasa," katanya.

Najib berkata cara itu adalah sesuatu yang unik dan belum pernah dilakukan kerajaan sebelum ini dan beliau menaruh keyakinan skim tersebut dapat memberi faedah kepada rakyat dalam kalangan pertengahan.

"Ia juga dapat menambahkan lagi bilangan pelajar menyambung pengajian di universiti terkemuka di luar negara," katanya.

SPP1M yang dikendalikan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) menawarkan tempoh pinjaman selama 20 tahun (15 tahun pembayaran balik), faedah semasa tempoh pengajian dipermodalkan dan pembayaran balik bermula enam bulan selepas tamat pengajian atau akhir pengajian. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06