Sabtu,20 September 2014

Pandu Uji: Generasi ke-7

Oleh Erywan Norshal

‘ANAK’ kelahiran Pekan, Pahang. Itulah ungkapan yang sesuai ditujukan kepada kereta segmen D, Volkswagen Passat 1.8 TSI pemasangan tempatan (CKD) selepas dilancarkan baru-baru ini.

Produk CKD pertama itu dihasilkan selepas perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Volkswagen AG dan DRB-Hicom Berhad, Oktober 2010.

Kehadirannya juga menguntungkan masyarakat negara ini apabila harga yang ditawarkan RM14,000 lebih murah berbanding model import sepenuhnya (CBU).

Volkswagen Passat itu adalah generasi ke-7 selepas ia dilancarkan kali pertama pada 1973 yang mencatatkan jualan memberangsangkan dengan menerapkan gaya tersendiri.

Foto

TERKINI...tempat menghidupkan enjin.

Foto

PADAT...konsul tengah dilengkapi audio skrin sesentuh.

Foto

MANTAP...enjin 1.8 liter TSI.

Foto

KEMAS...panel meter.


Ketika diberi peluang memandu ujinya, kualiti jentera CKD ini masih sama seperti model CBU yang dilancarkan pada hujung tahun lalu di Pulau Pinang.


Pemanduan hampir empat jam bersama Volkswagen Passat ini dari Pekan hingga Glenmarie, Shah Alam, langsung tidak mengecewakan, malah semakin lama menjadi lebih seronok dengan keselesaan yang ditawarkannya.

Paling ketara, prestasi enjinnya memberi kuasa yang cukup mantap untuk meluncur laju di lebuh raya seolah-olah penulis tidak terasa ketika kelajuan peringkat maksimum.

Ketika kelajuan itu, jentera ini masih lagi stabil dan suspensinya memainkan peranan penting untuk mengurangkan getaran dan hentakan bagi memberi keselesaan kepada penumpang di dalam kabin.

Enjin bersesaran 1.8 liter TSI dengan tambahan pengecas turbo adalah penyumbang utama bagi jentera ini untuk menawarkan prestasi memberangsangkan apabila ia mampu menghamburkan kuasa maksimum 160 PS.

Tindak balas pedal minyak yang cepat untuk menyalurkan kuasa pecutan berjaya mengisi kebosanan penulis sepanjang perjalanan ketika membelah banjaran Titiwangsa.

Ternyata khabar angin mengatakan kebanyakan model Volkswagen yang dipadankan enjin TSI dengan transmisi DSG tujuh kelajuan automatik adalah benar-benar membantu prestasinya.

Transmisi ini sangat membanggakan kerana memberi tindak balas yang cepat untuk menukar gear tinggi atau rendah mengikut kesesuaian pemanduan.

Bagi pemanduan agresif, penulis hanya meng­gunakan mod S atau menukar secara manual untuk memberi daya tarikan yang lebih cepat.

Kombinasi enjin dan transmisi dengan teknologi canggih ini juga memberi tahap penggunaan bahan api ekonomi dengan purata tujuh liter bagi setiap 100 kilometer (km).

Ia juga dikatakan mampu mencapai kelajuan sehingga 220 kilometer sejam (km/j) dan hanya mencatat 8.5 saat hanya memecut 100km/j.

Pengendalian tidak sedikitpun menghampakan penulis kerana tindak balas sterengnya memberi ketepatan di selekoh terutama pemanduan secara agresif.

Bentuknya yang sedikit besar itu juga memantapkan lagi kestabilan di selekoh seolah-olah memberi keyakinan ketika berdepan dengan situasi berkenaan.

Sebaik menjengah ruang kabinnya, ia tampak eksklusif dan mewah dengan kombinasi material kulit yang membaluti semua kerusinya.

Selain itu, ia juga dilengkapi beberapa teknologi terkini seperti sistem audio dan kedudukan kerusi yang boleh diubah menggunakan butang elektronik.

Bagi menjamin keselesaan penumpang belakang, jentera ini dilengkapi laluan penyaman udara dan dipadankan dua tempat meletak air.

Model ini juga tidak mengabaikan keselamatannya apabila dianugerahkan lima bintang Euro NCAP dan didatangkan dengan enam beg udara, Kawalan Tork Enjin Seretan (EDTC) serta Kawalan Kestabilan Elektronik (ESP).



SPESIFIKASI

VOLKSWAGEN PASSAT

ENJIN:

1.8 liter TSI

KUASA MAKSIMUM:
160 PS antara 5,000 hingga 6,200 rpm.

TORK MAKSIMUM:
250 Nm antara 1,500 hingga 4,200 rpm

TRANSMISI:
Tujuh kelajuan DSG

CIRI-CIRI KESELAMATAN:
Enam beg udara, EDTC, ABS dengan bantuan brek dan ESP

HARGA
RM170,888.

TAYAR YANG DICADANGKAN

Corak: ContiMaxContact MC5

Saiz tayar yang dicadangkan:
235/45ZR17 97W

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/26
`