Jumaat,01 Ogos 2014

Panggilan Tanjung Dawai

TANJUNG Dawai adalah perkampungan kecil nelayan di pinggir pantai di daerah Kuala Muda, Kedah dan kira-kira 30 kilometer dari bandar Sungai Petani.

Ia terletak di utara muara Sungai Merbok dan menjadi tempat penduduk tempatan mencari rezeki sebagai nelayan.

Dengan rimbunan pokok kelapa, anda pasti tenteram jika berkunjung ke sini, apatah lagi dalam angin sepoi-sepoi bahasa.

Perkampungan nelayan yang masih mengekalkan konsep rumah tradisional memang membuai perasaan dan menjadi tumpuan jurugambar untuk mengambil foto pemandangan.


Bagi memudahkan nelayan mendaratkan bot, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membina jeti.


Setiap pagi, jeti itu sibuk dengan gelagat nelayan dan peraih yang berjual beli ikan.

Seawal jam 5.30 pagi, kedai makan dan restoran di sini sudah beroperasi. Nasi campur antara menu istimewa dan menjadi kebiasaan nelayan mengalas perut dengan nasi campur pada awal pagi.

Jika berminat melihat persekitaran perairan Tanjung Dawai, anda boleh menyewa bot dengan harga berpatutan.

Antara pulau di sekitar Tanjung Dawai adalah Pulau Bidan, Pulau Telor, Pulau Songsong dan Pulau Bunting.

Anda juga boleh menyeberang dengan bot ke Pantai Merdeka menggunakan bot laju yang me­ngambil masa kira-kira lima minit.

Pantai Merdeka adalah kawasan pelancongan utama di Kedah dan sentiasa menjadi tumpuan untuk aktiviti rekreasi dan mandi-manda.

Pada hari biasa, Tanjung Dawai agak sunyi kecuali kelibat nelayan dan penduduk tempatan, tetapi apabila hari minggu, kawasan sekitar menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong dari Kuala Lumpur dan Johor.

Jika mahu menikmati keenakan makanan laut terutama ikan bakar, Tanjung Dawai adalah tempatnya. Apabila matahari terbenam, anda boleh mengunjungi deretan premis makanan laut di tepi pantai.

Ikan bakar yang dicicah dengan air asam atau kicap memang terkenal di sini, malah harganya jauh lebih murah berbanding di beberapa tempat lain.

Tanjung Dawai juga terkenal dengan produk hasil laut seperti ikan talang kering, ikan bilis, belacan dan keropok

Pada musim cuti persekolahan, ramai pelancong dari luar datang untuk membeli makanan laut hasil penduduk tempatan kerana harganya murah.

Jika mahu menginap, anda boleh tinggal di beberapa chalet dan resort termasuk inap desa yang banyak disediakan di sekitar Tanjung Dawai.

Jika anda jarang menikmati suasana perkampungan nelayan, apatah lagi penduduk bandar, inilah masa untuk merasai pengalaman seumur hidup itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/01
`