Sabtu,23 Ogos 2014

Pejuang Moro berunding dengan Abu Sayyaf

Manila: Pejuang Islam yang menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina pada 1996 berkata, mereka menghantar wakil untuk berunding dengan kumpulan Abu Sayyaf bagi mendapatkan pembebasan tebusan warga asing serta tempatan di Pulau Jolo.

Komander Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Khabir Malik berkata, kira-kira 10 komander pertubuhan itu dihantar ke kawasan hutan tempat persembunyian Abu Sayyaf bagi meyakinkan kumpulan militan terbabit supaya membebaskan tahanan mereka. “Misi itu diberi tempoh tiga hari untuk berunding,” katanya. Menurut Khabir, dia bersama beratus-ratus pejuang bersenjata menunggu perkembangan terbaru di bandar Patikul di wilayah Sulu itu. Bagaimanapun, Khabir enggan menyatakan apa tindakan MNLF jika militan Abu Sayyaf enggan membebaskan tebusan itu.


Maklumat polis menyatakan, antara tebusan yang ditahan Abu Sayyaf ialah seorang wartawan Jordan dan dua peminat burung warga Eropah. Menurut Khabir, MNLF mengambil inisiatif mengadakan rundingan selepas pemimpin kanannya berunding untuk membantu kerajaan, tentera dan polis membersihkan Sulu daripada imej buruk. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16
`