Khamis,31 Julai 2014

Pelakon terbaik, paling popular

Oleh Syanty Octavia Amry

KEHANGATANNYA semakin dirasai apabila keputusan calon Top 5 Golden Awards 2012 anjuran stesen televisyen ntv7 diumumkan, baru-baru ini.

Anugerah berprestij itu bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 22 September depan bermula jam 8.30 malam manakala acara karpet merah pada jam 7 malam.

Sebanyak 23 anugerah dipertandingkan dalam tiga kategori antaranya Drama, Bukan Drama dan Pilihan Penonton.

Selain memberi penghormatan kepada bakat tanah air, anugerah yang dianjurkan setiap dua tahun sekali itu turut membawa program televisyen berbahasa Cina negara ke tahap yang lebih tinggi. Ia juga sebagai anjakan baru buat pemenang di negara ini sebagai latar pencapaian mereka di luar negara.


Selepas tewas di tangan Melvin Sia pada Golden Awards 2010 lalu bagi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, William San kembali lagi pada tahun ini dengan memberi saingan kepada pencabar terdekatnya, Coby Chong.


Kedua-dua mereka dicalonkan menerusi drama yang sama, Forget Me Not dengan membawa peranan sebagai adik-beradik. Pencalonan lain yang mampu menggugat mereka ialah Jack, Berg Lee dan Leslie Chai.

Bagi pencalonan teratas untuk anugerah Pelakon Wanita Terbaik sememangnya diramal iaitu Debbie Goh, Yenn Teoh, Chriss Tong, Remon Lim dan Tiffany Leong yang sudah disenaraikan bagi calon Top 5 akhir.

Anugerah Pelakon Baru Terbaik pula menyenaraikan pelakon berbakat, Adrian Tan yang bakal menemui saingannya berusia 9 tahun iaitu Crystal Lee serta bekas ratu cantik, Soo Wincci.

Pertarungan hebat bagi calon anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik membariskan pelakon berpengalaman seperti Chan Fong, Alvin Wong dan Laurence Teo.

Bagi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menyaksikan perebutan sengit di antara bekas Pelakon Wanita Terbaik tahun lalu, Yeo Yann Yann dan bekas Pelakon Pembantu Terbaik pada Golden Awards 2010, Seck Fook Yee. Mereka menempatkan diri dalam pencalonan itu melalui dua drama lakonan masing-masing.

Antara yang bakal menarik perhatian adalah anugerah baru yang diwujudkan kali ini iaitu Anugerah Pengarah Terbaik yang mencalonkan lima pengarah berbakat iaitu Jason Kok (A Time to Embrace), Tham Siew Ngoy (The Adjuster), Simon Long (The Adjuster), Kok Tizzy Haw (Injustice) dan Chan Wei Cheang (Goodnight DJ2).

Yise Loo yang pernah dicalonkan untuk lagu tema dalam drama Footprints in the Sand pada Anugerah Televisyen Asia ke-16 tahun lalu, juga meraikan kejayaan dalam pencalonan Top 5 Golden Awards untuk Lagu Tema Drama Terbaik.

Kategori Bukan Drama juga tidak dilupakan dengan per­saingan Top 5 turut menampil­kan calon kegemaran ramai. Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik turut menyenarai pendek Love in Seoul, Golden Awards 2010, Mandarin Battle Star Season 2, Ultimate Power Group Season 2 Grand Finale dan The Perfect Gentlemen untuk tahun ini.

Bagi anugerah Pengacara Rancangan Variasi dan Hiburan Terbaik menampilkan Chan Wei Wei, Natalie Ng, Cheryl Lee, Jia Hui dan Gary Yap yang semuanya dilihat mampu memberikan kejutan kepada penonton.

Untuk Rancangan Majalah Terbaik pula membariskan rancangan berkualiti seperti Exodus 2011, Helping Hands, Finding Angels 2010, Offbeat Living dan Heart Talk.

Anugerah baru yang diwujudkan dalam kategori ini adalah Rancangan Festival Terbaik dengan mempertaruhkan rancangan terpilih seperti Hungry Ghost Festival Special 2011, The Superb Match Makers, Winter Solstice 2010, Muslim in China 2011 dan Make Son in Law Right.

Selain 13 kategori bagi Drama dan Bukan Drama, penonton TV juga berpeluang untuk menentukan siapakah yang layak memenangi kategori ‘Pilihan Penonton’.
Semua pencalonan Top 10 untuk kategori Pelakon Lelaki/Wanita Terbaik dan Pelakon Baru Terbaik layak bertanding dalam anugerah Pelakon Lelaki/Wanita Paling Popular.

Untuk pencalonan Top 10 bagi Pengacara TV Terbaik dalam kategori Bukan Drama juga akan terus layak untuk disenaraikan dalam anugerah Pengacara TV Paling Popular.

Penonton boleh mengundi pelakon dan pengacara kegemaran masing-masing melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau menerusi laman web rasmi Golden Awards yang akan dimulakan pada 1 Ogos hingga 17 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08
`