Ahad,21 September 2014

Pemain Perlis dituduh cabul

Oleh Mohamad Hussin

SUNGAI PETANI: Seorang pemain bola sepak Perlis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tiga tuduhan mencabul kehormatan dan mencederakan seorang gadis berusia 17 tahun pada 13 Februari lalu.

Bagaimanapun, pemain pertahanan Singa Utara itu, Muhammad Munawwar Shavukath Ali, 21, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa di sebuah rumah kosong bernombor 533, Jalan Taman Batik di sini, antara jam 3.30 hingga 5.30 petang pada 13 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda.


Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Munawwar dituduh mencabul kehormatan gadis berkenaan dengan cara meraba dan menghisap buah dada mangsa.


Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Munawwar didakwa menyuruh mangsa melakukan seks oral pada tarikh, masa dan tempat sama.

Tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan kelucahan melampau dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun.

Sebelum itu, Raja Shahril Anuar mengarahkan tertuduh mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi kes pertama manakala RM7,000 kes kedua dengan seorang penjamin.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Saw Sin manakala tertuduh diwakili peguambela, T Jayaraj. Sebutan semula kes berkenaan pada 21 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/02/22
`