Isnin,17 Februari 2014

Pembaziran melampau di bulan Ramadan

Oleh Nor Faizah Mohamed

Ketibaan Ramadan menandakan hadirnya bulan penuh keberkatan dalam kalangan umat Islam seluruh dunia. Hadirnya Ramadan juga menuntut manusia untuk lebih sabar, bukan setakat menahan lapar dan dahaga malah berhemah dalam setiap pemikiran, tindakan serta pertuturan.

Bukanlah bermaksud mengabaikan bulan yang lain, namun Ramadan pasti meninggalkan seribu erti keinsafan dalam diri setiap Muslim.

Kita juga sering diingatkan agar bersederhana dalam setiap perbuatan khususnya ketika berbelanja untuk hidangan iftar dan barangan keperluan harian.

Namun, berapa ramai pula yang mengamalkan kesederhanaan itu? Dengan adanya bermacam promosi hidangan berbuka puasa, sana sini penuh dengan umat Islam yang seakan gila membeli pelbagai jenis makanan hingga akhirnya dibuang begitu saja kerana perut tidak mampu lagi menampungnya.


Pembaziran itu satu hal, pencemaran alam pula yang menjadi isunya apabila banyak plastik dan bekas polisterin dibuang sepanjang Ramadan ini.


Pengasas dan Presiden EcoKnights merangkap Presiden Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar Malaysia (MENGO), Yasmin Rasyid berkata, banyak masalah pencemaran alam sekitar timbul sepanjang bulan mulia ini.

Kebanyakan makanan yang tidak dapat dihabiskan itu dibuang begitu saja padahal ia boleh didermakan kepada golongan memerlukan atau dijadikan kompos untuk tanaman.

“Kita selalu bercakap mengenai kesederhanaan tapi mengamalkannya susah kerana terlalu mengikut nafsu. Di saat kita sibuk mengerjakan amal ibadat sepanjang Ramadan, kita sentiasa terlupa dengan keadaan alam sekitar dan cenderung menambah serta memburukkan lagi keadaan sedia ada.

“Sana sini kita lihat banyaknya pembaziran makanan, lalu membuatkan banyak sampah-sarap memenuhi ruang persekitaran. Nyata ini bukanlah konsep berjimat-cermat atau bersederhana yang sering kita laungkan selama ini,” katanya.

Jelas Yasmin, dua perkara yang perlu diambil kira dalam menjaga alam sekitar sepanjang Ramadan ini. Pertama, tabiat atau corak pemakanan ketika berbuka puasa dan kedua, bawa sendiri bekas makanan apabila keluar membeli juadah di bazar Ramadan.

“Puasa membantu sistem dalaman kita berehat jadi amat penting untuk mengubah tabiat pemakanan kita. Secara peribadi saya tidak begitu gemarkan berbuka secara bufet kerana saya rasa ia tidak berbaloi.

“Kita belanjakan banyak wang hingga ratusan ringgit untuk hidangan berbuka jenis bufet tapi berapa banyak yang mampu kita makan dalam satu masa?
“Selepas itu, pasti banyak yang membazir hingga lebihan makanan yang tidak disentuh itu dibuang begitu saja.

“Di sini pentingnya kesedaran mengenai aspek pembaziran itu. Saya faham hidangan bufet menjadi sasaran keuntungan bagi kebanyakan pengendali restoran dan hotel di negara ini.

“Tapi saya cabar mereka untuk menjadikan fenomena pembaziran ini sebagai satu bentuk kebajikan, di mana makanan lebihan dibungkus lalu diberikan kepada fakir miskin, anak yatim, pelajar tahfiz serta golongan yang memerlukan.

“Ada beberapa pengusaha hotel dan restoran sudah melakukannya dan saya harap lebih ramai lagi mengikut jejak sama,” katanya.

Aspek kedua pula terarah kepada tabiat membeli-belah individu terutama apabila berbelanja di bazar Ramadan.

“Cuba bawa bekas makanan sendiri apabila ke bazar Ramadan. Minta penjual masukkan makanan yang dibeli itu dalam bekas yang kita bawa dan bukannya dibungkus dalam plastik atau polisterin.

“Benar, ramai yang akan memandang kerana pelik dengan permintaan kita itu tapi cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengelakkan masalah banjir.

“Penggunaan plastik dan bekas polisterin dikenal pasti antara punca utama penyebab banjir kerana membuatkan saluran air serta longkang tersumbat.

“Jadi dengan memilih menggunakan bekas makanan sendiri yang boleh dicuci selepas digunakan, ia membantu untuk mengurangkan masalah itu.

“Di peringkat awal memang sukar dan ada segelintir yang malu apabila dipandang orang lain, tapi kalau diri yang ingin berubah pasti tiada halangan ke arah itu.

“Jika kita janji inginkan kurangkan satu atau dua plastik atau polisterin dalam seminggu, bayangkan selepas 30 hari? Nampak sedikit tapi bayangkan impaknya besar untuk kesejahteraan alam sekitar kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15
`