Sabtu,20 September 2014

Peneraju bekal daging akikah

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Pembabitan Cikgu Azudin Abd Aziz, 45, dalam penternakan kambing, biri-biri dan lembu bermula 19 tahun lalu ketika mengajar di sebuah sekolah menengah di Felda Palong 7, Gemas, Negeri Sembilan.

Bermodalkan wang pinjaman keluarga berjumlah RM100,000, guru pendidikan jasmani itu membulatkan tekad menternak kambing daripada jumlah kecil kepada skala besar.

Berbekalkan falsafah hidup ‘ukur baju di badan sendiri’, Azudin atau mesra dengan gelaran ‘Haji Din’ menceburi bidang pembekalan daging akikah, korban dan kenduri.

Impiannya menjadi ‘peneraju’ pembekalan daging akikah, korban dan kenduri di Lembah Klang bakal terlaksana apabila pusat penternakan Gombak Agro di Batu 5, Jalan Gombak, dekat sini, dibuka di Bangi, Selangor.


Berbanding syarikat lain, Gombak Agro turut menyediakan kemudahan masakan kari, kurma dan kuzi kepada pelanggan dengan kadar harga RM200 bagi setiap kambing.


Azudin berkata, peralihan daripada model ‘penternakan’ kepada pembekal daging korban dan akikah bermula 13 tahun lalu selepas memindahkan operasi penternakannya ke kawasan baru.

“Ketika itu, saya menghadapi cabaran besar untuk memantau kandang lembu dan kambing di Felda Paloh, Negeri Sembilan, sedangkan permintaan bekalan berkenaan banyak diterima di kalangan masjid sekitar Gombak.

“Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Gombak mahukan bekalan mudah diperoleh dan akhirnya kami menemui tapak sementara di Batu 5, Jalan Gombak yang kini lokasi penternakan,” katanya.

Katanya, 20 hingga 30 ekor kambing dan biri-biri diperlukan seminggu untuk akikah di sekitar Lembah Klang.

“Harga bagi daging kambing dan biri-biri di antara RM550 hingga RM1,000.

“Saya beruntung kerana permintaan bekalan meningkat pada musim perayaan terutama Aidiladha.

“Selepas tiga tahun beroperasi di Jalan Gombak, perniagaan saya turut mendapat perhatian pelajar asing dari Afrika, Pakistan dan Arab.

“Pelajar Pakistan dan Afrika lebih gemar mencari kambing dan Arab suka biri-biri,” katanya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Sempena Aidiladha, sekurang-kurangnya 1,000 ekor kambing dan 500 lembu diperlukan Gombak Agro.

Graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, kandang penternakannya dipantau Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Kami akan mendapatkan permit penyembelihan haiwan ternakan termasuk memasak daging akikah,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan boleh terus ke laman Facebook Gombak Agro Akikahkorban Azudin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22
`