Selasa,29 Julai 2014

Pengorbanan Bianca

Wanita seksi ini, Bianca King, 28, dilahirkan di Jerman. Dia bukan saja sanggup meninggalkan negara kelahirannya tetapi juga kemewahan, keselesaan serta kehidupan penuh glamor untuk menjadi pelakon di Filipina.

Seperti kebanyakan pelakon wanita lain, Bianca atau Bee bermula sebagai model sebelum beralih kepada seni lakon. Bee mulanya menceburi bidang lakonan hanya ingin berseronok dan mencapai kepuasan diri.

Katanya, drama rantaian Mulawin adalah penggerak utama dirinya meneruskan kerjaya sebagai anak seni dan akhirnya sedar dia sememangnya mencintai pekerjaan itu.

“Sebenarnya, lakonan adalah perkara yang membuatkan saya sedih. Berbanding pelakon wanita lain, saya paling lemah dan tidak mempunyai bakat. Itulah perasaan saya ketika mula-mula berlakon.


“Namun, perasaan itu mula terhakis apabila lakonan saya menerusi Mulawin mendapat pujian. Bukan itu saja, nama saya mula melonjak naik dan seterusnya dijadikan sebagai ikon remaja.


“Kemudian, saya mula ditawarkan watak utama sama ada drama mahupun filem. Baru saya sedar, saya mempunyai kebolehan tersendiri membuat­kan saya mampu bersaing dengan mereka,” katanya.

Mula menjadi bintang komersial sejak usia 13 tahun, Bee terus mengukuh­kan namanya apabila setiap lakonan menerusi MariMar, Dysebel dan My Only Love mendapat sambutan memberangsang­kan.

Kembali menghiasi televisyen dengan drama Broken Vow yang kini disiarkan di TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 3 petang, Bee diberi kepercayaan menjadi tunjang utama.

Akui Bee, tanggung­jawabnya kali ini berat hingga sukar melelapkan mata kerana asyik teringat wataknya.

“Saya terbiasa dengan watak pembantu, oleh itu apabila diberi tunjang utama, memang sakit kepala memikirkannya. Sangat sukar memancarkan perasaan sedih, gembira dan kecewa di wajah.

“Saya sentiasa dilanda kebimbangan sepanjang menjalani penggambaran. Saya membawa watak Melissa yang bercinta dengan lelaki kaya.

“Sebelum hari perkahwinannya, Melissa diculik dan dirogol tetapi dia tidak tahu identiti lelaki itu kerana disuntik dengan dadah hingga tidak sedarkan diri.

“Mulanya teman lelaki Melissa masih mahu berkahwin dengannya tetapi apabila mengetahui Melissa hamil, dia ditinggalkan pada hari perkahwinan mereka.

“Emosi yang saya bawa sangat berat, peralihan dari seorang yang bahagia dengan percintaannya kemudian kecewa hingga ingin membunuh diri.

“Jatuh cinta pula dengan lelaki yang menyelamat­kannya. Selepas itu, bekas teman lelaki datang kembali memohon peluang kedua,” katanya yang banyak menonton filem cinta untuk membantu menghayati watak.

Bercerita mengenai cinta, Bianca hanya mampu tersenyum dan mengenang kembali kisah cintanya dengan Dennis Trillo yang berakhir Disember lalu.

Akuinya, kekecewaan itu tidak pernah mengganggu­nya dalam kerjaya atau membuatkan dirinya trauma untuk bercinta lagi. Dia percaya cinta tetap akan datang.

Katanya, tatkala melihat sahabat sebaya dengannya mendirikan rumah tangga dan mempunyai cahaya mata, dia akan menunggu kedatangan lelaki yang dapat memberi kebahagiaan padanya.

“Saya memandang kegagalan percintaan dari sudut yang positif. Ia membuatkan saya lebih matang dan memperbaiki kelemahan.

“Saya tidak menyalahkan dia kerana saya juga melakukan kesalahan yang menyumbang pada perpisahan kami.

“Kisah cinta saya de­ngannya akan menjadi kenangan dan guru terbaik. Percintaan bukan sekadar usaha satu pihak namun kerjasama pasangan,” katanya.


PROFIL:

Nama sebenar: Bianca Charlotte King
Lahir: 18 Mac 1985 di Jerman

  • Pernah mengarah 10 filem pendek, selain terbabit secara profesional dalam penerbitan tiga muzik video

  • Sanggup menangguhkan pengajian selama dua tahun kerana aktif berlakon

  • Baru saja menamatkan pengajian dalam bidang pembikinan filem digital
    di De La Salle-College of St Benilde

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06
  • Artikel Lain