Khamis,18 September 2014

Penularan virus influenza

Ahad ini akan berlangsunglah ‘pesta’ besar-besaran di seluruh negara. Tidak kira sesibuk manapun kita, sama ada membantu kempen atau sekadar mendengar ceramah politik, soal kesihatan jangan dipandang remeh kerana risiko mendapat jangkitan sentiasa terbuka terutama apabila berada di tempat yang ramai orang.

Jika kurang sihat, walaupun selesema yang dianggap sebagai masalah kesihatan biasa dan ringan, disarankan supaya berehat di rumah walaupun desakan hati begitu kuat untuk memeriahkan acara besar yang hadir lima tahun sekali ini. Bukan apa, inilah perkara mudah yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan orang lain daripada mendapat jangkitan.

Penyakit yang mudah berjangkit memang sentiasa menunggu-nunggu suasana seperti ini di mana ramai orang berkumpul pada satu tempat. Ini kerana jangkitan penyakit bawaan virus contohnya selesema dan influenza boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga.

Jika seseorang batuk atau bersin dengan tidak menutup mulut, percikan halus air liur dan cecair hidungnya akan berterbangan di udara dan dengan mudah memasuki saluran pernafasan orang lain. Maka akan bermulalah ‘pengembaraan baru’ bagi satu-satu jenis virus seperti virus penyebab selesema dan influenza termasuklah H1N1.


Meskipun Kementerian Kesihatan tidak lagi mengawal H1N1 secara khusus kerana cara jangkitan, gejala dan risiko yang ditunjukkan sama seperti influenza bermusim biasa yang lain, tidak rugi jika kita sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga apatah lagi dengan kemunculan virus influenza baru H7N9 di China, kata Pakar Perubatan dan Penyakit Berjangkit, Datuk Dr Christopher Lee.


Sehingga kini, kes jangkitan virus influenza H7N9 hanya dilaporkan berlaku di Shanghai, Beijing dan lima wilayah lain di China dengan catatan terbaru sebanyak 111 kes dan 22 kematian. Taiwan juga sudah melaporkan satu kes jangkitan H7N9 membabitkan seorang lelaki berusia 65 tahun.

Setakat ini saintis di China sudah mengesahkan adanya jangkitan virus influenza H7N9 daripada ayam kepada manusia tetapi belum ada bukti menunjukkan penularan virus ini dari manusia kepada manusia.

Sebenarnya virus influenza dikelaskan mengikut aktiviti dua jenis antigen iaitu H (haemagglutinin) dan N (neuraminidase). Antigen H ada 17 subtip dan antigen N pula ada 10 subtip. Gabungan aktiviti dua antigen inilah timbulnya nama virus seperti H1N1, H5N1 dan H7N9.

“Virus influenza H7N9 tidak sama dengan H1N1. Jika disebut H7, bermakna biasanya virus itu datang daripada unggas atau burung. Namun apa yang penting untuk diketahui ialah virus influenza cukup suka dan mudah mengalami mutasi dan menghasilkan ahli (jenis virus) baru dalam keluarga influenza,” katanya.

Influenza H7N9 ini adalah salah satu virus dalam kumpulan besar virus H7 yang biasanya ada pada burung. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) walaupun sesetengah virus H7 (H7N2, H7N3 dan H7N7) kadangkala ditemui menjangkiti manusia, tetapi tiada laporan mengatakan wujudnya jangkitan H7N9 daripada burung ke manusia sehinggalah berlakunya kes di China.

Di bawah disenaraikan beberapa persoalan yang kerap dikemukakan mengenai virus influenza.

Adakah gejala jangkitan H7N9 sama seperti H1N1?

Dr Lee berkata, virus ini memberikan gejala yang sama seperti influenza lain, cuma individu dijangkiti akan mengalami pneumonia (radang paru-paru) yang teruk. Gejala lain termasuklah demam, batuk dan sesak nafas.

Bagaimana virus yang sepatutnya berada dalam keluarga unggas ini boleh menjangkiti manusia?

Tiada siapa tahu jawapan yang pasti, tetapi penyelidik mendapati virus influenza boleh mengalami mutasi dan mengadaptasi untuk membolehkannya hidup dalam badan mamalia (termasuk manusia). Adaptasi ini termasuklah keupayaannya untuk berpaut pada sel mamalia dan membiak pada suhu badan.

Adakah H7 sejenis virus baru?

Tidak, kata Dr Lee. Virus H7 sudah dikesan sebelum ini dan berdasarkan maklumat WHO, dari 1996 hingga 2012, jangkitan virus H7 (H7N2, H7N3 dan H7N7) dilaporkan berlaku di Belanda, Itali, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom yang semuanya membabitkan unggas dan ternakan ayam.

Adakah virus H7N9 berbeza dengan H1N1 dan H5N1?

Ya. Walaupun ketiga-tiga virus ini dalam kelompok virus influenza A, setiap satu jauh berbeza. H7N9 dan H5N1 dianggap virus influenza haiwan yang kadangkala menjangkiti manusia. Sebaliknya virus H1N1 boleh dibahagikan kepada jenis yang menjangkiti manusia saja dan jenis yang menjangkiti haiwan saja.

Namun selepas negara kita dilanda virus H1N1, Kementerian Kesihatan menganggapnya sebagai virus influenza bermusim menyebabkan jangkitan teruk seperti pneumonia kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak khususnya di bawah lima tahun, warga emas melebihi 65 tahun, wanita mengandung dan penghidap penyakit kronik contohnya kencing manis.

Bagaimana seseorang itu boleh dijangkiti virus H7N9?

Dalam laporan terbaru, saintis di China mengesahkan adanya jangkitan virus ini daripada ayam ke manusia. Bagaimana jangkitan itu berlaku, belum dapat dipastikan tetapi kini langkah ketat diambil bagi mengekang penularannya.

Adakah selamat untuk pergi ke China?

Sehingga kini, WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan untuk ke China. Bagaimanapun Dr Lee berkata, jika tiada urusan penting dan sekadar mahu pergi melancong ke China terutama Shanghai dan Beijing, sebaiknya tangguhkan dulu rancangan itu. Jika ada urusan penting membabitkan keluarga, pendidikan, perniagaan dan seumpamanya, ambillah langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri.

“Berdasarkan maklumat, jangkitan virus H7N9 terkawal tetapi apakah keadaan sebenar seperti yang didakwa, tiada siapa tahu. Risiko ada tetapi mungkin tidak tinggi. Jadi untuk mengurangkan risikonya, eloklah ditunda dulu perjalanan anda. Jika berada di China, elakkan daripada pergi ke pasar basah atau menyentuh ayam atau burung yang dijual di sana,” katanya.

Apakah langkah pencegahan yang perlu diambil?

Dr Lee menyenaraikan beberapa langkah mudah iaitu:

a. Sentiasa jaga kebersihan tangan - menjaga kebersihan tangan sepatutnya menjadi amalan seharian kita, tidak kira ada penularan penyakit atau tidak. Bawa cecair pembunuh kuman beralkohol untuk digunakan terutama jika berada di tempat yang sukar mendapat air bersih.

b. Sentiasa bawa penutup hidung dan mulut, tisu atau sapu tangan ke mana saja anda pergi.


c.Cuba untuk tidak berada di tempat yang sesak walaupun penularan virus daripada manusia ke manusia.


d. Jika perlu berada di tempat yang ramai orang, pakai penutup hidung dan mulut.


e. Jika anda batuk dan perlu keluar, pakai penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan daripada menyebarkan virus yang ada pada anda kepada orang lain.

Jika tidak, pastikan anda menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin supaya virus yang ada dalam air liur dan cecair hidung anda tidak berterbangan dan memasuki saluran pernafasan orang lain.

Jika tiada tisu atau sapu tangan, halakan mulut anda ke bahagian dalam lengan setiap kali batuk atau bersin. Ini adalah tempat yang paling kurang disentuh atau bergesel dengan orang lain. Begitu juga jika anda berdiri berhampiran orang yang batuk, segeralah menutup hidung dan mulut dengan tisu atau sapu tangan.

f. Usah bimbang untuk makan daging daripada keluarga burung (termasuk ayam) selagi ia dimasak sepenuhnya. Maknanya, semua dagingnya perlulah berwarna putih (tiada bahagian yang berwarna kemerah-kemerahan). Telur juga selamat dimakan, asalkan kulitnya dicuci bersih sebelum dimasak.


g. Hentikan tabiat suka meludah merata-rata.


Oleh kerana virus influenza mudah mengalami mutasi, adakah perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza tahunan?

Jika ada kemampuan dan keperluan, tidak salah untuk mendapatkannya khususnya bagi individu yang ada urusan di China. Bagaimanapun, keperluan ini lebih tertumpu pada kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit yang mempunyai masalah paru-paru, asma, lupus, kegagalan buah pinggang, kencing manis dan pengguna ubat steroid serta mereka yang berumur 65 tahun ke atas.

Kumpulan berisiko ini bukanlah bermakna mereka lebih mudah mendapat jangkitan tetapi jika terkena, mereka lebih cenderung mengalami komplikasi yang akan membahayakan nyawa.

Setiap tahun WHO akan membuat dua penilaian ke atas keadaan epidemiologi dunia dan menyarankan jenis vaksin baru yang bersesuaian. Kandungan vaksin ini berbeza setiap tahun. Secara umumnya, vaksin influenza tahunan (bermusim) ini adalah trivalen iaitu mengandungi campuran strain virus influenza A dan B yang dijangka akan menyerang pada musim akan datang.

Bagaimanapun, vaksin ini tidak melindungi kita daripada H7N9. Pun begitu, dengan mengambilnya anda terlindung daripada virus influenza yang lain iaitu H1N1, H3N2 dan influenza B.

“Tidak perlu terlalu risau tetapi sentiasalah berwaspada demi menjaga kesihatan diri sendiri dan keluarga. Jika anda mendapat jangkitan walaupun virus influenza biasa atau selesema, orang yang paling berisiko untuk dijangkiti ialah anak-anak.

“Paling penting, sentiasa amalkan penjagaan kebersihan tangan. Mencegah dan melindungi itu lebih mudah daripada mengubati. Kita tidak akan rugi apa-apa kalau menjadikan penjagaan kebersihan tangan yang menjadi ejen paling cekap untuk memindahkan jangkitan sebagai amalan sepanjang hayat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29
`