Sabtu,26 Julai 2014

Peribadi mulia acuan al-Quran

Oleh Md Nazri Jefri

PASIR GUDANG: Program Pengamalan Sakinah mengupas cara terbaik membentuk keperibadian mulia di kalangan umat Islam iaitu mengamalkan apa yang disarankan al-Quran seawal usia enam tahun.

Menerusi program itu, pelbagai pengisian disediakan selain gotong-royong menyediakan juadah, berzanji, mencukur rambut bayi, marhaban, khatam al-Quran, aqiqah dan kemuncaknya majlis penyerahan taklif beramai-ramai sekali gus menyebabkan suasana positif dalam menghayati ajaran Islam.


Ketua Kampung Taman Nusa Damai, Daeng Imran Ibrahim, 56, berkata, tujuan penganjuran Program Pengamalan Sakinah bagi memastikan penghayatan amalan disarankan al-Quran oleh generasi sekarang memandangkan arus pemodenan berkeluarga membataskan aktiviti sedemikian.

Menurutnya, matlamat program memberi kesedaran khususnya generasi muda supaya apa yang diamalkan golongan terdahulu tidak dilupakan begitu saja dan paling penting, menguatkan ukhuwah di kalangan penduduk Islam.


“Persiapan dijalankan Jawatankuasa Penduduk Nusa Damai sejak kira-kira tiga bulan lalu dan Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 1,000 orang hadir. “Dengan adanya program ini ia sekurang-kurangnya membuktikan kepada masyarakat sekeliling bahawa amalan seperti mencukur rambut bayi, marhaban dan majlis serah taklif boleh dijayakan masyarakat sekiranya mereka bekerjasama,” katanya.


Program julung kali itu anjuran Jawatankuasa Penduduk Nusa Damai dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim Johor Bahru.

Penduduk, Abdul Rahman, 41, berkata, program itu membuatkannya berasakan seperti berada di kampung sedangkan ia dijalankan di taman perumahan berhampiran pusat bandar.


“Saya tidak sangka begitu ramai penduduk di sini bergotong-royong membersihkan kawasan surau dan memasak sedangkan ada di kalangan mereka terpaksa bekerja mengikut syif,” katanya yang berulang-alik dari Tebrau ke Pasir Gudang setiap hari.

Peserta khatam Al-Quran, Muhammad Husnul Fathi Zakaria, 10, berkata, amanah diberikan jawatankuasa penganjuran program supaya dia mengetuai khatam Al-Quran tidak akan disia-siakan kerana dia sendiri belajar mengaji sejak berusia enam tahun.


“Saya menganggapnya sebagai cara untuk membiasakan diri dengan majlis kerana apabila dewasa kelak, lebih banyak perkara yang perlu dipelajari,” katanya yang juga Johan Hafazan Peringkat Johor kategori bawah 12 tahun.


Program Pengamalan Sakinah Nusa Damai dirasmikan Setiausaha UMNO Bahagian Pasir Gudang, Sehabudin Ali. Turut hadir, Setiausaha Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Md Za’nal Misran, Ketua UMNO Nusa Damai, Abdul Rahman Ismail, Pengerusi KRT Zon Pasir Gudang, Mohd Saad Ismail dan hampir 1,000 orang penduduk Nusa Damai.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/08/20
`