Jumaat,29 Ogos 2014

Perkasa Perlembagaan pelihara hak istimewa

Kuala Lumpur: Orang Melayu perlu berjihad bagi memperkasakan Perlembagaan bagi memastikan hak istimewa mereka sentiasa terpelihara, kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah.

Beliau berkata, orang Melayu perlu sedar isu penting seperti pelantikan Perdana Menteri bergantung kepada suara majoriti di Dewan Rakyat meskipun dengan kelebihan satu undi. Sehubungan itu, katanya, mereka perlu celik dan memahami Perlembagaan terutama Artikel 153 yang menyentuh kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu dalam bidang sosial, ekonomi dan perniagaan. “Perlembagaan kalau difahami semua masyarakat, ia akan memberi kebaikan kepada negara. Orang Melayu, Cina dan India tahu hak masing-masing, maka kita saling menghormati.


“Soalnya orang Melayu sendiri tidak tahu hak. Kenapa mereka mahu mendengar cakap orang politik... dengarlah cakap pakar dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel Wacana Post Mortem Pilihan Raya ke-13 (PRU-13): Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, semalam.


Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia Datuk Dr Kamaruddin Kachar bertindak sebagai moderator.


Panel lain, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad dan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Terdahulu, Mohd Noor dalam ucapannya berkata, kumpulan yang menentang cadangan sekolah satu aliran yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar adalah mereka yang menentang perpaduan. Beliau berkata, sistem sedia ada yang membenarkan sekolah vernakular hanya menyebabkan rakyat berpecah-belah apabila usaha menyemai perpaduan tidak dapat dilakukan pada peringkat awal kanak-kanak.


“Di sana (sekolah satu aliran), mereka diajar di bilik darjah sama, makan di satu kantin dan bermain di satu gelanggang. Barulah kita boleh terapkan perpaduan,” katanya. Mengulas berhubung kedudukan sekolah vernakular, Mohd Noor berkata, semua pihak perlu sedar bahawa Perlembagaan menyatakan bahawa hanya ada sekolah satu aliran di negara ini. Beliau berkata, mengikut undang-undang, tiada peruntukan daripada dana negeri atau negara untuk disalurkan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil. “Jika ada pihak tidak berpuas hati, sila dapatkan perintah mahkamah untuk mencabar bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/13
`