Khamis,31 Julai 2014

Persandingan ala Mek Mulung

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Lima hari yang penuh debaran. Begitulah perasaan dilalui pelakon Mohd Hairi Safwan Aznan, 26, yang bakal mengakhiri zaman bujang Sabtu ini.

Pelakon drama Besan Tiga Segi yang lahir daripada program realiti Anak Wayang ini akan bernikah dengan Fara Afiza Azman, 24, di Masjid Abdullah Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang jam 10 pagi.

Majlis persandingan pula akan diadakan pada 7 Jun ini di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Kedah pada jam 8 malam bertemakan Mek Mulung.

Menjelang hari-hari terakhir sebagai orang bujang, Hairi masih mempersiapkan dirinya dengan ilmu agama dan baginya, tanggungjawab sebagai suami sebagai ketua keluarga begitu berat terutama dalam membimbing isteri.

Foto

HAIRI berdebar-debar menanti saat bernikah pada Sabtu ini.


“Tak dinafikan perasaan saya berdebar-debar menantikan hari bersejarah ini. Dugaan kecil pun banyak yang datang. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dapat melaluinya dengan baik.


“Cuma sekarang ini saya menitik beratkan persediaan agama kerana ini penting untuk saya mengimamkan dia ketika sembahyang. Saya masuk kelas mengaji al-Quran dan agama kerana merasakan masih jahil.

“Saya juga bimbang terkasar dengan isteri nanti, jadi dengan adanya persediaan agama saya dapat mengawal diri daripada berbuat demikian terhadapnya,” katanya.
Hairi menambah, ini bukan bermakna keluarga isterinya cerewet dan menetapkan syarat demikian, cuma kesedaran ini timbul daripada dirinya sendiri.

“Bakal mentua sangat baik dan terima saya seadanya. Saya lakukan semua ini atas kesediaan sendiri kerana memikirkan tanggungjawab besar yang dipikul apabila bergelar suami,” katanya.

Mereka bertunang pada pertengahan Ogos tahun lalu dan Fara kini menuntut dalam tahun akhir di Institusi Pendidikan Guru, Kampus Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah.

Mengulas kelainan majlis persandingannya, Hairi berkata, tujuannya untuk mengangkat budaya Melayu serta menghargai rakan-rakannya dari kumpulan teater negeri Kedah.

“Konsepnya seperti kisah teater Mek Mulung di mana saya dan bakal isteri akan berlakon sama. Tetamu yang hadir juga perlu berpakaian seperti orang kampung zaman dahulu kala.

“Konsep ini dicetuskan oleh rakan-rakan dari Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB) dan saya begitu menghargai sumbangan mereka,” katanya.


Berlakon teater

Dalam pada itu, Hairi akan muncul dalam teater Badang arahan M Nasri Ayob yang mengisi program Siri Semarak Bangsawan pada Oktober ini bersama Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Saya dapat panggilan daripada ASWARA untuk menjayakan teater ini dan tanpa teragak-agak terus menerimanya,” katanya.

Karier awal Hairi bermula dengan teater pada 2000 dan pernah terbabit menjayakan pelbagai teater antaranya 12 Dayung Patani, Tun Teja, Jebat, Seri Mersing dan Tok Arau.

Mengulas aktiviti terkini, Hairi melahirkan kesyukuran kerana rezekinya tidak putus-putus diterima dalam bidang lakonan.

“Saya baru habis berlakon drama Sedetik Cuma untuk TV Al Hijrah dan Kerana Terpaksa Ku Relakan untuk slot Akasia TV3,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18
`