Selasa,16 September 2014

Pertaruh bakat luar biasa

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) bakal menyaksikan persaingan dua peserta bertudung apabila Nadia Amira Othman, 20, (Amira) dari Johor layak dengan undian melalui aplikasi Samsung Galaxy Entri yang diumumkan di Konsert Prelude AF 2013 di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, malam kelmarin.

Selain Amira, seorang lagi peserta lelaki, Mohd Faizul Sany, 28, dari Sabah turut layak menyertai program realiti paling popular itu sekali gus melengkapkan 12 peserta yang terpilih sebagai pelajar AF 2013.

Sebelum ini, seorang lagi peserta bertudung, Nur Nabila Mohd Razali, 21, (Nabila) dari Kuala Lumpur terlebih dulu menempah tempat antara 10 peserta terawal AF 2013 yang diumumkan pada Konsert Top 24 Jumaat lalu.

Pemilihan dua peserta wanita berkenaan dilihat bakal menghangatkan saingan AF 2013 kali ini dengan kebanyakan peserta dipilih mempunyai bakat luar biasa selain mempunyai keistimewaan masing-masing.


Pada Konsert Top 24 itu turut menyaksikan penyertaan dua peserta dari Singapura iaitu Nur Aishah Abdul Aziz, 19, (Aisyah) dan Kamsani Jumahat, 23, (Sani) serta seorang peserta berbangsa Cina, Chin Teik Meng, 21, (Darren) yang berasal dari Pulau Pinang.


Empat peserta lain adalah Muhammad Ikhtiman Che Ismail, 23, (Iman) dari Kedah; Siti Ruhailah Hussein, 23, (Indah) dari Johor; Abdul Suhadah Unding, 21, (Suhada) dari Sabah dan Rasmawatie Mohd Thamrin, 18, (Nona) juga dari Sabah.

Sementara itu, dua peserta duo yang akan merancakkan saingan AF kali ini adalah pasangan dari Sabah iaitu Irsa Sahabuddin, 26, dan Irmiza Sahabuddin, 23, (Irmisa) serta pasangan Mohd Azhar Osman dan Hal Husaini Hazmi (Azhael) masing-masing berusia 25 tahun dari Kuala Lumpur.

Konsert itu juga menyaksikan pelakon komedi terkenal Zizan Razak diperkenalkan sebagai pengacara sekali gus menamatkan segala desas-desus berhubung pemilihan perantara program berkenaan.

Walaupun pengacara yang dilahirkan daripada program Raja Lawak itu acap kali tersasul, namun, secara keseluruhannya dia melaksanakan tugas itu dengan baik dan sering mengundang ketawa penonton dengan lawak spontannya.

Tirai konsert dibuka dengan persembahan bertenaga daripada Aishah yang menyanyikan lagu Galau dendangan asal penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza dan secara tidak langsung memukau penonton yang hadir.

Meskipun padang MPK 4 digenangi lecah dan becak berikutan hujan lebat pada sebelah petang ditambah pula keadaan pentas yang adakalanya licin, namun ia tidak langsung menjejaskan persembahan 10 peserta terawal.

Malah, penonton juga terus sabar menunggu selama dua jam walaupun terpaksa berpayung untuk melihat sendiri konsert berkenaan yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria di saluran 104 itu.

Kerusi pengkritik tetap pula diduduki komposer terkenal, Roslan Aziz, pelakon Sharifah Amani dan penyanyi serta komposer, Edry KRU.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, AF 2013 menampilkan sedikit kelainan dengan menyaksikan tiga tenaga pengajar utama yang dikenali sebagai Inspirer iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Melly Goeslow dan Faizal Tahir akan membimbing semua peserta.

Selama 10 minggu, pelajar akan menerima bimbingan dan latihan daripada tenaga pengajar profesional iaitu Cikgu Shafi yang bertindak sebagai guru vokal, Alam Wakaka dan Suhaili (koreografer) dan Fizz Fairuz sebagai guru seni dan persembahan.

Konsert pertama akan diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 14 September ini dan disiarkan secara langsung pada jam 9 malam.

Selain itu, beberapa program lain iaitu Diari AF akan dikendalikan naib juara program On Air, Hefny Sahad dan AF Buzz dan TGIAF (Terus Gempak...Inilah AF 2013).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/09
`