Sabtu,20 September 2014

Pinjaman RM50,000

Oleh Hayati Ibrahim

PUTRAJAYA: Penjaja dan peniaga kecil yang menawarkan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) akan diberi keutamaan untuk mendapatkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM50,000 yang akan mula ditawarkan Januari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dana berjumlah RM50 juta disediakan menerusi skim pembiayaan mikro kredit yang akan dikendalikan Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat).


“Kementerian bersetuju menawarkan skim mikro kredit kepada penjaja kecil dan peniaga, iaitu pinjaman tanpa faedah sehingga maksimum RM50,000 kepada yang layak.

“Keutamaan akan diberi kepada mereka yang terbabit dalam MR1M... ini satu insentif kepada mereka, di mana warung atau gerai yang menyediakan menu ini akan diberi keutamaan untuk mendapatkan pinjaman ini,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Inovasi dan Perhimpunan Bulanan kementerian, di sini, semalam.


Hadir sama, timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe.


Ismail Sabri berkata, ketika ini, Bank Rakyat sedang mendapatkan kelulusan dari Bank Negara Malaysia (BNM), sebelum diagihkan kepada pemohon yang layak.

Selain itu, beliau berkata, program Kedai Rakyat 1Malaysia, MR1M, Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dan Pemodenan Bengkel Automotif (Atom) akan diperluaskan tahun depan, bagi memastikan lebih ramai rakyat kurang berkemampuan mendapat manfaat.


“Kita belum memuktamadkan pertambahan yang akan dilakukan, semua bergantung kepada keputusan Perdana Menteri, tetapi yang pasti kita menetapkan untuk membuka 57 KR1M di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Kita juga bercadang memperkenalkan 1,000 MR1M tahun depan, sementara 500 kedai runcit akan terbabit dalam Tukar dan 50 bengkel akan diberi nafas baru melalui Atom...ini semua cadangan kita, sekiranya dipersetujui Perdana Menteri baru kita akan laksana, mungkin akan ditambah itu semua bergantung kepada beliau,” katanya.


Menurutnya, sepanjang tahun lalu kementerian berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan terhadap semua program berkenaan., hasil kerjasama semua pihak dan agensi dibawah kementerian.


“Kementerian ditetapkan untuk membuka 85 KR1M tahun ini, dan kita berjaya mencapainya, sementara KRIM ke-85 yang terletak di Semenyih akan dirasmikan oleh saya pada 18 Disember ini, begitu juga MR1M, sasaran sebenar hanya 3,000 menu tetapi hari ini kita mempunyai 3,188 menu, jauh dari sasarannya.


“Bagi program Tukar pula, sasaran hanya 500 kedai runcit tetapi kita berjaya menukar 565 kedai runcit, manakala 109 bengkel berjaya ditransformasikan melalui ATOM berbanding 50 sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15
`