Selasa,02 September 2014

Pokok herba tanaman hiasan

Oleh Azlan Hafeedz

SEBELUM ini pokok herba dipandang sepi peminat dekorasi taman lantaran dianggap tidak menyerikan kediaman.

Kini, semuanya berubah apabila tanaman herba mula menjadi pilihan ramai berikutan nilai dan khasiatnya yang tinggi terutama untuk kesihatan.

Dalam masyarakat Melayu tanaman herba dianggap penawar kepada beberapa
penyakit tertentu dari pucuk, daun, bunga akar dan kulit kayunya.

Foto

CANTIK...pokok herba jarum tujuh mampu mengeluarkan kuntuman bunga menarik dan ia berkhasiat untuk merawat kanser.

Foto

PENYERI...pokok keladi sesuai ditanam di celah bangunan atau rumah.

Foto

BERNILAI...pokok misai kucing ditanam secara berderet.

Foto

MENARIK...spesies keladi turut mengeluarkan bunga berwarna putih yang tumbuh di celahan daun.

Foto

ANEKA...pelbagai jenis pokok herba palma yang boleh didapati di restoran dan taman herba milik Raja Sayuti.

Foto

MUJARAB...pokok ekor kucing berkhasiat digunakan untuk kaedah rawatan tradisional.

Foto

ANTIK...dua pasu berukiran antik diletakkan dalam kolam sebagai penyeri taman.

Ada tanaman herba yang memiliki tekstur daun dan bunga pelbagai warna seperti pokok siantan, siantan Cina, jarum-jarum dan pecah periuk atau nama saintifiknya, Ixora Coccinea L dari famili Rubiaceae.

Semua pokok herba renek jenis berkayu itu sesuai ditanam di tepi pagar atau dalam pasu bagi menyerikan sudut tangga atau beranda rumah disebab­kan ketinggiannya hanya satu hingga dua meter saja.

Siantan Cina umpamanya terkenal dengan bunga kecil berwarna merah terang dan berjarum halus itu biasanya ditanam menggunakan kaedah keratan ranting atau dahan.

Bagaimanapun, pokok siantan Cina tumbuh lebih lambat berbanding spesies lain kerana tumbuhan jenis itu memerlukan pendedahan cahaya matahari sepenuhnya.

Akar, bunga dan ranting dari pokok siantan Cina itu juga mempunyai banyak khasiat antaranya sesuai untuk wanita yang mengalami kitaran haid tidak teratur, sakit kepala, darah tinggi, bisul, luka dan penyakit tibi.

Spesies herba lain yang turut mengeluarkan bunga adalah jenis misai kucing dan kumis kucing atau Orthosiphon Aristatus Miq dari famili Labiatae (Lamiaceae) yang berfungsi sebagai melawaskan buang air kecil, masalah ginjal, radang dan diabetes.

Herba jenis itu memiliki ranting halus dan daun jenis ringkas, nipis, berbentuk lembing atau bujur telur dengan panjangnya, tiga hingga sembilan sentimeter (sm) dan lebar (dua hingga lima sm).

Misai kucing pula biasanya tumbuh meliar di tepi hutan, jalan dan tanah terbiar dari kawasan mendatar hingga ketinggian 1,000 meter pada aras laut.

Selain sesuai hidup dalam pasu atau atas tanah secara tunggal, ia juga menarik ditanam secara berbaris, berjalur atau kelompok.

Ia juga hidup subur di kawasan sederhana teduh, selain memerlukan tanah yang tidak terlalu kering, sedikit lembap, tetapi tidak mempunyai air bertakung.

Pucuknya hendaklah sentiasa dicantas selalu supaya ia boleh menghasilkan lebih banyak cabang sebelum pokok berkenaan mengeluarkan bunga selain baja tambahan perlu diberi untuk pertumbuhan tunas baru.

Pokok ekor kucing dari famili Europhorbiaceae yang memiliki ketinggian dua meter pula mempunyai banyak bunga halus berwarna merah atau putih pada satu jambak, bagaikan ekor kucing dengan 20 hingga 50 sm panjang dan berjuntai.

Selain dijadikan pokok hiasan, tumbuhan jenis itu juga amat mudah ditanam sama ada secara tunggal di tanah lapang atau dalam pasu selain perlu sentiasa dicantas bagi membolehkan pokoknya tumbuh merimbun.

Kebanyakan tanaman herba di atas boleh anda temui di restoran dan taman herba milik Raja Sayuti Raja Salleh, 63, yang terletak di Kampung Alor Pasir di Jalan Pintas, Pasir Puteh, Kelantan.

Dianggarkan 300 jenis spesies tumbuhan herba ditanam dalam taman terbabit sejak 2001.

“Walaupun agak cerewet dan ‘manja’ untuk tumbuh kerana ia memerlukan tempat yang redup dan teduh, namun pokok herba itu memiliki nilai komersial tinggi. Selain digunakan untuk tujuan perubatan, ia juga sesuai dijadikan sebagai pokok hiasan kerana kemampuannya mengeluarkan bunga dan daun yang cantik serta menarik,” katanya.

Beliau berkata tanaman herba itu amat sesuai dijadikan pelengkap landskap halaman rumah kerana bunganya unik serta mampu mengeluarkan tona warna berbeza.

“Penjagaan tanaman herba itu agak mudah jika kita me­ngetahui kaedah serta tekniknya disebabkan ia tumbuh dalam tiga zon berbeza iaitu dari kawasan pedalaman hutan, pinggir bukit dan pantai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/31
`