Jumaat,14 Februari 2014

Pro-A kuasai semua kerusi

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa

SHAH ALAM: Calon pro-aspirasi (Pro-A) terus menguasai semua 226 kerusi pada Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas hanya calon daripada barisan itu yang bertanding bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013, kelmarin.

Difahamkan, barisan pro-mahasiswa (Pro-M) tidak pernah bertanding dalam pemilihan MPP di universiti itu menyebabkan barisan Pro-A hanya bertanding sesama sendiri tanpa perlu menghadapi saingan sengit daripada pihak lawan.


Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, jumlah kerusi yang dimenangi itu merangkumi kampus induk di sini dan kampus cawangan di seluruh negara dalam pemilihan yang diadakan serentak, kelmarin.

Beliau berkata, kemenangan bagi semua calon dari barisan pemimpin pelajar yang menyokong segala aspirasi pihak pengurusan universiti adalah sesuatu yang sudah dijangka.


“Jumlah peratusan yang keluar mengundi melalui sistem online atau e-voting adalah 77.75 peratus di semua kampus UiTM membabitkan 189,000 pelajar.


“Ini menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan berbanding 75 peratus saja pelajar yang keluar mengundi pada tahun lalu,” katanya selepas mengumumkan keputusan rasmi PRK di Kompleks Sukan universiti itu, malam kelmarin.

Sahol berkata, keseluruhan proses pilihan raya kali ini termasuk kempen dan pembuangan undi didapati berjalan dalam suasana aman serta lancar tanpa sebarang insiden.


Katanya, pihak luar juga tidak campur tangan dalam proses PRK universiti berkenaan dan pelajar bebas untuk membuat pilihan calon masing-masing.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kemenangan majoriti Pro-A saban tahun, beliau berkata ia adalah bukti perpaduan antara semua pelajar di universiti itu.


“Di UiTM kami tiada Pro-M kerana kami mempunyai perpaduan yang erat dan ia adalah bukti pelajar kita menolak sebarang unsur dan anasir jahat yang cuba memburukkan nama universiti. “Kami juga mengamalkan pendekatan yang mesra dalam kalangan pelajar,” katanya.


MPP Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Zainal Abidin, 20, menganggap kemenangannya sebagai persaingan yang sengit bersama dua calon yang turut merebut jawatan yang sama.


Katanya, dengan kemenangan majoriti 800 undian, beliau akan menjalankan tugas sebagai pemimpin, terutama membabitkan kebajikan pelajar.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/22
`