Projek Azam Tani berjaya

Projek Azam Tani berjaya

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Program Azam Tani yang mula diperkenalkan pada 2010 adalah satu projek di bawah 1 Azam (Akhiri Zaman Miskin) bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam usaha mempertingkatkan hidup rakyat berpendapatan rendah diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, semua peserta terbabit kini memperoleh pendapatan lebih baik, malah menikmati kehidupan yang lebih selesa, semuanya hasil sumbangan, latihan dan peluang yang disediakan kerajaan.


“Kita boleh memberi banyak contoh bagaimana individu berkenaan sudah meraih peluang dan pendapatan jauh lebih baik. Umpamanya seorang peserta Azam Tani bernama Hamzah Husni Mohamad dari Melaka yang (dulunya) bekerja sendiri mengusahakan tanaman padi dengan pendapatan amat sedikit iaitu RM120 sebulan saja.


“Beliau juga tidak berkemampuan untuk terus menanam padi kerana tiada keperluan asas seperti pam air, mesin racun, benih dan racun serangga serta baja padi, tetapi selepas menyertai Program Azam Tani dan berusaha gigih, kini pendapatan beliau hampir RM12,500 bagi tempoh empat hingga lima bulan atau semusim.


“Banyak lagi kisah kejayaan peserta Azam Tani lain yang mengusahakan tanaman cili, cendawan, menternak ikan patin, ayam kampung dan pelbagai sayuran lain, yang hari ini memperoleh pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan dan sudah keluar dari golongan miskin tegar dan miskin,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 (NBOS 3) Sepang, di Jalan Nilai-Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.


Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd Hashim Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur, Ahli Parlimen Sepang merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian kawasan Parlimen Sepang, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.


Projek NBOS 3 yang dilaksanakan melalui kerjasama MOA, Kementerian Pertahanan, Mardi, Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah Sepang dan beberapa agensi lain itu membabitkan penanaman rock melon secara teknik fertigasi menggunakan struktur pelindung hujan di kawasan seluas tiga hektar milik ATM.


Dalam pada itu, Najib berkata, penggunaan teknologi terkini dan keupayaan untuk melakukan inovasi juga menjadi kunci utama untuk menangani beberapa cabaran dihadapi sektor pertanian seperti perubahan cuaca, peningkatan harga input seperti baja dan racun, keselamatan makanan serta kebergantungan kepada tenaga buruh asing.