Rabu,23 Julai 2014

Punca hilang deria bau

BAU adalah deria penting dalam hidup manusia. Hilang deria bau boleh terjadi di kalangan masyarakat tanpa mengira usia, bergantung kepada sebab tertentu.

Kepentingannya begitu signifikan untuk kehidupan manusia. Berbeza dengan sesetengah haiwan yang bergantung hidup menggunakan deria bau, bagi manusia, deria ini tidak menjadi keperluan penting untuk memastikan kesinambungan hidup, lantas menjadikannya kurang dihargai.

Hanya selepas menghadapi masalah dengannya, baru kita mula risau dan cuba pelbagai kaedah bagi mendapatkan semula deria yang hilang.

Ramai antara kita lupa dengan nikmat yang penting ini hinggalah kehilangannya. Misalnya, ketika hidung tersumbat akibat demam, batuk dan selesema, deria bau boleh hilang. Begitu juga kebolehan merasa makanan.


Makanan jadi kurang menyelerakan kerana tiada lagi bau menarik perhatian. Keadaan ini menunjukkan betapa pentingnya deria bau demi mewujudkan hidup lebih sempurna.



Bagaimana bau terhasil?

Rangsangan atau stimulasi bau berlaku ketika atau dengan cara kita menarik nafas. Tiada orang mencium bau sesuatu bahan dalam keadaan nafas dihembus keluar.


Bagaimana bau diterjemahkan?

Partikel zarah yang ada bahan dengan kapasiti mengeluarkan bau bercampur dengan udara. Semakin dekat dihidu, semakin tinggi kepekatan partikel ini berbanding jika dihidu dari jauh.

Sewaktu menarik nafas, udara yang mempunyai partikel turut masuk ke hidung manusia yang ada struktur dipanggil hujung saraf olfaktori di kedua-dua belah hidung. Kawasan itu wujud di bahagian paling atas atau bumbung (roof) kaviti hidung di kedua-dua belah kanan dan kiri.

Keajaiban struktur dalam hidung yang dicipta sedemikian supaya udara sewaktu disedut melalui kawasan olfaktori ini secara maksimum yang membolehkan kita mencium bau sesuatu bahan. Di kawasan struktur itu, banyak reseptor sensori bertanggungjawab mengesan stimulasi bau.

Reseptor ini diaktifkan apabila wujud rangsangan yang dibawa udara disedut. Impuls elektrik ini dikonduksikan secara bersambung dari satu bahagian ke bahagian lain sehingga ia sampai ke korteks otak yang menterjemahkan apakah jenis bau dihidu, berdasarkan pengalaman lalu.


Masalah bau

Deria bau yang mantap bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya adalah keperluan stimulasi yang bermula dengan partikel mencukupi sampai ke kawasan olfaktori.

Keadaan di kawasan lapisan mukosa olfaktori juga perlu baik dan sempurna fungsinya, di samping keutuhan saraf olfaktori yang akan membawa impuls elektrik ke otak juga fungsi kawasan otak yang akan menterjemahkan rangsangan itu. Masalah kepada satu bahagian ini akan mengganggu persepsi deria bau.

Anosmia ialah keadaan hilang deria bau secara keseluruhan, iaitu tiada bau langsung dinikmati.

Hiposmia pula ialah keadaan deria bau masih ada tetapi dalam keadaan yang memerlukan lebih banyak atau lebih kuat rangsangan bau.

Maksudnya, stimulasi kecil mungkin dapat dirasai seseorang yang normal, tetapi mereka yang mengalami hiposmia perlu mendapat rangsangan dalam kepekatan lebih tinggi.

Parosmia pula ialah keadaan seseorang menterjemahkan bau secara tidak kena dengan rangsangan diberi. Selalunya, bau diberi dikatakan tidak selesa walaupun ia baik bagi yang normal.


Bila perlu berjumpa doktor?

Masalah deria bau yang berlanjutan mungkin memerlukan anda berjumpa doktor bagi memastikan ia tidak mengganggu kesihatan. Anosmia boleh dikesan melalui ujian tertentu. Doktor akan mengambil sejarah pesakit secara terperinci, termasuk masalah alahan dan simptom lain yang berkaitan seperti hidung tersumbat, sinusitis, penyakit terdahulu atau sejarah trauma yang pernah menimpa.

Pemeriksaan sistem saraf dilakukan bagi melihat jika ada saraf kranial rosak. Pemeriksaan hidung dibuat secara sistematik, termasuk naso-endoskopi untuk melihat keabnormalan dalam hidung.

Kawasan yang difokuskan ialah bahagian atas kaviti hidung dengan tidak mengetepikan pemeriksaan bahagian lain yang mungkin terbabit. Diagnosis serta tahap kemerosotan bau boleh diuji lebih cekap dan berkesan dengan menjalankan ujian bauan (smell test).

Ada kala, selepas kemalangan, wujud perubahan dalam deria bau seseorang iaitu bau tertentu yang biasanya boleh dihidu, hilang atau tidak hadir.

Dalam keadaan tertentu, selepas trauma kepala, ada pesakit mempunyai anosmia di sebelah hidung saja (unilateral). Deria bau perlu diuji secara individu dalam setiap lubang hidung.

Kajian ke atas pesakit yang menderita anosmia mendapati, apabila menguji dengan kedua-dua lubang hidung terbuka, anosmia tidak boleh dikesan.

Namun, apabila menguji setiap lubang hidung secara individu, ia menunjukkan deria bau biasanya terjejas dalam satu hidung saja. Ini menunjukkan anosmia unilateral kerap berlaku kepada pesakit anosmia.


Punca

Punca kehilangan sementara deria bau boleh disebabkan hidung atau jangkitan yang dihalang.

Seperti dinyatakan di atas, mana-mana bahagian yang terbabit dalam perjalanan olfaktori daripada hidung ke otak mengakibatkan gangguan kepada resepsi deria bau.

Antara punca sering ditemui ialah rongga hidung tersumbat. Ia mudah difahami kerana udara kurang masuk ke hidung, menyebabkan kurang partikel bau sampai ke kawasan olfaktori.

Hidung tersumbat boleh disebabkan oleh polip hidung, hipertrofi ‘turbinate’ atau pembengkakan (edema) membran mukosa hidung akibat jangkitan saluran pernafasan atas seperti influenza, masalah alahan hidung (allergic rhinitis) atau ketumbuhan.

Hilang deria bau juga sering dikaitkan dengan kemalangan membabitkan muka dan hidung, menyebabkan kepatahan tulang maksilla dan tulang lain sekitar hidung yang boleh menyebabkan kerosakan kawasan olfaktori. Kerosakan begini boleh bersifat kekal.

Ada kala, hilang deria bau mungkin disebabkan ketumbuhan dalam otak membabitkan struktur saraf yang dalam konduksi deria bau.

Sebaliknya, kehilangan kekal bau boleh disebabkan kematian neuron reseptor olfaktori dalam hidung atau kecederaan otak yang membabitkan kerosakan kepada saraf olfaktori atau kerosakan kawasan otak untuk memproses bau.

Kekurangan deria bau ketika lahir pula biasanya disebabkan faktor genetik, yang disebut anosmia kongenital. Ia mungkin menjadi tanda awal penyakit otak degeneratif seperti Parkinson dan Alzheimer.

Satu lagi sebab tertentu kehilangan kekal mungkin disebabkan kerosakan pada neuron reseptor olfaktori kerana penggunaan jenis semburan hidung tertentu untuk hidung tersumbat, yang akan menghasilkan salur darah mengecut (vasoconstriction) dalam peredaran mikro hidung.

Bagi mengelakkan kerosakan berlaku dan risiko kehilangan bau seterusnya, semburan hidung hanya perlu digunakan apabila sangat diperlukan dan untuk masa singkat. Untuk alahan hidung (allergic rhinitis), penyembur hidung steroid boleh digunakan dalam jangka masa lama tanpa risau kehilangan deria bau.

Anosmia boleh memberi kesan berbahaya. Antaranya pesakit mendapati makanan kurang menyelerakan, walaupun mereka yang mengalami anosmia kongenital jarang mengadu perkara ini.

Hilang deria bau juga boleh menjadi berbahaya kerana ia menghalang pengesanan kebocoran gas, kebakaran dan makanan basi.

Pandangan umum anosmia lebih sukar bagi pesakit untuk menerima bantuan perubatan jenis sama sebagai seseorang yang kehilangan deria lain, seperti pendengaran atau penglihatan.

Kehilangan bau memori yang mantap dan sentimental (contohnya bau rumput, bau pakaian, bantal busuk, buku tertentu, orang yang tersayang, atau diri sendiri) diketahui menyebabkan perasaan tertekan.

Kehilangan deria bau boleh membawa kepada kehilangan libido, walaupun biasanya tidak berlaku untuk kongenital anosmia.

Selalunya individu yang ada gejala ini berpura-pura boleh menghidu bau ketika kanak-kanak kerana menyangka deria bau adalah sesuatu yang boleh berlaku apabila usia meningkat, atau tidak memahami konsep berbau serta tidak mahu kelihatan berlainan daripada orang lain.

Apabila kanak-kanak lebih tua mengadu mempunyai masalah deria bau, ia sering mengejutkan ibu bapa, walaupun sebenarnya mereka mengalami kongenital anosmia.



Punca anosmia termasuk:

  • Jangkitan saluran pernafasan atas (URTI- upper respiratory tract infection) membabitkan demam, batuk, selesema dan sakit tekak

  • Alahan hidung (allergic rhinitis with inferior turbinate hypertrophy)

  • Polip hidung

  • Idiopathic hypogonadotropic hypogonadism

  • Hipotiroid

  • Trauma kepala dan kerosakan tulang ethmoid

  • Dementia (nyanyuk)

  • Tumor daripada lobus frontal (frontal lobe)

  • Parkinson Toksin (terutama akrilat, methakrilat dan kadmium)

  • Usia tua

  • Sindrom Kallmann

  • Sindrom post-perfusi

  • Laryngectomy dengan tracheostomy kekal

  • Esthesioneuroblastoma ialah tumor sangat jarang kanser yang berasal di dalam atau berhampiran saraf olfaktori. Gejala anosmia (kehilangan deria bau) sering diiringi sinusitis kronik

  • Penggunaan dadah intranasal (menyedut melalui hidung)

  • Virus neurotropik

  • Skizofrenia

  • Anemia pernicious (produk berasaskan zink intranasal)

  • Kronik rinitis atropik

  • Penyakit tulang paget

  • Aneurisme sereberum

  • Idiopathic hipertensi intrakranium

  • Meningioma suprasellar

  • Penyakit refsum

  • Sarcoidosis


    Rawatan

    Walaupun anosmia disebabkan kerosakan otak tidak boleh dirawat, anosmia disebabkan radang dalam mukosa pula mampu dirawat penggunaan steroid, sama ada secara oral atau semburan hidung. Bagaimanapun, rawatan ini tidak kekal dan mungkin perlu diulangi selepas beberapa ketika.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/07
  • Artikel Lain

    `