KUALA LUMPUR: Pemilik tanah di Kampung Baru di sini, bakal menjadi jutawan dengan menerima bayaran dianggarkan mencecah RM4 juta seorang jika mereka bersetuju cadangan konsep pembangunan semula kawasan itu.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata ia berikutan nilai lebih 80 hektar tanah kawasan itu melonjak daripada RM350 sekaki persegi kepada lebih RM2,000 untuk ukuran sama yang dianggarkan bernilai lebih RM20 bilion.
“Justeru, penduduk dinasihatkan menerima cadangan dikemukakan kerajaan kerana pelbagai manfaat bakal diperoleh mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup pertandingan akhir Malaysia Inter-varsity Debate Piala Menteri Pelajaran Tinggi (Mohec) di Auditorium, Balai Ungku Aziz, Fakulti Pergigian Universiti Malaya di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya akan membentangkan secara lengkap konsep projek perumahan Kampung Baru kepada Kabinet dalam tempoh tiga bulan.
“Kementerian akan menyediakan kertas kepada Kabinet mengenai pembangunan semula itu untuk dibincangkan dan perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum sesi dialog dengan penduduk dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, cadangan pembangunan semula hanya akan dilaksanakan selepas mendapat persetujuan penduduk.
“Pada masa sama, kerajaan mengkaji untuk membentangkan akta baru seperti diamalkan Singapura yang membolehkan kerajaan membangunkan sesuatu kawasan jika 80 peratus daripada penduduk kawasan berkenaan menyatakan persetujuan,” katanya.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung cadangan pembangunan Kampung Baru yang sekian lama tergendala, kelmarin.
Berkonsepkan pembangunan moden, Kampung Baru yang meliputi kawasan seluas 89.2 hektar membabitkan tujuh kampung dihuni lebih 35,000 penduduk akan bertukar wajah.
Ia bakal menjadi kawasan dilengkapi bangunan pencakar langit, kondominium, pusat beli-belah dan penempatan selain menawarkan ruang perniagaan untuk Bumiputera.
Pembangunan itu juga dijanjikan tidak akan meminggirkan hak penduduk, terutama 1,000 pemilik tanah dengan memberi peluang kepada mereka menentukan corak dan kaedah pembangunan sesuai.
Raja Nong Chik berkata, penduduk juga tidak perlu bimbang kerana kepentingan setiap pemilik tanah tidak akan diabaikan.
“Kerajaan ikhlas mahu membantu masyarakat Kampung Baru menjadi masyarakat moden dan mendapat nilai tinggi kepada hak milik tanah mereka, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.
“Mereka juga diharap tidak mendengar hasutan pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mahu menggagalkan usaha kerajaan membangunkan kawasan itu,” katanya.
PADANG BESAR: Seorang tekong darat lari meninggalkan lapan pendatang asing tanpa izin apabila ...