Sabtu,23 Ogos 2014

Raja Lawak 5 bantu Elly

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Minatnya dalam bidang seni sudah lama berputik. Dek kerana itu, Sarimah Mohd Daud atau lebih dikenali sebagai Elly memberanikan diri mencuba nasib menyertai program realiti Raja Lawak 5 sebagai pentas untuk mengembangkan bakat.

Bersama regunya, Zarina Mohd Nor, mereka menggunakan nama Kami bagi menyahut cabaran sebagai peserta Raja Lawak 5. Namun perjuangan mereka tidak lama apabila terhenti hanya pada minggu ketiga.

Bagaimanapun, gadis berusia 31 tahun dari Taiping ini mampu tersenyum kerana sekurang-kurangnya berjaya menempatkan nama di antara 12 peserta pada musim itu.

Selain berjaya memecah dominasi kaum lelaki, Elly gembira kerana dirinya semakin diterima dan dikenali peminat.


“Sebenarnya saya suka berlawak dengan kawan-kawan ketika di bangku sekolah. Sebagai ekstra, ada juga berlakon karakter lawak tapi cabaran dalam

Raja Lawak sangat besar. Inilah punca kami tersingkir awal,” katanya kepada RAP, baru-baru ini.

Bercerita lagi, Elly memberitahu permulaannya dalam seni agak sukar kerana awalnya ibu bapa kurang menggalakkan sebab bimbang melepaskannya berhijrah ke ibu kota.

“Sebelum masuk Raja Lawak, saya terpaksa cari kawan untuk dijadikan pasangan. Saya kenal Zarina ketika menyertai satu program. Alhamdulillah, dia
sedia menyahut cabaran bersama saya dan keluarga pun membenarkan,” katanya.

Elly baru selesai berlakon drama Ini Harta Aku Punya, Jejaka J dan Biasa Jer untuk Astro Warna dan Misteri X untuk RTM. Semua drama ini genre komedi kecuali Misteri X yang bergenre aksi ‘thriller’.

Mengagumi pelakon Norkhiriah, Elly diberikan nama Sarimah sempena nama seniwati veteran tersohor itu. Dia kini gembira kerana turut didatangi tawaran tidak diduga dalam bidang nyanyian apabila ditawarkan merakamkan single berkonsep komedi berjudul Ketepi Ketengah di bawah label Loonaq Records.

Lagu Ketepi Ketengah dipasarkan dalam bentuk digital dan nada dering. Peminat boleh menyaksikan muzik video nyanyian Elly menerusi YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04
`