Rabu,03 September 2014

Rancang majlis hari jadi anak

SAMBUT ulang tahun hari lahir anak? Bunyinya memang menyeronokkan kerana ia suatu majlis yang menggembirakan semua orang. Baik orang yang menyambutnya, tetamu dan si empunya hari jadi.

Kanak-kanak memang seronok menyambut ulang tahun hari lahir dan selalunya ia menjadi kenangan terindah dalam memori mereka. Seorang ibu muda mengadu, anaknya ramai jadi dia tidak menang tangan hendak menyambut ulang tahun hari lahir setiap seorang. "Hendak menggunakan perkhidmatan katering mahal pula," keluhnya lagi.


Sebenarnya ulang tahun hari lahir anak boleh disambut secara sederhana di samping kemeriahannya tetap terasa. Apa yang penting perancangan awal dan menabung bagi tujuan itu.

Kaedah merancang awal memang disarankan Rozalawati Ngah, 38, yang memulakan perniagaan kek sejak Mac 2009. Membuat kek dan biskut secara sambilan, Rozalawati sebenarnya mempunyai kerjaya tetap sebagai pengurus. "Rancang majlis ulang tahun hari lahir anak sekurang-kurangnya perlukan dua bulan lebih awal. Dari situ kita sudah tetapkan tarikh, masa dan bilangan tetamu. Begitu juga lokasi majlis yang sesuai dengan bilangan tetamu. Tema parti dan dekorasi juga penting dan jadi lebih menyeronokkan sekiranya empunya diri diajak berbincang kerana dari situ kita dapat tahu apa yang kanak-kanak mahu," katanya.


Kata Rozalawati, perancangan awal termasuk memilih kek dan menu. "Tanya anak bagaimana kek yang mereka mahu dan dari situ kita boleh sama-sama membuat bajet. Tentu saja kata putus daripada ibu bapa yang mengeluarkan wang. Menu makanan pula bergantung kepada siapa tetamu kita. "Jika menjemput ibu bapa sekali, mungkin kena sediakan makanan untuk orang dewasa. Cuma, makanan untuk majlis itu biarlah yang ringkas dan sederhana saja," katanya.


Lagi menyeronokkan anak kita sekiranya kad jemputan pun dibuat. "Kad jemputan elok dihantar sebulan sebelum majlis. Ini memudahkan tetamu merancang aktiviti mereka. Seeloknya kad jemputan dibuat sendiri, yang ringkas-ringkas saja, tetapi comel," katanya.

Bagaimana pula aktiviti sepanjang majlis? Bacaan doa selamat, potong kek dan terus makan kemudian pulang? Bagaimana merancang aktiviti bagi si kecil? "Jika mengundang ibu bapa sekali, lebih mudah memberi tugas pengacara majlis kepada orang lain, seperti anak saudara atau adik-beradik lain.


"Ini kerana ibu bapa sebagai tuan rumah tentu saja sibuk melayan tetamu dan memastikan semua perkara berjalan lancar. Berbincang terlebih dulu dengan pengacara majlis untuk mengadakan permainan yang tidak mengambil masa lama untuk setiap satu permainan.

"Pastikan hadiah kecil diberikan kepada pemenang. Selain itu, kini ramai yang sering menyediakan cenderahati. Ini juga sesuatu yang menggembirakan kanak-kanak. Tidak perlu yang mahal atau besar kerana kanak-kanak mahu sesuatu yang menggembirakan mereka," katanya.


Apa yang sering berlaku, disebabkan tidak merancang teliti termasuk tidak membuat bajet, terkocoh-kocoh pada saat akhir, ibu bapa membeli kek yang sedia ada di kedai. Walaupun mudah dan cepat, tentu saja ia tidak seistimewa kek yang ditempah khas. "Bagi kek yang biasa saja, elok menempah seminggu lebih awal. Namun, bagi kek yang mempunyai tema tertentu elok menempahnya dua minggu lebih awal," katanya.


Disebabkan berkerjaya tetap, Rozalawati mengehadkan pengambilan tempahan kek dan biskut pada hari bekerja dan hari sekolah.


"Saya lebih kepada tempahan hujung minggu. Seboleh-bolehnya saya elakkan tempahan saat akhir sebab akan mengganggu jadual harian. "Jika menerima tempahan pada hari kerja, saya akan membancuh dan membakar kek pada waktu Subuh sehari sebelum pengambilan atau penghantaran dan pada sebelah malam, saya akan menghias kek," katanya.


Antara tema kek yang biasa Rozalawati terima ialah kartun Ben10, Princess, gambar kanak-kanak yang menyambut ulang tahun hari lahir bersama kartun pilihan, anak patung kecil, pasukan bola sepak, iPhone dan kartun popular yang lain. Pada zaman semuanya mahal dan kebanyakan ibu bapa turut mengajar anak mereka berjimat, kita juga boleh berhemah walaupun tetap menggembirakan hati anak.


"Paling penting perancangan awal. Apabila semua dirancang awal, kita ada banyak masa membabitkan hal pembelian. Cenderahati boleh dibeli ketika jualan murah, berbincang dengan pembuat kek supaya kek tidak melebihi bajet manakala bagi majlis yang besar, kek lebih popular kerana menjimatkan dan ia boleh dipotong kecil.


"Kek cawan pula sesuai untuk majlis kecil, lebih mudah dan dapat mengelak pembaziran. Menu boleh dikurangkan dan kita ada banyak masa memilih katerer yang menawarkan harga lebih berpatutan. Dapatkan pakej yang menguntungkan.


"Boleh juga menyediakan makanan sendiri dan rancang cara pembikinannya yang tentu sahaja lebih menarik dan lazat seperti sandwic ukuran kecil yang mudah disajikan untuk kanak-kanak dan elak pembaziran. "Pilihan lain termasuk ayam goreng yang dipotong kecil, nuget dicucuk lidi sate, gula-gula yang dibeli ketika jualan murah, agar-agar berwarna warni diletakkan di dalam bekas plastik yang kecil, muffin kecil dan ditabur biskut sebagai hiasan," katanya.


Walaupun bergembira menyambut ulang tahun hari lahir, kesihatan anak dan tetamu harus juga dijaga.


"Untuk menjaga kesihatan, kek dan biskut boleh dikurangkan kandungan lemak dan gula. Sekarang pun saya menggunakan susu rendah lemak dan selalunya apabila saya mengurangkan gula 50 gram daripada resipi asal, rasanya tetap enak," katanya.


Dalam menetapkan harga jualan keknya, Rozalawati yang berasal dari Terengganu dan kini tinggal di Balakong, Selangor memastikan ia berpatutan mengikut saiz dan corak kek. Pelanggannya sekarang sekitar tempat tinggalnya serta di Kajang, Bangi dan Seri Kembangan. Jika lebih jauh selalunya pelanggan datang sendiri mengambilnya di rumah.


"Saya bekerja berkumpulan bersama suami (Ahmad Syahrizal Omarudin) dan anak turut membantu. Mereka (Ain Suraya, 12, Aina Sofia, 12, Ahmad Sufian, 10 dan Ahmad Solihin, 9) sudah tahu tugas masing-masing.


"Antaranya, mereka menyediakan krim mentega dan mewarnakannya, menekap bentuk, penghantaran serta mencuci dan mengemas peralatan memasak apabila selesai," cerita Rozalawati.


Katanya, anaknya yang paling cepat belajar ialah Ain Suraya, tetapi yang paling kreatif si Aina Sofia.


"Selalunya saya menghias kek pada waktu makan malam selepas suami dan saya bergilir-gilir melayan anak dan membantu mereka menyiapkan kerja sekolah. Apabila hujung minggu baru semua akan turun padang, sama-sama membantu. Sokongan suami dan anak sangat membantu," katanya.


Rozalawati bersyukur kerana dia dan suami mempunyai minat yang sama. Selain menambah pendapatan, mereka dapat mengeratkan hubungan kerana aktiviti membuat kek dan biskut ini dijadikan aktiviti keluarga.


Rozalawati juga boleh dilawati di laman blognya, dlittlekitchen.blogspot.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/01/24
`