Rawatan moden, tradisional

Rawatan moden, tradisional

Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Suasana mendamaikan itu juga ditambah dengan kehadiran wangian aromaterapi bagi menghidupkan konsep yang dipilih iaitu Melayu Nusantara.

Susunan batu sungai menyusuri tepian pejalan kaki digabungkan bersama konsep kayuan yang digunakan seolah-olah membawa diri ke kampung halaman bersama deruan air dan sinaran lilin aromaterapi.

Kunjungan kami disambut dengan keindahan dekorasi yang dipersembahkan bagi memberi ketenangan selain kemudahan disediakan untuk pengunjung seperti ruangan tempat duduk.

Malah penantian pengunjung juga tidak dilupakan kerana dihidangkan dengan minuman teh halia panas untuk berehat seketika sebelum dibelai dengan urutan menyegarkan tubuh badan.

Menariknya, di pelbagai sudut dipamerkan rempah ratus yang dikatakan mempunyai kebaikan dan khasiat tersendiri yang dipercayai dapat membantu mengekalkan kecantikan tubuh badan yang diamalkan sejak turun temurun.

Pengurusnya, Rosy Ariff berkata, ilham Melayu Nusantara dipilih dengan mencampurkan dekorasi alam semula jadi ditambah dengan penggunaan warna coklat, putih serta hijau bagi menonjolkan lagi konsepnya.

“Konsep rumpun Melayu yang turut dicampur dengan inspirasi Indonesia misalnya Bali digunakan bagi menghidupkan lagi suasana di spa ini.

“Selain itu, ia menekankan ciri-ciri spa keluarga dengan menyediakan pelbagai pakej pilihan untuk mendapatkan rawatan bermula daripada rambut hingga kaki.

“Pakej untuk seisi keluarga ini memberi peluang kepada mereka yang ingin menghabiskan masa bersama keluarga di samping mendapatkan rawatan kecantikan.

“Ibu, ayah atau anak mempunyai peluang untuk mendapatkan rawatan masing-masing agar sama-sama menjaga kecantikan diri yang dimulakan sejak awal lagi,” katanya.

Bagi pengunjung yang begitu mementingkan aspek kecantikan, boleh dapatkan khidmat urutan tangan, kaki, kepala atau badan selain rawatan lain yang biasa diperoleh di spa lain.

Namun menariknya, Rosy menerapkan rawatan mandian garam, susu dan rempah ratus selain menyediakan jakuzi bagi mereka yang ingin melepaskan lelah selepas penat bekerja.

Menggabungkan rawatan dan bahan tradisional, spa yang dikendalikan Rosy itu turut menggunakan alat berteknologi tinggi seperti sauna inframerah.

Selain itu, spa DFNSS yang beroperasi di SU Mall, Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor ini juga menawarkan rawatan untuk wanita yang baru lepas bersalin dan pakej bagi mereka yang ingin melangsingkan badan.

Rosy menambah, spa yang mula beroperasi sejak Februari 2010 itu dibuka atas dasar minatnya yang mendalam dalam bidang kecantikan biarpun pernah tinggal di luar negara selama 10 tahun.

“Pengalaman tinggal di Amerika Syarikat membuatkan saya percaya dengan penjagaan kesihatan mengikut amalan Melayu misalnya berpantang selepas bersalin.

“Biarpun jauh di luar negara, saya masih menggunakan ramuan herba tradisional dan mengikut cara berpantang masyarakat Melayu.

“Ini kerana penjagaan yang begitu teliti dan menggunakan herba disyorkan dapat membantu mengekalkan kecantikan, apatah lagi bagi mereka yang baru melahirkan anak.

“Ilmu mengenai amalan berpantang itu turut dikongsi bersama dengan rakan di negara itu dan mendapati ia baik bagi mereka yang ingin menjaga kesihatan dalaman dan luaran.

“Apabila melihat situasi itu, saya mula terfikir untuk membuka spa bagi memastikan ilmu kecantikan yang dimiliki boleh dikongsi dengan orang lain,” kata ibu beranak enam yang begitu mementingkan aspek kecantikan tubuh badan.

Untuk sebarang maklumat lanjut, layari dfnusantaraspa.blogspot.com.