Rabu,27 Ogos 2014

Resah ibu jadi nyata

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Melaka: “Sejak kebelakangan ini, saya terlalu merindui Muhammad Izzat dan kerap berasa tidak sedap hati seolah-olah sesuatu perkara buruk bakal berlaku kepada keluarga kami,” kata Kalsom Zainal, 54, ibu kepada penolong pegawai perubatan yang maut selepas kereta dinaikinya terbabit kemalangan menjelang waktu berbuka puasa di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berdekatan Umbai, di sini, kelmarin.

Selain mangsa, Muhammad Izzat Yusop, 24, yang meninggal dunia di tempat kejadian, tragedi jam 6.45 petang itu turut mengakibatkan dua mangsa lain termasuk seorang wanita parah.


Difahamkan, mangsa yang menaiki kereta Perodua Viva dipandu rakannya dikenali sebagai Asiilah Shyaira, 24, datang dari Muar, Johor, menuju Umbai untuk mengambil kereta kakaknya di sebuah bengkel kenderaan. Sebaik tiba di tempat kejadian, Proton Saga Aeroback dipandu Amir Azamuddin Haisan, 19, terbabas memasuki laluan bertentangan hingga melanggar pokok hiasan pembahagi jalan dan merempuh kereta dinaiki dua sahabat itu.

Perlanggaran menyebabkan Proton Saga itu terbalik, manakala dua mangsa masing-masing Izzat dan Amir tersepit teruk sebelum dikeluarkan dalam tempoh 15 hingga 17 minit oleh pasukan bomba dan penyelamat.


Semua mangsa dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk tindakan lanjut.


Menurut Kalsom, anak bongsu daripada tiga beradik yang masih bujang itu sepatutnya pulang ke kampung di Kampung Ganun, Alor Gajah, esok kerana mahu bercuti sempena Aidilfitri selama sembilan hari bersama keluarga.

“Dua minggu lalu, dia (arwah) yang bekerja di Klinik Kesihatan Paya Bakar, Muar pulang ke rumah kami sebelum pulang semula ke rumah sewanya di sekitar tempat kerjanya.


“Selain berbual dan bertanyakan khabar, arwah memberitahu pulang beraya pada Sabtu ini (hari ini),” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HM, di sini, malam kelmarin.

Turut serta, suaminya, Yusop Ismail, 54, dan kakak mangsa, Nur Wahida, 29.


Kaslom berkata, dia tidak menyangka kebimbangan mengenai keadaan anaknya itu petanda arwah pergi meninggalkan mereka dan reda dengan kejadian berkenaan. Dalam pada itu, Wahida berkata, dia yang juga jururawat di Arab Saudi tiba di negara ini, baru-baru ini.


“Dia sememangnya ada menggunakan kereta saya dan mungkin berniat mahu memulangkan semula dengan menghantar ia ke bengkel untuk diservis,” katanya yang sedih dengan kejadian menimpa adiknya itu.


Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Superintendan Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut dijalankan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/03