Sabtu,19 April 2014

Rezeki buah kabung

Oleh Mohd Rafi Mamat

PEKAN: Perusahaan menghasilkan buah kabung sebagai juadah berbuka puasa bukanlah asing kepada penduduk beberapa kampung di daerah ini terutama bagi penempatan terletak berhampiran Sungai Pahang.

Aktiviti turun-temurun itu sudah menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pengusahanya kerana setiap kali tibanya Ramadan, sambutan terhadap makanan tradisional itu cukup menggalakkan.


Seorang pengusaha, Rahim Usani Husin, 45, dari Kampung Pulau Rumput, dekat sini, berkata, pengalaman lebih 10 tahun menjadi kelebihan kepadanya dalam usaha menghasilkan buah kabung berkualiti tinggi.

Menurutnya, setiap hari dia mampu menghasilkan sehingga 10 kilogram (kg) buah kabung untuk dijual pada harga antara RM2 dan RM3 sebungkus.


Katanya, untuk menghasilkan buah kabung yang enak, proses perlu dilakukan ialah memetik, melerai, merebus, mengeluarkan isi dan memasak sebelum boleh dijual.


“Cabaran getir perlu dihadapi ialah ketika memetik buah kabung kerana kami terpaksa memanjat pokok berkenaan yang tingginya antara dua hingga empat meter. Selain itu racun pada getahnya boleh menyebabkan kulit menjadi gatal.

“Buah kabung yang dileraikan daripada tangkainya perlu direbus selama 30 minit dan untuk mendapatkan isi atau ulasnya, proses mencungkil perlu dilakukan. Selepas itu, selaput pada biji perlu dibuang sebelum direbus sekali lagi.


“Racun pada getah buah berkenaan menyebabkan gatal pada bahagian tekak dan batuk sekiranya buah kabung tidak melalui proses penyediaan yang betul,” katanya.

Dia yang menjual secara borong dan runcit di tepi Jalan Pekan-Paloh Hinai dekat Kampung Pulau Rumput berkata, tanpa kemahiran, sukar untuk menghasilkan buah kabung yang enak bagi juadah berbuka puasa.


Rahim Usani berkata, setiap hari dia mampu menjual antara 50 dan 120 bungkus buah kabung mentah termasuk yang dimasak dengan gula atau disira menggunakan pewarna merah dan hijau.


Dia yang dibantu isteri, Norhayati Mohd Shukur, 35, berkata, sambutan terhadap buah kabung begitu menggalakkan setiap kali Ramadan kerana buah kabung turut dijadikan antara bahan menghasilkan minuman.


“Buah kabung dicampurkan dengan air batu, selain rasanya yang enak, ia turut dapat menyejukkan badan selain menambah selera berbuka puasa,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.


Bagi Norhayati, dia cuma menghasilkan buah kabung pada bulan puasa saja kerana hanya pada ketika itu, permintaan terhadap buah berkenaan begitu menggalakkan.


“Hasil jualan buah kabung yang sentiasa bertambah dapat digunakan sebagai belanja dapur dan persiapan menyambut Aidilfitri setiap tahun. Selain pelanggan tetap ada juga yang datang dari luar semata-mata untuk mendapatkan buah kabung daerah ini yang sudah terkenal,” katanya yang sedia berkongsi pengalaman dengan individu yang berminat mengusahakan perniagaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/26
`