Isnin,28 Julai 2014

Rezeki ikan loma

Oleh D J Dolasoh

GERIK: Ikan loma menjadi sumber pendapatan bagi penduduk di Sungai Kuala Rui, dekat sini, terutama bagi persediaan menyambut perayaan Aidiladha hari ini.

Penduduk, Melor Ishak, 50, berkata ikan itu mempunyai nilai tinggi terutama menjelang musim perayaan utama dan Sungai Kuala Rui adalah lubuk rezeki penduduk.


Melor dari Kampung Bersia Lama di sini adalah antara 20 penangkap ikan sepenuh masa antara Oktober hingga Disember di Sungai Kuala Rui di sini apabila pelbagai spesies ikan terutama Loma mudik ke hulu dari Sungai Perak.

Katanya, hampir semua ikan ditangkap di sungai dalam tempoh tiga bulan ini mempunyai telur yang penuh kerana disebabkan mahu melepasnya di hulu sungai untuk penetasan lebih selamat.


“Saya sudah membabitkan diri dalam aktiviti ini sejak lima tahun lalu dan pernah memperoleh pendapatan sehingga RM100 sehari dan purata RM1,000 sebulan dalam tempoh berkenaan.


“Saya turut mengambil peluang menangkap ikan sepanjang hari di sungai ini buat masa sekarang dan mampu memperoleh lebih 20 kilogram (kg) dengan hanya menggunakan sebatang pancing,” katanya.

Katanya, ikan loma mudah diperoleh pengguna kerana kebanyakannya dijual terus di tepi sungai pada harga RM2 setiap kilogram berbanding RM4 dijual di pasar. Seorang lagi penduduk, Salleh Mat Akir, 59, dari Kampung Tawai berkata, dia bersama isterinya, Mariam Talib, 54, menangkap ikan di sungai itu bermula seawal jam 8 pagi sehingga 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/17
`