Rezeki inap desa datang bergolek

Rezeki inap desa datang bergolek

Oleh Hairulazim Mahmud
azim@mediaprima.com.my


Kuala Besut hakikatnya perkampungan nelayan. Di sini juga terletak jeti bot untuk ke pulau peranginan iaitu Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Nelayan, kakitangan awam dan industri pelancongan warna-warni pengundi di kawasan ini.


Walaupun Kuala Besut bukan pusat bandar utama untuk daerah Besut, hampir semua pejabat kerajaan negeri dan pusat untuk daerah Besut terletak di Kampung Raja iaitu pekan utama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.


Walaupun belum hangat seperti kebiasaan pilihan raya kecil lain - mungkin masih kepenatan sejak Pilihan Raya Umum ke-3 (PRU-13) - tetap ada sedikit sebanyak bendera Barisan Nasional (BN) dinaikkan di beberapa jalan utama di sekitar kawasan Kuala Besut. Itu pun bagi menyambut kehadiran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa lalu.


Industri hiliran yang banyak memperoleh manfaat ketika ini ialah inap desa. Sejak konsep inap desa popular, keuntungan diperoleh pengusahanya amat lumayan terutama pada musim pilihan raya apatah lagi pilihan raya kecil.


Cuba bayangkan selepas PRU-12 lalu apabila rakyat Malaysia menghadapi 16 pilihan raya kecil dengan enam di peringkat Parlimen manakala 10 lagi DUN. Fikirkan keuntungan dan rezeki melimpah ruah kepada pengusaha inap desa. Kerusi yang terbabit dalam PRK selepas PRU-12 termasuk Parlimen Kuala Terengganu (PAS), Permatang Pauh (PKR), Bukit Gantang (PAS), Hulu Selangor (BN), Sibu (DAP) dan Batu Sapi (BN).


Kerusi DUN pula ialah Galas (PAS), Bukit Selambau (PKR), Batang Air (BN), Penanti (PKR), Manek Urai (PAS), Permatang Pasir (PAS), Bagan Pinang (BN), Tenang (BN), Merlimau (BN), Kerdau (BN). Sememangnya rezeki datang menggolek.


Di Kuala Besut juga banyak inap desa. Ada banglo, rumah kedai dan rumah kampung sesuai dengan statusnya yang menjadi tumpuan pelancong dalam serta luar negara selain transit sebelum ke Pulau Perhentian. Dengan pilihan raya kecil yang bermula hari ini, harga inap desa di sekitar kawasan itu melambung tinggi dengan tawaran pakej berbeza mencecah RM12,000 bagi banglo dengan lima bilik. Ada juga banglo harganya RM5,000 dengan tiga bilik untuk dua minggu. Bayangkan harga biasanya hanya RM150 semalam, namun kini mencecah RM850 semalam tetapi mereka menawarkan dengan pakej 14 hari iaitu sepanjang tempoh pilihan raya kali ini. Rumah kedai ditawarkan dengan harga pakej RM2,000 untuk tempoh sama manakala rumah papan atau kampung lebih murah.


Harga yang amat tinggi itu tidak menghalang mereka yang terbabit secara langsung dengan pilihan raya kecil ini kerana inap desa menyediakan kemudahan mencukupi.


Tinggal di inap desa lebih selesa berbanding hotel kerana ruang luas selain seolah-olah berada di rumah sendiri.


Banyak aktiviti dapat dilakukan selain lebih bebas tanpa diperhatikan orang lain kerana penyewa inap desa tidak berkongsi premis dengan pihak luar selain kedudukannya lebih hampir dengan lokasi dikehendaki berbeza hotel yang kebiasaannya terletak di pusat bandar.


Kerana itu, setiap kali musim pilihan raya, jentera parti dari luar lebih berminat memilih kediaman jenis itu kerana lebih menjimatkan berbanding menyewa bilik hotel. Pengusaha inap desa di Kuala Besut sekarang ini pastinya sedang tersenyum mengaut rezeki yang datang bergolek.