Isnin,01 September 2014

Rezeki keropok lekor

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

JOHOR BAHRU: Kegigihan seorang bekas tukang paip menceburi perniagaan keropok lekor sejak tujuh tahun lalu, membuahkan hasil lumayan apabila memperoleh pendapatan mencecah hampir puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Pemilik Shahfil Danga Lekor Selatan Enterprise, Jamil Darja, 52, berkata, beliau mewarisi resipi pembuatan keropok lekor sejak 2005 daripada saudaranya dan dua tahun kemudian, memberanikan diri membuka perniagaan dengan modal pinjaman RM50,000.


“Sebelum ini, saya bekerja sebagai tukang paip di Singapura selama 15 tahun dan mengambil keputusan berhenti kerja kerana tidak larat melakukan kerja berat sebelum menceburi perniagaan kecil-kecilan termasuk menjual pisang goreng di tepi jalan.

“Pada 2005, saya belajar cara membuat keropok lekor daripada saudara dan dia percaya dengan kebolehan saya sebelum meminjamkan wang RM50,000 bagi memulakan perniagaan di Kampung Sungai Danga di sini,” katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, bidang perniagaan memerlukan keberanian seseorang mengambil risiko selain ilmu pengetahuan mengelak kerugian selain berpendapat setiap keluarga perlu mempunyai satu perniagaan bagi menjamin kehidupan lebih cerah.


“Saya belajar menguruskan perniagaan daripada bawah dan kini menarik nafas lega kerana bukan saja boleh membesarkan anak, malah memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, sekali gus menambah pendapatan suri rumah di sini.

“Bilangan pekerja saya hari ini seramai 16 orang dan 10 daripadanya adalah suri rumah yang juga saudara terdekat.


“Selain itu, saya kini menyerahkan pengurusan syarikat kepada anak lelaki, Shahril Azmi, 27, kerana ingin orang muda yang lebih cekap mengetuai syarikat,” katanya.

Menurutnya, keropok lekor keluaran syarikatnya disifatkan paling murah iaitu RM5 setiap sekilogram dan dijual secara borong kepada pengusaha kantin sekolah atau pemborong.


“Ketika ini, kami menjual kira-kira 500 kilogram keropok lekor setiap hari kerana saingan daripada syarikat lain semakin sengit.


“Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat kami kerana percaya kelebihan dari segi kualiti dan harga murah membuatkan produk kami termasuk popia gulung inti isi ikan mempunyai pelanggan setia.


“Kami menggunakan isi ikan segar dengan bekalan dihantar ke kilang berhampiran rumah setiap dua kali seminggu, bergantung pada tahap pengeluaran dan hanya menggunakan isi ikan kembung dan selayang bagi memastikan keropok sedap,” katanya.


Menurut Jamil, produknya kini dipasarkan di sekitar bandar raya dan daerah terdekat termasuk Kota Tinggi dan Kulaijaya oleh pemborong selain bercadang membuat pinjaman daripada agensi bertanggungjawab untuk melebarkan perniagaan termasuk bercita-cita menembusi pasaran Singapura.


“Ketika mahu memulakan perniagaan, saya mendapat bantuan mesin dan kelengkapan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).


“Kini saya berharap Shahril bersama anak saya yang lain akan berusaha menjadikan syarikat keluarga ini lebih maju pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12
`