Sertai komuniti myMetro

login|daftar
Layari »
Khamis, 18 Mac 2010

Rossa mahu tarik 10,000 penonton

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
2010/02/09
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PESONA Rossa Roslaina Sri Handayani atau mesra dengan panggilan Rossa sering menarik perhatian khalayak. Sama ada dia hadir ke sini mengadakan persembahan atau tujuan sebaliknya, dia cukup disenangi ramai.

Bagi Rossa, dia begitu gembira setiap kali berkunjung ke negara ini tanpa menganggap wujud jurang perbezaan dalam layanan pada peminat.

Selepas mencipta nama menerusi pelbagai lagu antaranya, Ayat-Ayat Cinta dan duet Terlanjur Cinta bersama vokalis Ungu, Pasha, populariti Rossa makin melonjak.

Rossa, 31, yang berasal dari Sumedang, Jawa Barat masih mempunyai ramai peminat di sini.


Apa yang menarik perhatian, setiap kali mengadakan persembahan sambutan yang diberikan peminat amat menggalakkan.

Mengubati kerinduan peminat, Rossa kembali mengadakan persembahan dikenali Konsert Melodi Cinta yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 29 Mei nanti.

Kata Rossa, biarpun dia sudah banyak kali mengadakan persembahan di sini, tetapi kali ini dianggap istimewa kerana menjadi konsert solo pertama yang pernah diadakan. Tahun lalu, dia meraih kejayaan menerusi Konsert Persembahan Cinta yang diadakan di Jakarta, Surabaya dan Bandung serta Konsert Cerita Cinta di Yogyakarta, Palembang, Jambi, Padang, Pekan Baru dan Medan.

"Persembahan ini adalah hadiah saya buat peminat yang banyak menyokong karier seni saya selama ini. Pada Konsert Persembahan Cinta yang lalu, ia berjaya menarik perhatian 6,000 penonton.

"Untuk kali ini, saya menjangkakan 10,000 penonton berpeluang hadir berhibur bersama saya. Apa yang penting, saya mahu tampilkan suatu yang berbeza pada aspek persembahan berbanding konsert sebelum ini.


"Menariknya, persembahan saya kali ini turut dibantu 14 penari dan 30 pemuzik orkestra dari Jakarta. Ketika ini, saya teruja untuk mengadakan persembahan ini apatah lagi saya bersyukur ramai peminat termasuk pihak media menyokong karier saya," katanya.

Biarpun Rossa mempunyai tempoh tiga bulan untuk buat persiapan, dia akui tekanan yang diterima lebih besar. Mengambil kira kapasiti lokasi persembahan yang besar, dia yakin untuk berikan persembahan sebaik mungkin atas bantuan promosi yang dilakukan.

Memberi kelebihan, Rossa gembira apabila mendapat sokongan konglomerat Media Prima Berhad (MPB) yang tampil sebagai rakan media.

Rossa yang ditemui pada sidang media acara itu yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MPB dengan penganjur konsert, Limaduabelas Musik.

"Saya yakin dengan sokongan MPB akan menjadikan persembahan kali ini lebih berjaya. Jika orang lain percaya pada bakat apa salahnya saya percaya pada mereka.

"Persembahan ini menjadi konsert solo pertama saya di sini. Saya akan menyampaikan lebih 18 lagu termasuk secara medley dalam persembahan selama dua jam.

"Sebelum ini saya terfikir untuk mengadakan konsert di lokasi yang lebih kecil, tetapi bimbang tiket akan dijual mahal hingga peminat sukar menyaksikan persembahan ini. Apapun saya berharap persembahan ini menjadi 'spectacular'," katanya.

Pada konsert ini nanti, Rossa menampilkan Pengarah Muzik, Yovie Widianto manakala Jay Soebiyakto bertindak sebagai pengarah persembahan bersama penari UDW Indonesia.

Menariknya, Rossa menjemput juara Anugerah Juara Lagu ke-24, Aizat bersama Pasha dan kumpulan ST 12 mengadakan persembahan bersama pada malam berkenaan.
Rossa dijangka menyampaikan pelbagai lagu popularnya seperti Terlanjur Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Atas Nama Cinta, Pudar, Hey Ladies, Aku Bukan Untukmu dan Tegar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Farid Ridzuan, pula berkata, idea bekerjasama sebagai rakan media tercetus atas perbincangan dengan penganjur yang ketika itu masih merancang mengadakan konsert di Malaysia.

"Penganjur tertarik bertanyakan operasi MPB dan ia memberi keyakinan pada mereka untuk menjalinkan kerjasama. Sebagai rakan media, kami akan beri sepenuh sokongan pada perjalanan konsert ini dan pastinya, ramai peminat Rossa yang menantikan persembahan istimewa ini.

"Walaupun tiada siaran secara langsung di TV, tetapi MPB akan membantu dari aspek promosi dan teknikal. Berkemungkinan, konsert ini direkod dan akan ditayangkan pada masa akan datang," katanya.

Bagi peminat Rossa yang ingin menyaksikan konsert ini, tiket berharga dari RM58, RM98, RM148, RM248 dan RM348 boleh dibeli menerusi talian 03-7711 5000 atau layari laman web, www.axcess.com.my. Tiket akan mula dijual dari 14 Februari ini.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial